Pendatang baharu Liga Super 2019, Malaysian Indian Sports Council-Malaysian Indian Football Association (MISC MIFA) kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC (PJC) sebagai langkah penjenamaan semula pasukan tersebut bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.
Walaupun logo mereka menyerupai kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City FC namun pasukan tersebut sebenarnya diambil alih oleh kumpulan Qi yang juga merupakan rakan penaja kepada Manchester City menerusi produk perniagaan mereka, Qnet.
Namun kami tidak begitu pasti sama ada PJ City FC merupakan salah satu pasukan di bawah City Football Group (CFG) seperti kelab New York City, Melbourne City dan Yokohama F Marinos tetapi tidak mustahil PJ City FC akan menjadi sebahagian daripada CFG.
“Kami telah mengambil alih dan MIFA tidak akan mengendalikan pasukan ini lagi. MIFA akan berperanan sebagai “feeder club” (kelab sokongan) sebagai sumber untuk mencari bakat baharu dan pembangunan akar umbi. Kami akan bekerjasama dengan mereka,” kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Qi, Datuk Seri Vijay Eswaran.
Beliau turut mengakui nama pasukan dan warna jersi tersebut mengambil inspirasi daripada pasukan Manchester City dan mahu membina kelab yang hebat untuk bersaing dalam Liga Super.
“Kami telah bersama Manchester City selama 5 musim. Dengan pelbagai sokongan dan bimbingan yang kami miliki, kami memilih PJ City FC sebagai nama pasukan.
“Sememangnya kami bergantung dengan bimbingan Manchester City dan kami berharap penyokong Manchester City di Malaysia turut menyokong kami” jelasnya.
Petaling Jaya City FC lulus dalam perlesenan FAM
Setiausaha Agung MIFA, KV Anba mengesahkan pasukan itu dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini setelah mendapat kelulusan daripada Malaysia Football League (MFL).
“Kami telah mematuhi segala prosedur dalam pelesenan kelab dan menerima surat rasmi yang mengesahkan penyertaan PJ City FC dalam saingan Liga Super.
“MIFA akan fokus kepada program pembangunan dan menjadi rakan kerjasama kepada PJ City FC. Mereka mempunyai bajet yang lebih besar untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang,” jelasnya.
https://twitter.com/mysoccerleague/status/1085511689984925696
Musim lepas, MIFA menduduki tangga ketika dalam saingan Liga Premier di belakang Felda United dan FELCRA FC. Mereka mendapat slot ke Liga Super musim ini sebagai pengganti kepada FELCRA FC yang menarik diri akibat masalah kewangan yang serius.
PJ City FC yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman iaitu K. Devan ketika ini diperkuatkan oleh dua pemain import iaitu Bae Beon Geun dari Korea Selatan dan Elizue Batista dari Brazil. Tiga lagi slot pemain import akan diisi pada minggu hadapan.