9 Karakter Kejurulatihan Misbun Sidek Yang Boleh Diterapkan Oleh Jurulatih Bola Sepak Kita

Misbun Sidek sah kembali untuk menjadi jurulatih perseorangan lelaki badminton negara kita. Namun kami bukanlah mahu menceritakan aspek teknikal badminton.

Sealiknya kami mahu mengambil beberapa corak pengurusan dan karakter beliau yang harus dicontohi oleh jurulatih tempatan kita yang lain dalam arena bola sepak.

Misbun Sidek adalah jurulatih yang bertanggungjawab menjadikan Lee Chong Wei sebaris dengan lagenda badminton dunia yang lain.

Berikut ada 8 karakter kejurulatihan Misbun Sidek yang boleh dipraktikkan oleh jurulatih bola sepak tempatan kita.

1. Arif tentang budaya

Dalam kejurulatihan, Misbun Sidek membuktikan beliau memiliki kelebihan kerana sangat memahami aspek budaya dan juga kemampuan orang Malaysia di sukan badminton.

Pemahaman ini membolehkan beliau mencari kaedah yang sesuai dengan komunikasi yang berkesan dengan para pemain.

Ini adalah sikap yang harus disemai oleh jurulatih bola sepak di negara kita. Ianya satu kelebihan yang menyebabkan negara seperti Jepun dan Korea Selatan sentiasa mengutamakan jurulatih tempatan dahulu.

Namun ia buka segala-galanya, ia hanyalah satu kelebihan.

Jika seseorang jurulatih itu mengendalikan pasukan di negara lain, mereka tetap perlu memahami budaya bola sepak di negara tersebut.

2. Tegas tetapi jangan halang kreativiti pemain

Jika anda kerap berkunjung ke youtube Nusa Mahsuri, anda akan melihat Misbun Sidek seorang yang tidak pernah memarahi pemain beliau.

Namun beliau sentiasa menetapkan satu tuntutan tertentu daripada pemain. Dalam usaha beliau mahukan pemain memperbaiki aspek pertahanan beliau pada masa yang sama tidak kisah jika pemain badminton itu cuba bermain fancy.

Ini adalah penting untuk jurulatih bola sepak. Meletakkan tuntutan kepada pemain itu perlu. Tetapi jangan sampai pemain terlalu terikat dengan cara mengikut kehendak anda.

Beliau sentiasa untuk memberikan pujian kepada pemain apabila pemain melakukan sesuatu yang menakjubkan di dalam latihan walaupun itu bertentangan dengan cara yang dikehendaki beliau.

3. Tekankan disiplin

Tahukah anda, Datuk Lee Chong Wei pernah digantung 2 minggu daripada sesi latihan Datuk Mibun hanya kerana pemain itu kecewa di dalam latihan dan membaling raket.

Disiplin ini terpakai kepada semua pemain tidak kisah pemain remaja ataupun pemain no.1 dunia sekalipun.

Lee Chong Wei datang meminta maaf dengan beliau selepas 2 minggu digantung dan berjanji tidak akan mengulangi perkara itu lagi.

Tegas dalam mendisiplinkan pemain bukan bererti anda harus berdendam. Selepas insiden itu dan maaf Lee Chong Wei, kedua-dua mereka akhirnya membentuk gandingan yang mengahasilkan pemain no.1 di ranking dunia dan bermacam-macam lagi kejuaraan.

Baru-baru ini, Datuk Lee Chong Wei sendiri sudah memberikan gambaran bahawa pemain muda sudah boleh bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berlatih di bawah Misbun Sidek.

4. Bantu pemain untuk kejar matlamat

Dalam sesi pertama Datuk Lee Chong Wei dengan Misbun Sidek, pemain no.1 negara itu ditanya apakah tujuan beliau mahu menjadi pemain badminton?

Datuk Lee Chong Wei menjawab:

“Saya mahu mendapat banyak duit dan menjadi pemain no.1 di Malaysia.”

Misbun cuma menjawab:

“Anda perlu banyak berkorban masa dan dedikasi untuk itu.”

Misbun tidak perlu berkata, ‘kenapa bermain kerana duit?’. Hal ini kerana, itu impian Lee Chong Wei bukannya beliau.

Tugas beliau adalah untuk membantu pemain itu mendapatkan duit itu. Caranya, cuba memenangi kejohanan lebih besar seperti kejohanan dunia, All-England mahupun Olimpik. Di situlah anda akan mendapat lebih banyak duit.

Itu yang berlaku kepada pemain-pemain bertaraf dunia yang lain dalam bola sepak.

Ia menunjukkan, selain daripada jurulatih anda juga seorang mentor, seperti abang ataupun ayah kepada pemain-pemain anda.

Jadi, dalam lapangan bola sepak, jurulatih ada ramai pemain. Mereka perlu mengambil kira cita-cita pemain itu secara individu dan bukannya terlalu menekan pemain untuk cita-cita anda, pasukan atau negara semata-mata.

Itulah sebab Sir Alex Ferguson melepaskan Ronaldo ke Real Madrid walaupun dia berkata,harga Ronaldo patut 3 kali ganda lebih mahal ketika itu.

Namun Fergie menghormati cita-cita Ronaldo yang mahu bermain dengan Real Madrid. Kelab impian beliau ketika budak sekolah lagi. Sehingga ke hari ini, Ronaldo masih menganggap Ferguson sebagai ayah, mentor dan bos.

5. Saya tidak perlu tertarik dengan anda, anda yang perlu menarik perhatian saya

Ia adalah satu konsep yang seringkali diberitahu oleh Misbun Sidek kepada pemain-pemain muda beliau.

Ini untuk memastikan semua pemain perlu menunjukkan kemampuan dan dedikasi mereka kepada sukan badminton.

Tiada istilah, oh, pemain ini graduan sekolah sukan terbaik di negara ini, jadi saya akan beri perhatian lebih.

Dalam bola sepak di negara kita, sikap agak tertutup dan tidak memberikan pemain muda menunjukkan kemampuan mereka lebih banyak antara barah yang kerap berlaku.

Jurulatih lebih memikirkan jalan untuk mencari pemain import dan pemain bintang baru. Sedangkan ada bakat muda yang berpotensi terabai.

Pemain muda perlu dibangunkan. Mereka bukan artikel lengkap lagi.

6. Fleksibel

Fleksibel maksud kami di sini adalah, seiring dengan zaman. Misbun Sidek terpaksa mengubah banyak aspek dalam rutin latihan badminton ketika sukan itu diubah kepada sistem 21 mata.

Dahulu, sistem kiraan mata adalah 15 mata dan lebih menuntut kepada ketahanan stamina tetapi dari segi intensiti acara perseorangan terkenal dengan intesiti yang lebih rendah.

Dengan sistem 21 mata, badminton berubah menjadi sukan yang perlukan kepantasan walaupun anda sedang bermain acara perseorangan.

Dalam satu perkongsian Misbun Sidek di facebook, beliau berseloroh dengan menyatakan seorang pemain dari Jepun bernama Rikuto ‘black-out’ ataupun tidak larat lagi meneruskan latihan.

Ini selepas Misbun meningkatkan intensiti di dalam latihan beliau.

Jadi, berbalik kepada padang bola sepak. Bola sepak moden juga sangat mementingkan kepantasan dan intensiti serta kecerdasan di dalam padang.

Jurulatih bola sepak di negara kita harus sentiasa bersedian dengan angin perubahan dan tuntuan yang di’minta’ dalam bola sepak berdasarkan zaman yang berbeza.

Dahulu, kita mungkin terlalu fokus kepada aspek fizikal dan teknikal. Hari ini, kita perlu memperbaiki aspek latihan taktikal, tanpa bola, pemerkasaan aspek mentaliti dan kreativiti serta banyak lagi.

7. Ilmu sebagai jurulatih

Karier beliau sebagai seorang pemain bertaraf dunia bukan jaminan beliau jurulatih yang baik. Ia hanyalah aspek tambahan yang akan membantu beliau.

Ilmu kejurulatihan ini sangat penting. Misbun Sidek sangat minat dalam dunia kejurulatihan. Beliau ada akademi badminton milih mereka sendiri iaitu Nusa Mahsuri.

Secara tidak langsung beliau turut belajar setiap hari untuk menjadi jurulatih yang baik.

Seorang jurulatih yang hebat akan sentiasa bersedia menjadi pelajar pada setiap masa. Bukan setiap masa mereka menjadi pengajar, sebaliknya, banyak masa juga mereka perlu menjadi pelajar.

8. Pengurusan dalam perlawanan (in-game management)

Datuk Lee Chong Wei mengakui yang beliau akan rasa lebih yakin sekiranya Misbun ada di luar gelanggang ketika perlawanan.

Ini kerana Misbun Sidek memiliki kemampuan untuk merancang taktikal di dalam permainan. Menganalisis pemain lawan dan juga mampu memberikan input-input penting di dalam perlawanan.

Ini adalah kualiti yang harus ada pada jurulatih bola sepak. Kemampuan memerhati dan menyediakan pelan taktikal yang secukupunya kepada pemain-pemain ataupun pasukan.

Selain daripada kualiti sebagai jurulatih, seseorang jurulatih harus ada pengaruh di dalam pasukan mereka. Inilah sebabnya pentingnya kuasa jurulatih di bilik persalinan.

9. Membangunkan pemain

Perkara yang paling penting dalam memastikan pemain tidak hanya diguna tetapi turut dibangunkan. Aspek pembangunan ini merangkumi pembangunan fizikal, mental dan teknikal.

Dalam bola sepak, ada sesetengah jurulatih tidak cukup dedikasi untuk membangunkan pemain. Inilah yang kerap membuatkan ramai pemain gagal mencapai prestasi optimum.

Kesannya, ada pemain dilepaskan terlalu awal dan sibuk mencari pemain bintang yang baru.

Rumusan

Itu hanyalah pandangan kami tentang beberapa kualiti jurulatih yang ada pada Misbun Sidek yang boleh dijadikan inspirasi dan panduan jurulatih bola sepak tempatan kita.

Jika badminton mampu melahirkan jurulatih bertaraf dunia, kenapa tidak bola sepak? Yang penting, haruslah sentiasa terbuka menerima pembaharuan dan rajin melakukan kajian yang membawa kepada improvisasi.

“Kebanyakan pemain muda sekarang ini melihat saya seperti paling senang dengan kejayaan yang dikecapi hari ini, tetapi waktu dahulu semasa di bawah Misbun tiada siapa pun yang nampak perit-jerih latihan yang saya hadapi” – Datuk Lee Chong Wei

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN