Mirko Vucinic: Ketika Falsafah ‘Sedikit Lebih Beda Lebih Baik Daripada Sedikit Lebih Baik’ Diterapkan Dalam Selebrasi Jaringan Gol

“It’s better to be a little bit different than to be a little bit better.”

Pernyataan di atas adalah falsafah atau konsep pemasaran yang dipopularkan oleh seorang marketing guru yang terkenal di Indonesia, Hermawan Kartajaya. Hermawan Kartajaya adalah sosok berwibawa yang pernah memegang jawatan Presiden World Marketing Association dan beliau pernah dinobatkan sebagai 50 Gurus Who Have Shaped The Future of Marketing oleh The Chartered Institute Of Marketing yang berpengkalan di England.

Sekarang beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi MarkPlus Inc., syarikat penasihat pengurusan ternama di Indonesia, syarikat yang beliau sendiri tubuhkan pada tahun 1990. Hermawan Kartajaya telah banyak menghasilkan buku-buku pemasaran, baik untuk pasaran antarabangsa (di mana beliau berkolaborasi bersama marketing guru lain) atau untuk pasaran Indonesia. Falsafah atau konsep di atas telah beliau rungkaikan sewaktu beliau menulis untuk Kompas, salah satu media besar Indonesia pada tahun 2008 yang lalu.

https://twitter.com/PR_EventMarcomm/status/1412953428150472705

Menurut Hermawan, falsafah tersebut beliau dapatkan daripada idola terbesar beliau dalam bidang pemasaran. Mengejutkan apabila beliau menyanggah nama-nama marketing gurus antarabangsa, yang ada di kalangan mereka turut sama menulis buku bersama Hermawan. “Bukan Philip Kotler. Bukan Al Ries. Bukan Kenichi Ohmae atau bukan juga Peter Drucker meskipun Peter Drucker pernah mengatakan, “because its purpose is to create a customer, the business has two – and only two – functions: marketing and innovation. Marketing and innovation create value, all the rest are costs,” rungkai Hermawan Kartajaya dalam tulisannya.

Idola yang dimaksudkan Hermawan Kartajaya sebenarnya ialah Putera Sampoerna, seorang businessman yang dahulunya sangat dikenali sebagai bos syarikat rokok, Hanjaya Mandala Sampoerna; perusahaan rokok terbesar pertama lahir di Indonesia. “Saya dulu pernah bekerja sangat dekat dengan Putera Sampoerna walau cuma sebentar, dari awal 1988 sampai 1 April 1990. Selama sekitar dua tahun tiga bulan itu saya menjabat sebagai Direktur Distribusi PT HM Sampoerna. Setelah itu baru saya mendirikan MarkPlus di Surabaya,” cerita Hermawan.

‘Sedikit lebih beda lebih baik daripada sedikit lebih baik’

Dikeranakan pengaruh Hermawan yang cukup besar dalam bidang pemasaran di Indonesia, beliau melahirkan ramai protégé dan juga pengagum kepada falsafah serta ilmu pemasaran yang sering beliau sebarkan melalui ucapan atau tulisan beliau. Salah satu pengagum kepada falsafah it’s better to be a little bit different than to be a little bit better punya Hermawan ialah Pandji Pragiwaksono, seorang stand-up comedian (juga seorang pelakon dan pengarah filem) dengan reputasi besar di Indonesia. Pandji Pragiwaksono merupakan satu-satunya stand-up comedian Indonesia yang pernah melakukan world tour di pelbagai negara di seluruh dunia.

Di samping kariernya sebagai stand-up comedian, Pandji kini mengendalikan sebuah syarikat iaitu Comika – sebuah syarikat yang mempunyai misi: membantu stand-up comedian lain agar boleh hidup daripada karya mereka. Comika membahagikan ranah kerjanya kepada beberapa cabang iaitu Comika Management (pengurusan untuk membantu stand-up comedian yang bernaung di bawah Comika mengembangkan karier mereka), Comika Event (promotor acara stand up comedy), Comika.id (platform digital stand-up comedy Indonesia), Comika Clothing (penjual merchandise personal branding stand-up comedian bernaung di bawah Comika) dan Comikamedia (media informasi tentang komedi secara umum, stand-up comedy khususnya).

Sama seperti Markplus Inc. milik Hermawan Kartajaya, Comika punya Pandji Pragiwaksono kini sedang berkembang dengan pesatnya. Pandji terus cuba melakukan sesuatu yang beda, sesuatu yang tidak pernah dilakukan stand-up comedian lain di Indonesia untuk terus menjadi signifikan. Pandji tidak cuba untuk menjadi lebih baik daripada stand-up comedian lain, tetapi beliau cuba untuk berbeda. Seperti kata mentornya; it’s better to be a little bit different than to be a little bit better. Pandji sendiri seringkali menuturkan kalimat, ‘sedikit lebih beda lebih baik daripada sedikit lebih baik’ kepada stand-up comedian yang masih baru, yang masih meniti karier. Beliau sedar, persaingan antara stand-up comedian yang masih baru di Indonesia amat sengit. Justeru itu, Pandji menanamkan kalimat ‘sedikit lebih beda lebih baik daripada sedikit lebih baik’ kepada mereka agar mereka berani tampil berbeza supaya lebih diperhatikan.

Persoalannya; bagaimana kita dapat mengaplikasikan falsafah ‘sedikit lebih beda lebih baik daripada sedikit lebih baik’ ini dalam kehidupan seharian? Atau mungkin juga dalam bidang perniagaan? Atau dalam urusan pemasaran? Mungkin demi tujuan pemasaran perniagaan?

Aplikasi falsafah ini dalam bidang pemasaran atau dalam urusan perniagaan

Sebenarnya untuk menerangkan falsafah ‘sedikit lebih beda lebih baik daripada sedikit lebih baik’ ini dalam konteks perniagaan atau pemasaran atau pemasaran perniagaan, lebih mudah jika kita menggunakan contoh. Contohnya begini:

Jika anda menjalankan perniagaan nasi ayam dan anda mempunyai beberapa orang pesaing yang menjalankan perniagaan sama, apakah ianya lebih mudah untuk anda berada di puncak persaingan tersebut dengan menjadi sedikit lebih baik daripada mereka? Contohnya; dengan anda memasak atau menyediakan nasi ayam yang sedikit lebih enak daripada punya mereka atau memantapkan servis anda kepada para pelanggan untuk mendahului pesaing anda?

Boleh jadi anda berada di puncak persaingan dengan cara begitu. Ianya tidak mustahil. Tetapi bagaimana jika pesaing anda mula ‘mempertingkatkan permainan’ mereka? Bagaimana jika mereka memperbaiki mutu nasi ayam mereka sehingga nasi ayam mereka seenak ataupun mungkin lebih enak daripada nasi ayam anda? Bagaimana jika mereka memperbaiki servis mereka kepada pelanggan sehingga pelanggan anda mulai tertarik pula untuk makan di kedai mereka? Anda akan terjebak dalam lingkaran persaingan yang berputar statik di situ sahaja. Mengapa anda tidak keluar sedikit daripada lingkaran itu dengan mencari inovasi segar agar pasaran baru terbentuk dan anda adalah pemulanya kerana ianya sesuatu yang berbeza?

Di sinilah marketing guru seperti Hermawan Kartajaya yang telah lama bergelumang dalam dunia pemasaran menemui serta menyedari keberkesanan falsafah ‘sedikit lebih beda lebih baik daripada sedikit lebih baik.’ Dalam contoh perniagaan nasi ayam tadi, dengan melakukan sedikit inovasi atau kreasi, lingkaran persaingan yang bergulat di suatu tempat itu bakal anda hindari dan anda bakal membentuk pasaran baru yang persaingannya masih minima. Contoh; ketika di kawasan itu terdapat beberapa pesaing dalam perniagaan nasi ayam, mengapa anda tidak menjadi ‘beda’ dengan memasak atau menyediakan nasi itik? Atau mungkin mee ayam?

Sama juga halnya dengan bidang pemasaran. Anda perlu cuba ‘beda’ atau berbeza daripada gaya pemasaran yang dipakai pesaing anda, bukan dengan melakukan perkara sama tetapi lebih baik daripada mereka. Dengan jadi sedikit berbeza, anda akan lebih diperhatikan.

Mirko Vucinic dan keraian jaringan gol yang sedikit berbeza

Di saat ada sesetengah pemain bola sepak yang membuka baju (sama ada tindakan terkawal ataupun mungkin di luar kawalan) untuk meraikan jaringan gol mereka, Mirko Vucinic menjadi sedikit berbeza daripada mereka. Pemain penyerang eksentrik ini dengan selamba membuka seluar ketika meraikan jaringan gol. Selebrasi jaringan gol dengan membuka seluar ini tidak terjadi sekali, tetapi dua kali! Pertama kali Vucinic melakukan selebrasi gila ini adalah sewaktu perlawanan kelayakan Euro 2012 sewaktu negaranya Montenegro menentang Switzerland sekitar tahun 2010. Entah siapa yang merasuk Vucinic, beliau menanggalkan seluar selepas berjaya menjaringkan gol sebelum menyarungkan seluar itu di kepalanya dan berjoget riang.

Kali kedua Vucinic melakukan selebrasi menanggalkan seluar adalah pada tarikh 6 April 2013, ketika kelab yang diwakilinya waktu itu iaitu Juventus menentang Pescara. Vucinic menjadi wira Juventus apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan gol pendahuluan kepada The Old Lady. Selepas jaringan penalti itulah beliau menanggalkan seluar sebelum mengibar-ngibarkan seluar itu di udara lantas berlari ke tepi padang. Sewaktu di tepi padang, Antonio Conte (pengurus Juventus ketika itu) sempat memukul kepala Vucinic disebabkan selebrasi gilanya itu. Dua aksi selebrasi menanggal seluar = dua kad kuning kepada Vucinic.

Ketika aksi selebrasi jaringan gol menanggal baju turut mendapatkan hukuman kad kuning, Mirko Vucinic tampil ‘beda’ dengan menanggalkan seluar. Apakah Mirko Vucinic menerapkan falsafah ‘sedikit lebih beda lebih baik daripada sedikit lebih baik’ dalam kehidupan beliau?

 

 

Nota Editor: Addim Alias adalah seorang penulis bebas yang sangat menikmati seni stand-up comedy. Beliau gemar menonton Indra Frimawan, stand-up comedian Indonesia yang terkenal dengan jolokan Prince Of Mind Blowing Comedy kerana materi beliau seringkali memaksa penonton untuk berfikir dahulu sebelum dapat tertawa memahami jokes beliau.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN