Bercakap tentang bola sepak membabitkan antara Malaysia dan Korea Selatan sebenarnya mungkin agak unik, kerana perkaitan membabitkan kedua negara ini tidak begitu kuat di pentas antarabangsa.
Namun untuk minggu ini, jalinan antara kedua negara tersebut dianggap sedikit rapat ekoran pertemuan empat kelab antara Malaysia dan Korea Selatan telah pun berlaku.
Baik wakil kelab dari Malaysia atau Korea Selatan, kedua mempunyai kisah suka dan duka untuk ditatap oleh para penyokong yang bertemu di pentas Asia musim ini.
Buat Johor Darul Ta’zim (JDT), mereka tampil mengharumkan nama Malaysia menerusi siri kemenangan terbaharu di saingan AFC Champions League Elite (ACLE) ke atas Ulsan HD.
Ulsan HD yang baharu saja meraih gelaran juara K League 1 bawah kendalian Kim Pan-gon terpaksa akur kepada JDT menerusi keputusan 0-3 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Tiga jaringan JDT ketika itu terhasil menerusi ledakan bintang muda Harimau Malaya iaitu Arif Aiman Hanapi, Oscar Arribas serta Bergson da Silva bersama aksi cukup menyakinkan.
Kemenangan itu juga dilihat cukup bermakna kerana lawan mereka bukan calang-calang dari Korea Selatan serta pernah merajai Asia suatu ketika.
Kekalahan buat Ulsan HD pula jelas menyentap semangat peminat bola sepak di Korea Selatan yang ada sesetengah beranggapan kekalahan itu sepatutnya berlaku kepada wakil keab dari Malaysia menerusi media sosial.
Sementara Selangor pula gagal meneruskan momentum tanpa kekalahan di pentas ACL 2 apabila mereka terpaksa akur kepada Jeonbuk Hyundai semalam.
Kekalahan tipis 0-1 itu sedikit sebanyak berjaya menggembirakan penyokong bola sepak di Korea Selatan dan sebaliknya pula berlaku kepada peminat tempatan.
Apa tidaknya, ramai mengharapkan Selangor mampu untuk meneruskan momentum kejayaan seperti dilakar JDT sebelum pasukan itu akur kepada Jeonbuk Hyundai menerusi kekalahan tersebut.
Apapun baik JDT atau Selangor, kedua pasukan tersebut kekal menjadi antara terbaik di Malaysia kini dan merupakan wakil negara yang sedang berjuang di pentas antarabangsa.
Pastinya kami mengharapkan momentum JDT dapat diteruskan dengan lebih jauh pada musim ini selain Selangor perlu kembali bangkit untuk membuka peluang lebih besar ke pusingan seterusnya.