Minggu 2: 5 Pemain Yang Perlu Berada Dalam Pasukan Fantasy Football SCL 2018 Anda

Fantasy Football SCL2018

Saingan Selangor Champions League 2018 (SCL 2018) yang membuka tirainya minggu lalu menyaksikan pemain import Duta ZXiV, Medina Mbeguere cemerlang apabila menjaringkan empat gol pada perlawanan bertemu Kajang AZS FC.

Ia bukan sahaja menggembirakan Duta ZXIV, malah pemain Fantasy Football SCL 2018 yang memiliki penyerang kelahiran Senegal itu juga sudah pasti tersenyum lebar.

Apatah lagi sekiranya anda meletakkan beliau sebagai kapten.

21 mata diraih pemain berusia 25 tahun ini akan menjadikannya sebagai pilihan utama para pemain untuk dibawa masuk ke dalam pasukan masing-masing (bagi yang belum memiliki Medina).

Selain daripada Medina, terdapat beberapa pemain lagi yang dilihat mampu untuk membuatkan anda tersenyum bagi saingan minggu kedua, yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Antara lima pemain yang boleh anda pertimbangkan untuk memperkuatkan pasukan anda ialah:

1) Muhammad Salihan Bin Jamil (Shah Alam Antlers) – 6.0

Penyerang berusia 22 tahun ini mencuri tumpuan apabila mencipta hatrik pada perlawanan bertemu Banting Naga FC tempoh hari.

Salihan yang berjaya memperoleh 18 mata hasil tiga jaringan tersebut bijak menghidu ruang dan peluang bagi membolehkan rakan sepasukan melakukan lorongan berkualiti buat beliau.

Dalam pada itu, beliau yang berkeupayaan mengawal bola dengan baik juga dilihat bakal menjadi ancaman buat Puchong Fuerza pada perlawanan minggu ini.

2) Rosedy Bin Muslim (KRU Port Klang FC) – 8.5 

Sentuhan penyudah yang begitu tenang dimiliki pemain berpengalaman yang mesra dengan panggilan ‘Parjo’ ini jelas memukau.

Beliau yang kini berusia 38 tahun turut berjaya mencipta hatrik pada perlawanan bertemu Club Atletico De Bukit Jelutong bagi membantu KRU Port Klang FC menang 4-0.

Rosedy hanya memerlukan 23 minit sahaja bagi melengkapkan hatrik tersebut dan sudah pasti akan menjadi sandaran utama pasukannya bagi perlawanan bertemu Kajang AZS pada Sabtu ini.

3) Hamad Aqel Mabkhot (Cheras Raptors) – 6.0

Pemain tengah dari Arab Saudi ini berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang terus menerjah gawang Klang Valley United tempoh hari.

Dalam pada itu, Hamad turut menghasilkan satu bantuan jaringan juga menerusi sepakan percuma yang berjaya ditanduk masuk oleh Amares Singh pada perlawanan tersebut.

Ternyata situasi bola mati bakal menjadi senjata utama buat Hamad, di samping keupayaannya menjelmakan serangan dengan baik.

4) Lukhman Noor Hakim (NPNG FC Damansara Damai) – 10.0

Penjaring gol penyamaan ketika bertemu Gombak Hypernova FT itu merupakan nadi penting di bahagian tengah buat NPNG FC.

Ketenangan dan kreativiti yang dimiliki serta beraksi bersama sebuah pasukan yang berkualiti dapat memberikan peluang besar buat Lukhman untuk menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat pasukan Fantasy Football SCL 2018 anda.

Agak mahal untuk mendapatkan khidmat beliau tetapi berpeluang cerah untuk menyinar.

5) Rinmon Ngo Anak Impak (Duta ZXIV) – 6.0

Kelebihan larian deras yang dimiliki pemain sayap berusia 23 tahun ini jelas menjadi antara individu penting buat Duta ZXIV.

Kepantasannya jelas membuatkan pemain pertahanan lawan bakal menghadapi masalah untuk mengawal kelincahannya.

Ia dibuktikan apabila Rinmon bertindak cemerlang menggunakan kelebihan tersebut untuk melakukan hantaran lintang yang membolehkan Medina menjaringkan gol pembukaan ketika bertemu Kajang AZS FC.

Kredit foto: scl.ligakita.my

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN