Pemain Arsenal, Emile Smith Rowe kini ibarat di awang-awangan selepas berjaya menjaringkan gol menentang Tottenham Hotspur.
Beliau yang menjaringkan gol pendahuluan Arsenal dalam kemenangan 3-1 di Emirates itu menganggap ianya adalah hari yang cukup gemilang dalam kariernya.
“Ianya adalah hari yang cukup indah dalam hidup saya.”
“Saya selalu impikan yang akan jaringkan gol menentang Tottenham. Dengan keluarga saya ada di sini, ianya adalah perasaan yang cukup indah!”
Lebih menarik buat Smith Rowe, beliau bukan sahaja menjaringkan gol malah turut melakukan bantuan jaringan buat ketua pasukannya iaitu Pierre-Emerick Aubameyang.
Terima kasih penyokong Arsenal
Dalam masa yang sama, Smith Rowe memegang kuat apa yang dipesan oleh Mikel Arteta kepada dirinya dan skuad Arsenal sebelum menentang Tottenham.
Arteta mengingatkan Smith Rowe dan rakan-rakan mengenai pentingnya ketenangan ketika bermain supaya tidak terbawa-bawa dengan emosi.
Smith Rowe juga terhutang budi dengan penyokong Arsenal yang memberikan keyakinan tambahan kepada mereka dalam usaha mendapatkan kemenangan.
“Penyokong telah memberikan lebih kepada kami hari ini [semalam] dan kami mengucapkan terima kasih kepada mereka semampu kami.”
“Saya rasakan kami telah berusaha keras walaupun mempunyai permulaan sukar pada musim ini.”
“Ketika ini semuanya baik-baik saja, tetapi kami masih perlu fokus.”
Arsenal kini menduduki tangga ke-10 Premier League selepas menang tiga perlawanan berturut-turut.