Mikkel Damsgaard: Budak Ajaib Denmark Yang ‘Meletop’ Di Euro 2020

Mikkel Damsgaard Denmark Euro 2020

Apabila Mikkel Damsgaard muncul dalam kesebelasan utama Denmark ketika perlawanan menentang Belgium di peringkat kumpulan Euro 2020, mungkin hanya segelintir peminat bola sepak yang mengenali nama pemain muda ini.

Aksinya benar-benar mencuri tumpuan ketika Denmark menang 4-1 ke atas Russia dan kemudian terus menyerlah ketika negaranya menyingkirkan Wales dan Republick Czech bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir bertemu England.

Pada awalnya kehadiran pemain muda ini ke kejohanan Euro 2020 hanyalah sekadar pemain sandaran buat Christian Eriksen. Namun mungkin sudah menjadi suratan, kejadian yang menimpa tonggak utama pasukan itu akhirnya telah memberi ruang kepada Damsgaard untuk menyinar.

Ketika tiba di Sampdoria pada Ogos 2020 dengan nilai £5.8, Claudio Ranieri sudah pun menjangkakan pemain berusia 21 ini bakal menjadi salah seorang prospek terbaik di Eropah.

“Tiada keraguan lagi, dia memang seorang budak ajaib, tapi saya harap jangan beri tekanan terlalu banyak kepadanya,” ujar Raneiri mengulas mengenai persembahan cemerlang anak buahnya itu di kejohanan Euro 2020.

Watak Ranieri sememangnya diketahui sebagai seorang jurulatih yang amat disenangi dan setiap perkataan yang keluar daripada mulutnya dianggap butir emas. Begitulah juga apabila beliau mengatakan satu perkara: Mikkel Damsgaard adalah pemain yang istimewa.

Musim pertamanya di Serie A, pemain tengah ini membuat 35 penampilan dengan menyumbang dua gol serta empat bantuan jaringan. Statistik itu sudah cukup baik untuk seorang pemain muda dalam musim pertamanya di pentas tertinggi iaitu salah satu liga terbaik di Eropah.

Bayangan Eriksen?

Damsgaard mengakui selama ini beliau menjadikan Eriksen sebagai rujukan utama untuk berkembang menjadi pemain tengah berkelas dunia.

“Saya sangat diinspirasikan olehnya, 100 peratus. Dia adalah pemain yang paling banyak saya tonton aksinya. Sejak kecil lagi, saya mahu bermain di posisi nombor 10, sama sepertinya,” ujar Damsgaard dalam temubualnya bersama agensi berita Ritzau.

Apabila idolanya itu terpaksa diketepikan akibat serangan jantung dalam perlawanan pembukaan menentang Finland, beliau sendiri tidak menjangka peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama datang tanpa disangka-sangka.

“Daripadanya saya belajar banyak secara terperinci corak permainan dalam sesebuah perlawanan, bagaimana beliau bijak mencari ruang. Jadi saya cuba terapkan dalam permainan saya sejak usia remaja lagi.

“Dan sekaran saya berbangga dapat menjadi sebahagian dari skuad kebangsaan dan melihat sendiri di depan mata bagaimana dia menjalani latihan.”

Melentur buluh

Damsgaard memulakan kariernya di kelab tempatan, Jylinnge di mana ayahnya sendiri, Henrik Borresen merupakan jurulatih pasukan tersebut.

Namun keadaan itu bukanlah tiket untuk beliau bermudah-mudah, sebaliknya beliau menjadi pemain paling teruk ‘dikerjakan’ sepanjang sesi latihan.

“Dia sangat tegas terhadap saya. Saya perlu berlatih lebih keras daripada yang lain. Saya rasa mungin dia mempunyai pernah berhasrat untuk menjadi pemain profesionl, tetapi saya bersyukur saya berjaya menyambung impiannya itu.”

Ketika berusia 11 tahun, Damsgaard telah dirisik oleh FC Nordsjælland, sebuah kelab liga utama Denmark atau Danish Superleague. Skuad pencari bakat dari kelab itu percaya beliau mempunyai potensi yang cukup besar untuk menjadi pemain berkualiti pada masa hadapan.

Perkembangannya di kelab tersebut cukup memberangsangkan. Dari pemain akademi ke skuad remaja, beliau kemudian menembusi skuad utama pada 2017 ketika berusia 17 tahun.

Siapa jurulatih yang memberikannya peluang membuat debut dalam pentas bola sepak profesional? Ia adalah Kasper Hjulmand yang kini merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Denmark.

Panjang akal

“Apa yang istimewa tentang Mikkel ini ialah dia sentiasa satu langkah ke hadapan, di dalam kepalanya beliau berfikir lebih awal satu atau dua saat berbanding pemain lain,” ujar Hjulmand ketika memberi komen mengenai anak didiknya itu.

“Jadi kita boleh lihat dia sentiasa mempunyai lebih masa berbanding yang lain disebabkan responnya yang sangat cepat terhadap masa, ruang dan pergerakan di sekitarnya yang membolehkan beliau mengawal bola dengan baik dan mencipta peluang dengan hantaran-hantaran pendek.

“Dia juga sekarang lebih pantas daripada beberapa tahun lalu. Jika tubuhnya membesar lagi dan semakin kuat, kita akan lihat dia akan menjadi pemain terbaik satu hari nanti.”

Apa yang kita boleh pelajari daripada karier Damsgaard ini adalah usaha. Apa yang beliau capai pada hari ini adalah hasil dari kerja keras semasa beliau masih di peringkat umur kanak-kanak lagi.

Jurulatihnya semasa di akademi Nordsjælland, Alexander Riget berkata, beliau sudah mengetahui prospek yang dimiliki bekas pemainnya itu.

“Pemain yang bertubuh kecil ini biasanya menghadapi kesukaran apabila kami bermain di luar negara, tetapi Mikkel ini tahap kecerdasannya menjadikan dia di tahap yang berbeza,” imbas Riget.

“Saya masih ingat ketika kami bermain dalam satu kejohanan di Switzerland. Kami bermain menentang Benfica dan Inter Milan. Ketika aksi berdepan Benfica, Mikkel bermain sangat bagus sehinggakan penonton yang terdiri daripada ibu bapa pemain Benfica memberikan tepukan kepadanya.”

10 tahun berlalu, Riget gembira melihat perkembangan Damsgaard yang ‘meletop’ bersama Denmark di Euro dan berharap anak didiknya itu terus menyerlah sama di di peringkat kelab dan antarabangsa.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Tak Payah Pertikai Penalti England, Gol Denmark Sendiri Sudah Kontroversi

RB Leipzig Sambar Andre Silva Dari Eintracht Frankfurt

Wolves Tambah Lagi Pemain Portugal, Pinjam Trincao Dari Barcelona

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN