Dalam satu ruangan The Telegraph, mereka mendedahkan yang Mikel Arteta adalah antara individu berada dalam senarai calon pengurus Arsenal di masa depan.
Sesuatu yang menarik tentang pemain ini, beliau adalah orang penting dalam membantu Pep Guardiola ‘memasang’ (install) taktikal beliau di dalam sebuah kelab Inggeris bernama Manchester City.
Bola sepak ini agak kompleks. Seorang jurulatih boleh bercerita apa sahaja kehebatan taktikal mereka. Tetapi jika tidak mengambil kira aspek lebih holistik, mereka tetap tidak akan mampu melakukannya.
Itu yang terjadi kepada De Boer di Crystal Palace, Peter Bosz di Borussia Dortmund dan ramai lagi pengurus yang gagal menepati harapan peminat.
Mikel Arteta adalah seorang perancang tengah yang sangat berbakat ketika era menjadi seorang pemain. Beliau dianggap pemain paling malang dalam sejarah Sepanyol kerana tidak pernah mewakili Sepanyol.
Ini kerana generasi bola sepak Sepanyol ketika itu terlalu ramai pemain tengah berbakat termasuk Xavi, Iniesta, Xabi Alonso, Marcos Sena, Cesc Fabregas dan ramai lagi.
Namun tidak siapa boleh menafikan Arteta sebagai antara perancang terbaik di Eropah terutama sekali ketika bersama dengan Everton.
https://www.youtube.com/watch?v=VIbcKAww9qk
Pada fasa akhir karier beliau, Arteta telah menyertai Arsenal. Satu langkah yang mengejutkan ramai pihak. Beliau dianggap Wenger sebagai pemain penting untuk menampung pemergian Fabregas.
Dari segi umur, peak dan cara permainan, memang Arteta bukan pemain yang boleh dibandingkan dengan Fabregas.
Apa yang Arsene Wenger nampak pada beliau adalah kepimpinan dan kemampuan beliau untuk membantu pemain muda lain membangun terutama sekali di pusat latihan.
Saya tidak terkejut jika usaha Wenger itu sebenarnya adalah salah satu cara Wenger mahu memastikan Arteta ada hubungan dengan Arsenal pada fasa akhir karier beliau.
Cinta kepada Arsenal
Mikel Arteta sebelum ini pernah dilamar oleh Mauricio Pochettino untuk menjadi sebahagian daripada kejurulatihan beliau. Namun Arteta menolak kerana dikatakan jiwa The Gunners.
Pochettino dan Arteta adalah rakan sepasukan ketika beraksi dalam PSG satu ketika dahulu.
Beliau menjadi kapten Arsenal sebelum beliau bersara. Namun beberapa siri kecederaan membuatkan aksi beliau terbantut dan kurang minit perlawanan.
Arsene Wenger sudah melihat Arteta sebagai pemimpin yang baik dan mungkin sudah melihat beliau ada potensi besar untuk menyumbang sesuatu kepada Arsenal pada suatu hari nanti.
Selepas itu, ketika Pep Guardiola datang ke England. Mikel Arteta telah berjaya menyertai pasukan kejurulatihan Guardiola. Ramai yang terkejut dengan keputusan Guardiola kerana Arteta masih baru.
Beliau sempat menyebut detik di Arsenal sebagai salah satu penghargaan terbesar beliau dalam arena bola sepak di England ketika berhadapan dengan wartawan.
“Saya menikmati 5 musim hebat di Arsenal dan satu penghormatan bagi saya untuk menjadi kapten kelab seperti Arsenal. Kini saya tak sabar-sabar untuk memulakan cabaran baru di Manchester City.”
“Peluang bekerjasama dengan Guardiola dan pasukan beliau adalah peluang yang luar biasa dan sayan sangat teruja.”
Siapa akan lupa ucapan perpisahan beliau dengan bola sepak ketika mengumumkan persaraan di Arsenal. Arteta mengakui dirinya tidak cukup bagus untuk bermain dengan pasukan seperti Arsenal.
“Ianya sangat sukar untuk berhenti, tetapi saya mahu meninggalkanya (bola sepak). Dalam beberapa bulan sebelum ini, saya merasakan yang diri saya tidak cukup bagus untuk mewakili pasukan ini (Arsenal) di atas padang. Ia hakikat yang harus diterima.”
“Saya sudah lama bermain bola sepak dan saya tidak mahu menipu orang lagi. Masanya telah tiba. Kecederaan yang saya alami menyukarkan saya dan membuatkan segalanya serba tidak menjadi.”
“Bagi saya, untuk bermain dengan kelab seperti ini, anda harus dalam keadaan terbaik. Anda tidak boleh berada dalam standard 8/10 sekalipun. Anda perlu 10/10.”
“Apabila anda tidak mampu beraksi baik, itu bermakna anda tidak cukup bagus. Rasanya saya sudah cukup lama berada di sini.”
“Dalam beberapa bulan terakhir saya merasakan saya mungkin tidak berhak berada di sini, namun sekurang-kurangnya hari ini saya diberikan peluang untuk bersama-sama mereka dan ianya hebat.”
Guardiola kemudiannya menjadikan Arteta sebagai jurulatih dalam pasukan beliau dan turut melantik Arteta menjadi pembantu pengurus kedua di Manchester City.
Dalam perlawanan menentang Spurs minggu lalu, Guardiola menjerit kepada Arteta, bertanya, adakah beliau melakukan keputusan yang betul mengeluarkan Leroy Sane? Arteta memberikan isyarat positif, barulah Guardiola meneruskan pertukaran itu.
Arteta banyak membantu Guardiola dalam memahami budaya pemain di England, budaya bola sepak serta komunikasi dengan para pemain.
Beliau menjadi jurulatih yang bertanggungjawab dalam membantu perkembangan Raheem Sterling. Guardiola dengan terbuka memberikan kredit kepada Arteta di atas kecemerlangan Sterling.
Beliau mendedahkan Arteta sebagai orang yang telah membantu Sterling dalam banyak aspek termasuk penyudah di hadapan gol.
Anda boleh rujuk artikel dari Independent bertajuk: Pep Guardiola reveals the secret behind Raheem Sterling’s Manchester City career renaissance
Arteta ke Arsenal
Mikel Arteta baru menamatkan kursus Lesen Pro UEFA pada September lalu dan masih menantikan pentauliahan daripada UEFA. Jadi, selepas ini, Arteta sudah boleh menguruskan pasukan seperti Arsenal.
Ianya mungkin bukan dalam masa terdekat ataupun mungkin juga tidak berlaku, itu kita tidak tahu. Tetapi ada sebab kukuh Arsenal menyenaraikan nama Arteta dalam senarai untuk mereka ikuti perkembangannya.
Jurulatih yang kini bekerja di bawah model pengurusan Guardiola dengan falsafah bola sepak moden yang sesuai dengan Arsenal.
Arsene Wenger masih ada kontrak sekitar setahun setengah dengan Arsenal. Dan tidak pasti Arsenal akan melanjutkan lagi kontrak pengurus legenda mereka itu.
Wenger adalah pengurus yang tiada Pengarah Sukan, maka tidak hairanlah, jika Wenger sendiri yang meletakkan nama Arteta dalam senarai pengurus yang berpotensi menggantikan beliau.
Arteta kini sudah berusia 35 tahun. Beliau adalah prospek yang sangat baik berdasarkan apa yang sering diceritakan Pep Guardiola.
Beliau adalah jurulatih yang memiliki kemampuan untuk menaikkan prestasi pemain dan pada masa yang sama boleh membantu pemain dalam merancang perlawanan di dalam padang dengan pengalaman beliau yang ada.
Buat masa ini, Arteta terus berguru dengan salah seorang pengurus terbaik di dunia iaitu Pep Guardiola.
Namun jika itu berlaku dalam masa terdekat, adakah penyokong Arsenal akan memberikan kepercayaan sekiranya Arteta adalah pengurus terbaru mereka selepas Wenger?