Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan Pierre-Emerick Aubameyang perlu untuk terus kekal di Emirates Stadium bagi meletakkan namanya sebaris dengan penyerang legenda The Gunners seperti Ian Wright dan Thierry Henry.
Mula menyertai pasukan pada pertengahan musim 2017/18, Aubameyang sentiasa menjadi sandaran utama buat Arsenal dalam merobek gawang lawan apabila beliau berjaya menjaringkan 70 gol pada 109 penampilan dalam semua pertandingan disertai.
Musim lalu menyaksikan pemain kelahiran Perancis yang mewakili Gabon di pentas antarabangsa itu berjaya muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris bersama-sama duo Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane yang mengumpul 22 jaringan.
Jumlah tersebut berjaya diulangi Aubameyang pada musim ini bagi meletakkannya di tempat kedua, hanya ketinggalan satu jaringan di belakang pemenang kasut emas, Jamie Vardy.
Penyudah hebat dan berkualiti yang ditampilkannya sepanjang musim pasti menarik minat pasukan-pasukan ternama di Eropah untuk memantapkan jentera serangan pasukan masing-masing.
Sehubungan dengan itu, Arteta melihat kepentingan buat Aubameyang untuk terus bersama The Gunners bagi menjadikan beliau sebagai figura hebat buat Arsenal.
”Ini merupakan perkara paling sulit dalam bola sepak, itu sudah pasti, namun dia menjadikan ia begitu mudah. LIhat sahaja gol kedua [bertemu Chelsea] yang dihasilkannya,” ujar Arteta menurut laporan Goal.
”Kami sentiasa mempunyai penyerang yang luar biasa di kelab ini dan Auba berhak untuk dinamakan dan dibandingkan dengan nama-nama besar yang lain.”
”Dengan memenangi trofi, dia akan semakin dekat untuk itu dan juga dia akan bertahan dengan lebih lama [di Arsenal].”
”Mudah-mudahan kami akan memilikinya dalam tempoh yang lama,” tambah Arteta lagi.
Kredit featured image: MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Mikel Arteta: