Menguasai teknik sepakan percuma yang sempurna memerlukan banyak masa, tenaga dan usaha yang gigih.
Anda mungkin terpaksa menghabiskan masa berjam-jam berlatih mengambil sepakan percuma untuk mengetahui:
- titik sentuhan kaki kepada bola yang terbaik semasa menyepak,
- kekuatan sepakan yang harus anda lakukan (dalam unit mph)
- berapa banyak spin (putaran) yang anda kenakan (dalam unit rpm)
- grafik tarajektori bola yang anda sepak
Bagaimana jika kami katakan, ada cara yang lebih bijak dan efektif untuk anda lakukan semua itu?
Memperkenalkan: adidas MiCoach Smart Ball
Terima kasih kepada sains, Adidas telah memperkenalkan MiCoach – sebiji bola sepak pintar yang lengkap dengan sensor khas. Sensor ini akan memberitahu anda cara untuk menyepak bola dengan betul.
MiCoach bukan sahaja mampu mengesan trajektori, putaran dan kelajuan bola yang telah anda sepak, malah ia juga mampu memberi cadangan kearah memperbaiki teknik sepakan anda.
Bagaimana ia berfungsi?
Sensor pada MiCoach boleh dihubungkan kepada smartphone atau tablet anda. Dengan syarat anda mempunyai apps MiCoach Smart Ball.
Sensor yang terletak di dalam bola ini perlu dicaj baterinya terlebih dahulu untuk memberikan anda bacaan yang betul kepada pergerakan bola yang telah anda tendang.
Ia kemudiannya akan memberikan anda tips untuk memperbaiki teknik anda berdasarkan pergerakan bola tersebut.
Masa untuk mengecaj sensor bola tersebut sehingga penuh hanya memakan masa 1 jam. Apabila dicas penuh, ia mampu merekodkan bacaan sehingga 2000 sepakan atau bagi tempoh seminggu.
Untuk mengecajnya pula, anda hanya perlu letakkan bola pintar tersebut di atas charging dock yang anda perolehi dengan pembelian MiCoach.
Apakah yang diukur oleh bola pintar ini?
MiCoach bukan sahaja mampu mengesan berapa kuat anda menendangnya, ia juga mampu merekod:
- lokasi titik sentuh kaki anda pada bola sewaktu anda membuat sepakan,
- kelajuan bola yang anda sepak
- berapa banyak spin yang anda lakukan pada bola tersebut
- trajektori ia bergerak di udara
Berdasarkan data yang diperolehi dari sensor MiCoach, apps MiCoach Smart Ball pula akan memberikan anda tunjuk ajar tentang teknik yang betul untuk menyepak bola dalam bentuk video dan grafik.
Selain itu apps ini juga mempunyai banyak modul latihan – antaranya teknik bagaimana untuk melakukan sepakan knuckleball yang dilakukan oleh Cristiano Ronaldo.
Apps MiCoach Smart Ball juga dilengkapi dengan modul challenges, supaya anda sentiasa mendapat cabaran untuk menyempurnakan teknik sepakan percuma dan membandingkan prestasi anda dengan rakan-rakan anda.
Pintar tetapi lasak
Rekaan mantap MiCoach tidak akan memberi sebarang gangguan kepada sensor yang dipasang di dalamnya apabila disepak sekuat mana pun.
Ia mempunyai berat yang sama dengan bola sepak biasa. Jadi anda tidak akan merasa sebarang perbezaan ketara berbanding bola sepak biasa.
Selain itu, ia juga telah mendapat kelulusan FIFA. Ini bermakna MiCoach telah mengikut standard bola sepak yang digunakan dalam liga-liga bola sepak dunia yang lain.
Kekurangan
Satu kelemahan MiCoach yang paling ketara adalah, ia perlu berada dalam keadaan pegun sebelum disepak.
Jadi MiCoach masih belum boleh digunakan untuk mempertajamkan teknik finishing. Hanya teknik sepakan percuma.
Satu lagi kekurangan MiCoach adalah ia hanya tersedia untuk produk Apple dengan sistem iOS sahaja.
Apps MiCoach Smart Ball juga hanya mampu merekodkan data sepakan terbaru sahaja. Ini bermakna selepas anda membuat sepakan yang baru, data dari sepakan sebelumnya akan terpadam secara automatik.
Harga
Hasil tinjauan kami di laman web rasmi Adidas Malaysia, kami mendapati bahawa MiCoach masih tidak tersenarai dalam senarai produk jualan mereka.
Sewaktu MiCoach dilancarkan pada pertengahan tahun 2014 dahulu, ia dijual dengan harga USD300 (RM1,162). Kini harganya sudah turun sekitar USD170–180 (RM659-698) seunit.
Adakah adidas MiCoach Smart Ball ini produk untuk anda?
Jika anda hanya mahu membeli bola pintar ini sebagai alat latihan biasa, kami cadangkan anda untuk menyimpan semula dompet anda dan jauhkan diri dari bola pintar ini.
MiCoach Smart Ball adalah alat latihan untuk seorang pemain yang benar-benar serius mahu menyempurnakan teknik sepakan percumanya. Ini kerana harganya bukan murah.
Sesuai dengan harganya yang mahal, MiCoach Smart Ball adalah satu pelaburan yang mampu memperbaiki teknik sepakan percuma anda sehingga menjadi sempurna.
Baca juga: Teori Fizik Di Sebalik Sepakan Percuma Faiz Subri