Penyerang Borussia Dortmund yang baharu sahaja dipinjamkan dari Chelsea, Michy Batshuayi tidak menunggu lama untuk membuktikan ketajaman yang dimiliki setelah menyumbat dua jaringan pada perlawanan sulungnya bertemu FC Cologne di RheinEnergieSTADION.
Pada perlawanan tersebut, Borussia Dortmund berjaya menumpaskan FC Cologne dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan yang kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan.
Michy Batshuayi hanya memerlukan 35 minit bagi merobek gawang tuan rumah selepas beliau dengan bersahaja menyudahkan hantaran lintang dari sebelah kiri yang dilakukan oleh Jeremy Toljan.
Jaringan dari pemain antarabangsa Belgium itu kekal hingga tamat babak pertama untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Pemain sayap FC Koln, Simon Zoller kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-60 apabila beliau pantas untuk menanduk bola yang berjaya ditepis penjaga gol Dortmund, Roman Burki hasil sepakan jarak jauh dari Dominique Heintz.
Jaringan tersebut hanya mampu bertahan selama dua minit sahaja. Batshuayi sekali lagi meledakkan jaringan untuk penampilan sulung yang memberangsangkan buat pemain berusia 24 tahun itu.
Tuan rumah terus memadam kelebihan yang dicipta Batshuayi dan kali ini giliran pemain pertahanan, Jorge Mere menanduk masuk bola hasil sepakan sudut yang diambil Jonas Hector pada minit ke-70.
Selepas mencipta dua jaringan, Batshuayi terus memberikan sumbangan berkesan buat pasukan barunya itu.
Menerusi satu serangan balas pantas, beliau melorongkan bola kepada seorang lagi bekas pemain Chelsea, Andre Schuerrle untuk jaringan kemenangan 3-2 buat Borussia Dortmund pada perlawanan ke-21 Bundesliga ini.
Permulaan yang meyakinkan buat Michy Batshuayi dan diharapkan ianya dapat mengubati kedukaan peminat Borussia Dortmund diatas kehilangan Pierre-Emeric Aubameyang yang berhijrah ke Arsenal.
Statistik dari Optafranz turut menyatakan bahawa Batshuayi merupakan pemain pertama yang berjaya menjaringkan dua gol pada penampilan sulung dalam Bundesliga buat Borussia Dortmund selepas kali terakhir dilakukan oleh Aubameyang pada Ogos 2013.
2 – @mbatshuayi (@BVB) is the first player to score multiple goals on his debut in the #Bundesliga since Pierre-Emerick Aubameyang in August 2013. Replacement. #koebvb pic.twitter.com/xBYsXEaBdE
— OptaFranz (@OptaFranz) February 2, 2018