Nama Michael Carrick mungkin tidak gah seperti pemain-pemain tengah England yang lain jika nak dibandingkan dengan Frank Lampard atau Steven Gerrard mahupun Paul Scholes.
Nama Carrick jarang kedengaran. Tiada larian-larian luar biasa, gol menakjubkan dan rembatan padu menerjah jaring seperti yang sering dilakukan oleh Lampard & Gerrard.
Malah pada awal karier bersama Red Devils, beliau kerap dikritik kerana terlalu perlahan untuk pasukan seperti Manchester United.
Dari London ke Manchester
Michael Carrick adalah wira yang tidak didendang kerana sumbangannya di peringkat antarabangsa agak terhad.
Adakalanya dibayangi oleh kemasyuran dan personaliti pemain-pemain lain dalam posisi yang sama. Untuk rekod, Carrick hanya memiliki 36 kaps antarabangsa.
Situasi di dalam skuad England inilah yang mengundang komen pedas Sir Alex Ferguson dalam autobiografinya.
Hakikatnya, Michael Carrick adalah pemain tengah yang penting di England dengan dimensi dan ciri permainan yang berbeza jika dibandingkan dengan Gerrard dan Lampard.
Aspek taktikal dengan kehadiran Carrick sering diabaikan oleh Sven-Goran Eriksen, Steve McClaren, Fabio Capello dan Roy Hogdson ketika pernah membimbing skuad England – faktor yang Sir Alex yakin merupakan punca kegagalan England di kejohanan antarabangsa.
Dilahirkan di Wellsend, England. Carrick adalah produk akademi bola sepak West Ham United yang merupakan 1 daripada banyak di kelab di bandaraya London.
136 penampilan dengan 6 gol bersama skuad The Hammers, Carrick dilamar oleh Jacques Santini ke White Hart Lane untuk menyertai Tottenham Hotspur dengan nilai £3.5 juta pada musim panas 2004/05.
Dua musim bersama Totenham Hotspur, Carrick mencatatkan 75 penampilan dan 2 gol ketika bersama kelab berpangkalan di utara London.
Namun, itu sudah memadai meyakinkan Sir Alex Ferguson membawa Carrick ke Old Trafford pada musim panas 2006 dengan nilai perpindahan £18 juta.
Alex Ferguson selesa dengan cara Carrick di atas mahupun di luar padang. Sir Alex berkata:
“Carrick bukan pemain yang suka mencari perhatian, sama juga seperti Paul Scholes. Tetapi bukan bermakna mereka tikda dihargai.
“Dia tidak suka melaungkan pencapaian beliau. Dalam bola sepak moden kita perlukan kemampuan yang ada pada beliau. Mereka mempromosi dan menunjukkan kualiti mereka dalam padang.”
“Carrick juga seorang pemain yang memiliki mentaliti yang kental. Dia berbeza personaliti dengan pemain lain. Jika orang melihat dari luar mereka akan salah anggap yang beliau jenis pemain perlukan dorongan setiap masa.”
“Tidak! Beliau bukan seperti itu.”
Bukan Roy Keane baru, beliau adalah Carrick
Pada peringkat awal kareer di Manchester United, ramai pengikut setia The Red Devils mencanangkan beliau sebagai pengganti Roy Keane.
Realitinya corak permainan Michael Carrick tidak identikal kepada corak jeneral ala gerila Roy Keane. Susuk tubuhnya juga tidak segah pemain pertahanan tengah lain seperti Claude Makelele di Chelsea pada era itu.
Walaupun memiliki corak permainan berbeza dengan apa yang dimiliki oleh Lampard & Gerrard, kehadiran Carrick mencongak rentak permainan pasukan yang diwakili beliau dalam kelas tersendiri.
Di atas padang, Carrick gemar bergerak secara vertikal dengan hantaran-hantaran rendah yang mudah manakala hantaran jauh yang tepat pula akan digunakan dalam mencari ruang ketika menyerang.
Evolusi ‘deep lying playmaker‘ di dunia menyaksikan kemahsyuran nama seperti Xabi Alonso. Dan di England sebenarnya mereka memiliki tipikal Xabi Alonso iaitu Michael Carrick. Pep Guardiola juga mengakui perkara yang sama.
“Beliau adalah antara ‘holding midfieder’ yang terbaik pernah saya saksikan. Beliau seperti Xabi Alonso, Xavi dan juga Busquet.”
Kebijaksanaan membaca gerakan lawan ketika bertahan adalah aset utama, kelebihan yang jarang dimiliki oleh pemain-pemain Inggeris sezaman beliau.
Kehadiran Carrick memberi kestablian buat skuad United baik ketika bertahan dan ketika mencongak melancarkan serangan.
Jose Mourinho pernah mengkritik ramai pemain hari ini gagal menjadi lelaki sebenar (man) dan lebih kepada budak budak. Sedangkan dahulu, ketika Lampard berusia 23 tahun sudah menjadi lelaki yang sangat matang.
Manakala pada hari ini, pemain yang berusia 23 tahun bersikap seperti remaja dan sibuk dengan laman sosial. Pada hari perpisahan dengan Carrick, pengendali dari Portugal itu menegaskan yang Carrick seorang kapten untuk M-A-N.
“Kualiti paling penting adalah untuk menjadi M-A-N, huruf besar semua, lelaki matang yang sebaiknya. Bola sepak tidak ramai pemain seperti ini. Bukan sahaja bola sepak malah dalam masyarakat pada hari ini.”
“Apabila anda memiliki seorang daripada mereka, anda harus hargai mereka kerana nilai-nilai yang ada pada mereka. Kelab ini, bukan saya, kelab ini telah mendapat banyak manfaat daripada kualiti beliau dalam banyak musim.”
Tekanan bersama England
Bercakap kepada BBC untuk rancangan Premier League Show, Carrick mendedahkan menyertai tugasan bersama England telah membuatkan dirinya berada dalam keadaan depresi.
“Saya sudah berada dalam skuad England untuk satu tempoh yang lama. Walaupun begitu, saya menggangap ianya satu perkara yang sukar untuk bersama mereka pergi ke kejohanan utama.”
“Saya tidak kisah untuk menyertai sesi pra-musim bersama-sama Manchester United selama 3 minggu. Tetapi apabila beraksi untuk England, saya berasa depresi setiap kali bersama-sama pasukan.
“Ada orang cakap kepada saya, lawan perasaan itu. Bersyukur dengan nikmat yang ada (bermain untuk England).”
“Saya faham dengan itu dan rasa beruntung dengannya namun saya tidak mampu untuk berhadapan dengannya.”
“Malah, saya sendiri pernah katakan kepada FA England yang jangan panggil saya lagi untuk tugasan bersama England.”
Kali terakhir Carrick beraksi untuk England adalah dalam perlawanan persahabatan menentang Sepanyol pada tahun 2015.
Ini mungkin mendedahkan mengapa penampilan Carrick bersama skuad kebangsaan The Three Lions tidak seperti yang diharapkan.
Persaraan
Michael Carrick mengumumkan bersara daripada bola sepak selepas tamat musim 2017/18.
Nama Michael Carrick sudah terpahat sebagai lagenda di Manchester United. Beliau sudah memenangi kesemua piala yang dipertandingkan di peringkat kelab.
Michael Carrick – Maestro Tak Didendang The Red Devils.
Michael Carrick will play his final game for Manchester United, today.
5x Premier League titles
1x Champions League title
1x Europa League title
1x Club World Cup title
1x FA Cup title
3x League Cup titlesOne #MUFC legend. pic.twitter.com/sncjHukcjq
— Coral (@Coral) May 13, 2018
https://twitter.com/centroMF/status/995404315408904192
Lembaran baharu
Michael Carrick terlalu berharga buat United. Selepas bersara, Jose Mourinho memutuskan Carrick masih mempunyai peranan penting di Old Trafford.
Mourinho memandang tinggi kepada peribadi Carrick dan dipetik sebagai berkata:
“Michael sebagai seorang individu adalah lebih penting daripada Michael sebagai seorang pemain. Beliau tahu bahawa dirinya diperlukan sebagai jurulatih di sini jika beliau mahu dan bila-bila masa sahaja beliau mahukan.”
“Saya mahukan Michael. Lembaga pengarah juga berkata begitu. Pemilik kelab juga bernada serupa.” Ini adalah petikan siang media Mourinho pada November lalu.
Hari ini Michael Carrick adalah sebahagian daripada barisan kejurulatihan Jose Mourinho.
Penutup
Semalam merupakan hari lahir ke-37 buat Michael Carrick. Ia sentiasa sesuatu yang istimewa apabila anda bersara sebagai pemain, dan terus memberikan khidmat bersama kelab di mana anda pernah berbakti.
Karier kejurulatihan Carrick baharu sahaja bermula. Semoga satu hari nanti beliau turut mampu mencipta nama sebagai salah seorang jurulatih bola sepak yang berjaya.