Meskipun sudah menjadi warganegara Malaysia secara sah dari segi undang-undang, tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh tidak boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M).
Perkembangan ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingan yang menyifatkan Sumareh masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh badan pengendali liga itu.
Beliau berkata kepada Berita Harian, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.
“Kita sudah keluarkan peraturan dan membuat pengumuman mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum ini dan ini bukanlah satu peraturan yang baharu.
“Apapun, jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria ini, sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat apa apa keputusan mengenainya.
“Namun, buat masa ini tiada permintaan untuk kita mengkaji semula kriteria dan peraturan yang sudah ditetapkan. Setakat ini, kita belum mengubah kriterianya dimana pemain perlu memegang kerakyatan selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan,” katanya.
bersama penyerang baru skuad Harimau Malaya. Siap tunjuk bukti ni haaa 😝 pic.twitter.com/lom1v874gW
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) July 29, 2018
Sumareh yang kini berusia 24 tahun sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian. Kevin menjelaskan situasi Sumareh berbeza dengan pemain berdarah kacukan yang lain.
“Keputusan lembaga MFL sebelum ini adalah membenarkan pemain berdarah kacukan dan selepas kita mengambil tindakan ini, mungkin hanya 50 ke 100 pemain berdarah kacukan yang ada kaitan dengan negara ini.
“Namun jika kita buka kepada pemain yang tiada hubungan langsung dengan negara ini, ia boleh jadi begitu besar dan tidak terkawal. Jadi kita perlu mengambil tindakan sebegini untuk memastikan masa depan pemain tempatan terjaga,” katanya.
Nama Sumareh kini meniti di bibir peminat bola sepak tanah air yang mahu beliau memakai jersi Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi.