Badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) telah menetapkan harga bagi tiket final Piala Malaysia 2021 adalah bermula pada RM50.
Sebanyak empat tingkat harga bagi tiket perlawanan akhir ini dengan jualan hanya terhad kepada 20,000 tempat duduk sahaja.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka, harga tersebut adalah bagi tiket tempat duduk umum sementara terdapat beberapa harga lain dinyatakan.
Harga tiket yang diumumkan mereka adalah seperti berikut:
- RM50 & RM70 – tempat duduk umum
- RM80 – tempat duduk umum premium
- RM150 – tempat duduk dirian utama premium (premium grandstand)
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya melakukan pembekuan harga bagi tiket perlawanan akhir ini dan tidak meningkatkan nilainya.
Sebaliknya, mereka menggunakan harga yang sama seperti ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 walaupun kapasiti yang dibenarkan jauh dari jumlah aksi dua tahun lalu.
“MFL telah menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 adalah sama seperti harga tiket pada 2019.”
“Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad,” ujar Stuart.
MFL juga kini akan meminta kelonggaran dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan penyokong yang hadir di stadium untuk makan dan minum ketika perlawanan.
Sebelum ini, prosedur MKN yang tidak membenarkan makan dan minum ketika di dalam stadium kurang disenangi penyokong kerana ianya menghadirkan rasa tidak selesa buat mereka untuk menyaksikan perlawanan.
Perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini bakal diadakan pada 30 November 2021 yang merupakan hari Selasa.
Keputusan MFL mengadakan perlawanan pada hari tersebut mengundang persoalan penyokong dengan mereka menjelaskan ianya disebabkan faktor kuarantin wajib skuad kebangsaan dan penyertaan Harimau Malaya untuk Piala AFF bulan depan.