Quantcast

BERITA

MFL Tamatkan Kontrak Penajaan Bersama Telekom Malaysia

Malaysian Football League (MFL) menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah hari ini mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia (TM).

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada 29 Januari tahun lalu.

Justeru menerusi perbincangan bersama Ahli Lembaga Pengarah membuat keputusan untuk merujuk perkara ini kepada peguam, Faisal Moideen bagi tindakan sewajarnya.

Titah Tunku Ismail, baginda telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak-pihak yang berminat untuk menjadi penaja baru Liga Malaysia.

“Saya telah arahkan CEO MFL untuk mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak-pihak yang berminat dengan segera.

“Sebelum ini kita mendapat pertanyaan secara tak rasmi apabila ada pihak mendengar khabar angin bahawa TM tidak mahu meneruskan tajaan Liga Malaysia namun kita sentiasa menghormati kontrak bersama TM.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL siang tadi.

“Seperti kita pernah umumkan dahulu, kita sentiasa menjadi rakan kongsi yang baik kepada TM dan mahu memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Selain itu MFL sudah banyak kali berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan pihak TM tetapi langkah itu menemui jalan buntu. Jadi MFL tidak boleh terus menunggu kerana kita ada tanggungjawab untuk menguruskan Liga Malaysia.

”Sejujurnya saya kecewa dengan tindakan TM dan kita dapat melihat bahawa ada perubahan drastik dalam dalam urusan kontrak bersama MFL bermula Mei tahun lepas.

“Saya sendiri tak menjangka TM akan melakukan perkara ini kepada bola sepak Malaysia yang sudah menjadi seakan nadi seharian puluhan juta rakyat Malaysia.

“Kami tahu mungkin kerajaan atau TM mempunyai keutamaan lain tapi mereka tidak boleh membiarkan sukan nombor satu negara yang menyatukan negara menderita kerana tindakan ini. Inilah yang akan berlaku apabila sukan dipolitikkan.

“Namun kita akan cuba sebaik mungkin untuk terus maju tanpa mereka kerana bolasepak ini adalah milik rakyat. Kita masih ada penaja dan pelabur dari pihak-pihak lain yang bersama kami dan ada penaja baru yang akan muncul. Itu sudah pasti,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, Tunku Ismail meminta semua pihak khususnya pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 24 pasukan Liga Malaysia tidak bimbang di sebalik penamatan kontrak penajaan TM tersebut.

“MFL sentiasa mengorak langkah untuk menjaga kepentingan pasukan dengan mencari jalan mengukuhkan kewangan pasukan bertanding dalam Liga Malaysia.

“Ini kerana bola sepak bukan sahaja dinilai daripada aspek komersial tetapi sukan nombor satu negara ini adalah medium penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Jadi ia menjadi tanggungjawab bersama untuk memajukan sukan bola sepak, “ tambah baginda.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!