MFL: Selangor United Sah Jadi Sarawak United FC

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan secara dasarnya telah meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) untuk pertukaran status pemilikan Selangor United Football Club (SUFC) menjadi Sarawak United Football Club.

Jelas MFL, keputusan itu dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat semalam (12 Disember) selepas meneliti setiap dokumen dilampirkan dan mengesahkan FAS telah membuat pertukaran status pemilikan kelab itu mengikuti prosedur yang sah.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL telah menerima permohonan pertukaran pemilikan di antara SUFC dan Sarawak United di mana SUFC telah dimiliki sepenuhnya oleh FAS.

”Setelah membuat semakan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mengesahkan bahawa Sarawak United sudah membuat permohonan pendaftaran dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi proses pertukaran pemilikan ini. Jadi Ahli Lembaga Pengarah secara dasarnya meluluskan permohonan ini tertakluk kepada kelulusan daripada PJS dan SSM yang akan dikeluarkan nanti.

“Justeru Ahli Lembaga Pengarah turut membuat keputusan untuk memanjangkan tempoh pengesahan penyertaan pasukan pada 15 Disember ini kepada 23 Disember (7 hari bekerja) buat Sarawak United melengkapkan urusan pendaftaran musim depan.

“Menerusi keputusan ini, Sarawak United akan mengisi slot SUFC dengan menggunakan nama pasukan sebagai Sarawak United dan akan beraksi di Liga Premier musim 2020,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi.

Terdahulu, keputusan pertukaran pemilikan kelab telah dicapai dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SUFC pada 22 November lalu di mana mereka telah sebulat suara untuk menyerahkan pengurusan kelab berkenaan kepada pemilik baharu iaitu FAS.

Pertukaran status itu juga bakal menyaksikan kelab Liga Premier yang berpangkalan di Shah Alam itu akan beroperasi sepenuhnya di Kuching, Sarawak.

Dalam perkembangan sama, MFL mengesahkan bahawa pasukan Sarawak kekal bermain di Liga M3 pada tahun depan selepas pasukan itu menamatkan kempen di tangga ke-11 Liga Premier dan tewas pada aksi play off 3-1 kepada naib juara Liga M3, Kuching FA pada 23 November lalu.

Sementara itu, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah turut mengumumkan keputusan Borang Integriti di mana pasukan tidak lagi memuatnaik borang tersebut ke dalam sistem MyPas.

Borang tersebut hendaklah terus diserahkan kepada Unit Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah turut meluluskan penyertaan pasukan Selangor II dan Perak II untuk bertanding di Liga Premier musim 2020.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN