Quantcast

BERITA

MFL Mahu Kerajaan Pertimbangkan Pengecualian Cukai Ke Atas Penaja Liga Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam berharap Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertimbangkan cadangan pengecualian cukai ke atas semua penaja dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Langkah itu adalah untuk menarik lebih banyak penaja tampil menyalurkan dana kepada 24 pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Premier selepas mereka kehilangan penaja utama, Telekom Malaysia (TM) bulan lalu.

“Terima kasih kepada YB yang prihatin pasal industri bola sepak tempatan di mana platform bola sepak ini ada kelebihan tersendiri.

“Sebab itu ramai orang suka bercerita tentang bola sepak, sebut saja perkataan bola sepak atau Piala Dunia terus kita akan dapat perhatian. Tapi apa yang kita harap, jika kita nak bercerita pasal bola sepak biarlah sambil itu kita menyumbang kepada industri ini.

“Kalau tak apa yang kita cerita ini hanya cerita saja. Tapi yang kita cakap ini bukan pasal duit dari segi sumbangan, MFL ini pun tak dapat apa-apa sumbangan daripada kerajaan, ‘zero’,” katanya menerusi video di laman facebook MFL.

TERIMA KASIH ATAS PERHATIAN..

Terima kasih atas perhatian Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq di atas isu pemain bola sepak jangan lari daripada membayar cukai pendapatan.MFL dalam masa sama berharap pihak kerajaan juga boleh memberi perhatian kepada perjalanan Liga Malaysia terutama isu tajaan seperti pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat yang berminat melabur di dalam Liga Malaysia.#MFL

Posted by Malaysian Football League on Friday, 17 May 2019

Syed Saddiq sebelum ini mengingatkan semua pemain tempatan supaya menjalankan tanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Justeru itu, Kevin mengambil kesempatan terhadap saranan Menteri tersebut untuk mencadangkan pengecualian cukai kepada penaja agar dapat menyumbang kepada peningkatan Liga Malaysia.

“Tapi banyak cara untuk kerajaan menyumbang kepada industri ini. Contohnya kita dah cuba terlalu lama untuk dapatkan pemotongan cukai bagi penaja dalam bola sepak untuk menarik lagi pelabur dan pihak lain yang berminat buat perniagaan.

“Misalnya apa kata kita bagi insentif kepada pasukan-pasukan ini dari segi banyak syarikat di luar sana. Kalau kita tengok dari industri IT dan sebagainya, kita boleh berikan bermacam-macam ganjaran untuk membolehkan mereka membangun dan membesar,” katanya.