Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan Malaysian Football League (MFL) telah melancarkan kerjasama untuk memeriahkan lagi kancah bola sepak tempatan dengan mengadakan tayangan skrin besar.
Kerjasama ini adalah salah satu cara untuk menggalakkan lebih ramai orang dapat menyaksikan aksi Liga Malaysia (Liga M) walaupun mereka tidak dapat untuk ke stadium.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KBS, pihaknya telah merangka kerjasama dengan MFL untuk menyiarkan perlawanan Liga M secara langsung menerusi layar gergasi di beberapa buat tempat seluruh Malaysia.
Buat masa sekarang, ianya akan diadakan untuk tempoh sepanjang bulan Mac terlebih dahulu.
Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada program tayangan skrin gergasi sewaktu Malaysia mengharungi kempen Piala AFF 2022 pada akhir tahun lalu serta Piala Dunia Hoki baru-baru ini.
“Program Skrin Besar ini merupakan salah satu program KBS dalam menyemarakkan lagi perlawanan bola sepak di samping memberi peluang kepada penyokong pasukan kegemaran masing-masing menonton secara langsung di skrin besar yang disediakan bagi memupuk semangat kesukanan dan perpaduan rakyat bersama komuniti setempat.
“Kerjasama KBS dan MFL ini dilihat akan memberikan pendedahan meluas kepada masyarakat setempat mengenai Liga Malaysia 2023 yang sedang melalui era penswastaan serta menjadi industri sukan terbesar di negara ini.
“Dengan lebih 16 juta rakyat negara ini adalah peminat bola sepak, ia pasti akan menjadi salah satu medium baharu dalam mempromosi dan menarik lebih ramai rakyat negara ini untuk menyokong kelab-kelab Liga Malaysia,” kata KBS dalam kenyataan mereka.
Untuk Mac ini, sebanyak empat perlawanan akan menjadi pilihan untuk tayangan skrin besar dan anda boleh rujuk segala maklumat di bawah:
- Kedah Darul Aman lawan Terengganu (1 Mac) – Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu
- Kelantan lawan Penang (5 Mac) – Kompleks Belia & Sukan, Batu Uban
- Kuala Lumpur City lawan Negeri Sembilan (11 Mac) – Kompleks Belia & Sukan, Paroi
- Kelantan United lawan Kedah Darul Aman (13 Mac) – Dataran Starwalk, Alor Setar