MFL Jalin Kerjasama Dengan EA Anjurkan Kejohanan eMFL

eMFL

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kerjasama dengan salah satu jenama terbesar dalam industri permainan video, penerbit Siri Permainan FIFA, Electronic Arts dalam usaha bersama untuk mewujudkan eMalaysian Football League (eMFL), kejohanan eSukan liga bola sepak elektronik rasmi di Malaysia.

MFL menjadi liga kedua di Asia yang bekerjasama dengan Electronic Arts untuk menganjurkan acara liga esukan selepas Piala eMBS Arab Saudi. MFL bersama EA akan bersama-sama menganjurkan eMFL yang akan menjadi liga rasmi dan akan dimainkan di platform Playstation 4 menggunakan FIFA20.

Matlamat kerjasama antara kedua-dua pihak adalah untuk menyediakan platform untuk pemain terbaik FIFA20 Malaysia untuk meningkatkan karier mereka di kejohanan esukan bola sepak elektronik peringkat tertinggi sambil mewakili salah satu daripada 12 kelab dari CIMB Liga Super MFL iaitu Johor Darul Ta’zim, Selangor, Melaka, Sabah, UiTM FC, PDRM FC, Pahang, Perak, Felda United FC, Terengganu FC, PJ City FC, dan Kedah.

MFL juga telah melantik GB Esports Sdn Bhd yang merupakan penganjur kejohanan esukan terkemuka untuk segmen kategori konsol di Malaysia sebagai rakan esukan eksklusifnya untuk bersama-sama mengurus dan mempromosikan kejohanan eMFL.

Kerjasama antara MFL dan GB Esports Sdn Bhd ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi atlet esukan FIFA ke peringkat antarabangsa. Untuk kejohanan sulung ini, eMFL akan ditaja oleh TM sebagai Rakan Strategik, BenQ sebagai Penaja Rasmi Monitor dan disokong oleh Esports Kuala Lumpur (ESKL).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan memberitahu, beliau percaya kejohanan eMFL ini bukan sahaja menaikkan nilai komersial FIFA dalam sukan elektronik di negara sebaliknya generasi muda kini memiliki pilihan untuk menjadi jaguh permainan konsol itu secara profesional.

Jelas lagi Dato’ Ab Ghani, beliau percaya pertandingan eMFL ini dijangka mampu mengisi kerinduan penyokong-penyokong yang mahu
menyaksikan Liga Malaysia kembali bersambung selepas ditunda sejak Mac lalu gara-gara pandemik COVID-19.

“Kejohanan eMFL adalah satu perkembangan baik untuk generasi muda. Kini, Liga Malaysia telah berkembang dalam saluran digital di mana saya percaya generasi muda sekarang telah memiliki pilihan bukan sahaja menjadi pemain bola sepak sebaliknya boleh bergelar sebagai pemain sukan elektronik profesional.


“Harapan saya adalah mahu melihat setiap pemain bermain bersungguh-sungguh kerana sudah pasti mereka akan berusaha keras untuk menjaga prestij pasukan yang diwakili masing-masing.

“Jadi, sama-sama kita menyaksikan bakat-bakat pemain muda kita berentap dalam eMFL dan sedikit sebanyak mengubat kerinduan kita sementara menunggu Liga Malaysia kembali bersambung,” katanya.

Dato’ AB Ghani hari ini melancarkan Majlis Undian eMFL yang turut dihadiri Pengurus Besar Negeri TM Hamidun Ismail, Pengurus Besar BenQ, Brian Lee dan Presiden Esports Kuala Lumpur, Hisham Darus.

eMFL terdiri daripada 2 peringkat iaitu peringkat kelayakan dan liga. Pada peringkat kelayakan yang telah berlangsung pada Mac lepas, 25 pemain berstatus ‘verified’ yang berada dalam kedudukan rasmi FIFA Global Series telah bersaing satu sama lain dalam format pusingan swiss untuk merebut 12 tempat teratas di peringkat liga.

Seterusnya, 12 pemain terbaik ini akan mewakili salah satu kelab CIMB Liga Super. Format kejohanan eMFL telah diubah disebabkan Pandemik Covid-19 dan mengikuti syarat dan peraturan Kerajaan Malaysia dan EA Sports yang mana semua perlawanan akan dimainkan secara atas talian.

EMFL akan bermula 1 Julai 2020 sehingga 10 Julai 2020. Para penyokong boleh menonton perlawanan – perlawanan eMFL yang akan bersiaran langsung di laman Facebook eMFL bermula pada jam 8.45 malam pada setiap hari perlawanan.

Berikut adalah keputusan undian Pemain-Pasukan eMFL 2020 yang berlangsung di Pejabat MFL, hari ini:

  1. Ahmad Shahrin Bin Shaharudin – PDRM FA
  2. Alif Dani Bin Noor Badarrudin – Melaka
  3. Faaiz Bin Zainuddin – Pahang
  4. Iskandar Mirza Bin Mohd Mustafa – Selangor
  5. Muhamad Luqman Haziq Bin Hajiman – Johor Darul Ta’zim
  6. Muhammad Bin Zainun – Sabah
  7. Muhammad Akhmal Bin Roslan – UiTM FC
  8. Muhammad Faid Bin Mohd Said – PJ City FC
  9. Muhammad Faiz Hariry Bin Mohammad Fadzai – Terengganu FC
  10. Muhammad Imran Bin Burhanudeen – Kedah
  11. Muhammad Muzaffar Zuhair Bin Mustaffa – Perak
  12. Mirza Mohammad Nabil Beg bin Mirza Mohammad Taiyab Beg – Felda United FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN