MFL & FAM Perlu Jujur Tutup Kelompongan Peraturan Dan Pertandingan Liga Malaysia

Saban musim sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia, pasti akan ada beberapa perkara yang mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air. Tidak kurang, sebahagian daripadanya akan menjadi isu dan menjadi topik perbincangan rancak di media sosial.

Bagi penulis, perkara ini harus dilihat secara positif. Sekurang-kurangnya masih ramai yang peduli akan bola sepak negara. Sekurang-kurangnya juga kita menyedari bahawa industri bola sepak negara masih lagi mempunyai nafas – walau ada kalanya ia kelihatan tidak bermaya.

Berikut adalah beberapa isu yang mencuri tumpuan penyokong bola sepak negara di dalam tempoh beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini. Sebahagian daripadanya sudah pun ditangani oleh MFL dan FAM. Berbaki lebih kurang dua minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia, ini pandangan dan sedikit cadangan dari penulis mengenai setiap isu berbangkit.

Peraturan berkaitan pemain naturalisasi

Harimau Malaya mencipta sejarah di kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 tempoh hari – setelah menggunakan khidmat pemain naturalisasi pertama di dalam sejarah bola sepak negara, iaitu Mohamadou Sumareh.

Ianya menjadi perdebatan komuniti bola sepak di negara ini apabila menjelang pendaftaran pemain untuk Liga Malaysia 2019 yang lalu, status Sumareh disahkan masih lagi dianggap sebagai pemain asing di negara ini – walaupun pemain dari Gambia itu telah memiliki kerakyatan Malaysia, dan telah menyarung jersi pasukan kebangsaan sebelum itu.

Ini berikutan peraturan Liga Malaysia sendiri yang menyatakan bahawa pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan 5 tahun selepas pemain tersebut mendapat pasport warganegara yang sah.

Aksi Sumareh ketika menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO: FAM

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita renungkan terlebih dahulu tujuan sebenar naturalisasi pemain dilakukan. Sudah tentu ianya adalah untuk kebaikkan pasukan kebangsaan.

Jika bola sepak menjadi keutamaan, penulis berpendapat peraturan sebegini perlu dipinda. Sebaliknya peraturan tersebut harus datang dengan syarat wajib – seseorang pemain tersebut hendaklah beraksi untuk pasukan negara setiap kali diperlukan kecuali disahkan cedera oleh doktor pasukan.

Ini demi memastikan kepentingan kepada negara sentiasa menjadi keutamaan sebelum status naturalisasi itu diberikan kepada mana-mana pemain, sekaligus mengelakkan berlakunya manipulasi atau cubaan pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan akan keistimewaan sebegini. Ini sekaligus membenarkan MFL menarik balik hak istimewa tersebut jika ada pemain yang cuba mengambil kesempatan atas keistimewaan ini.

Corbin Ong antara pemain kacukan yang beraksi dengan status pemain tempatan. FOTO: JST.

Selain daripada pemain luar yang dinaturalisasikan, pemain kacukan yang belum menerima status warganegara Malaysia turut wajib melalui proses yang sama sebelum boleh dianggap sebagai pemain tempatan. Ini kerana walaupun memiliki asal usul dan keturunan dari Malaysia, secara teknikal mereka pada asalnya bukanlah rakyat Malaysia.

Maka hanya dengan cara ini, barulah kita boleh memastikan pemain yang benar-benar layak sahaja diberikan keistimewaan sebelum diberikan status sebagai pemain tempatan – sekaligus memastikan keistimewaan status warganegara negara ini tidak diperkotak katikkan.

Dan untuk pemain kacukan yang enggan menyarung jersi pasukan negara, mungkin adil untuk mereka bermaustautin dan beraksi di Liga Malaysia selama lima tahun -sepertimana peraturan asal- terlebih dahulu, sebelum ditukar status sebagai pemain tempatan.

Masalah gaji terus hantui Liga Malaysia

Antara perkara terpenting yang harus dipantau secara rasmi oleh MFL dan juga FAM adalah penyertaan pasukan-pasukan yang memiliki tunggakan bayaran gaji kepada pemain dan juga jurulatih.

Pada musim lalu Marcerra United menjadi pasukan pertama yang menarik diri dari saingan Liga Malaysia disebabkan isu pembayaran gaji.

Lebih memalukan, Marcerra United gagal menhadirkan diri ke venue perlawanan menentang PDRM FA pada April tahun lalu -selepas tindakan boikot yang dilakukan oleh pemain dan jurulatih berkaitan isu gaji.

Perkara sehingga tidak turun untuk menghadiri perlawanan membabitkan Marcerra United adalah yang pertama kali berlaku di dalam sejarah Liga Malaysia. Ini menunjukkan betapa runcingnya masalah kewangan dan sudah tentu ia memberikan imej yang kurang baik kepada Liga Malaysia di mata penganjur.

Ada banyak lagi kes membabitkan pembayaran gaji di Liga Malaysia – sebagaimana yang sering diperjuangkan oleh pihak PFAM – dan kebanyakkan daripada kes-kes tersebut adalah kes berulang atau masalah yang dibawa dari musim sebelumnya.

Oleh itu MFL dan FAM disaran untuk bertegas di dalam hal ini. Selain daripada pemotongan jumlah geran, pihak berkenaan juga dicadangkan untuk tidak membenarkan pasukan yang mengalami masalah keberhutangan teruk daripada menyertai pertandingan, sehingga segala masalah kewangan kembali stabil.

Ini bagi memastikan setiap individu yang berada di dalam persatuan sekurang-kurangnya memiliki langkah kerja atau strategi jelas bagaimana untuk memimpin persatuan masing-masing, dan bukan sekadar mengejar jawatan.

MFL mungkin risau jumlah pasukan yang berkurangan di dalam liga jika peraturan tegas sedemikian diambil. Namun apa gunanya kita memiliki puluhan divisyen sekali pun jika pasukan yang bertanding hanya menyumbang kepada hutang.

Pinda Artikel 15A FAM

Bagi peminat bola sepak secara universal, istilah ‘tebus kontrak’ dan juga ‘kos pembangunan’ atau ‘pampasan’ dan ‘klausa perpindahan’ mungkin terma yang agak janggal sebelum ianya dihangatkan dengan isu pemain muda negara yang minta dilepaskan dari kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Mana-mana perpindahan pemain di liga-liga utama yang dicanang sebagai ikutan dunia seperti La Liga, EPL, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 biasanya menggunakan terma ‘yuran perpindahan’ untuk merujuk kepada wang yang dibayar untuk membenarkan kontrak bersama kelab terdahulu dibatalkan, dan dijual ke kelab baru.

Akhyar kemudiannya menyertai JDT setelah disahkan oleh FAM sendiri bahawa pemain itu berstatus bebas. Dan sekurang-kurangnya kita semua tahu atau baru menyedari mengenai Artikel 15A FAM yang membenarkan FAM menentukan nilai pemain pasukan bertanding jika ingin minta dilepaskan daripada kontrak.

Sebenarnya perpindahan Akhyar tiada cacat cela kerana telah mengikuti garis panduan oleh FAM. Bagaimanapun kami berpendapat Artikel 15A ini mempunyai impak negatif kepada industri bola sepak negara ini sekiranya tidak dipinda.

Pertama, kita harus melihat tujuan asal Artikel 15A ini diwujudkan. Artikel ini berada di bawah Bahagian IV: Memelihara Kestabilan Kontrak Di Antara Pemain Profesional dan Pasukan  Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM.

Jika ‘kestabilan’ yang dicari, maka membenarkan penebusan kontrak semata-mata kerana seseorang pemain mahu menyertai pasukan lain bukanlah salah satu cara nilai profesional yang kita mahukan.

Membenarkan perkara ini berterusan hanya akan membunuh bola sepak Malaysia dari dalam kerana pertama, pasukan-pasukan di negara ini akan ‘lesu’ untuk menghasilkan pemain berbakat besar. Apa guna pasukan-pasukan ini menghasilkan pemain muda berbakat sekiranya tidak memberi pulangan kepada pasukan?

Kami yakin akan ada pihak yang kemudiannya menggariskan terma ‘klausa perpindahan’ sebagai jalan penyelesaian.

Pada pendapat penulis, ‘klausa perpindahan’ bukanlah penyelesaian total yang boleh digunakan secara jangka masa panjang – jika anda mahukan saingan sihat dan kompetitif di dalam industri bola sepak negara.

Hujahnya ialah nilai pada ‘klausa perpindahan’ bukan nilai semasa seseorang pemain. Ambil contoh Syahmi Safari yang dilabel bernilai RM6 juta.

Satu hari nanti, mungkin pemain ini bernilai RM10 juta. Mana-mana kelab yang mahukan khidmat Syahmi dari Selangor tidak perlu membayar RM10 juta, sebaliknya cukup sekadar untuk memenuhi klausa RM6 juta tersebut. Jika ianya berlaku sedemikian rupa, Selangor sudah pun rugi RM4 juta.

‘Klausa perpindahan’ yang dipraktikkan pada hari ini adalah relevan buat masa ini. Namun ia bukan jalan penyelesaian terbaik untuk tempoh jangka masa panjang.

Komersilkan pertandingan Piala Sumbangsih

Pertama kali diadakan pada 1985, perlawanan Piala Sumbangsih dianggap sebagai pembuka tirai Liga Malaysia. Lazimnya di Malaysia, ia juga dianggap sebagai perlawanan liga – dengan kutipan mata turut menjadi taruhan.

Sejak penganjurannya pada 1985, hanya dua kali Piala Sumbangsih diadakan di gelanggang yang dianggap berkecuali – di Stadium Merdeka pada 1986 membabitkan Johor FA dan Singapura, dan juga di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2006 membabitkan perlawanan diantara Perak menentang Selangor.

Selepas 33 tahun, kami berpendapat sudah tiba masanya Piala Sumbangsih diadakan secara berasingan dari perlawanan liga demi lebih memeriahkan saingan awal Liga Malaysia pada setiap permulaan kempen. Untuk perlawanan yang lebih adil, ianya juga wajar diadakan di gelanggang berkecuali sepertimana Piala Komuniti di England.

JDT menjulang Piala Sumbangsih dan 3 mata pertama dalam Liga Super selepas menewaskan Pahang 2-0 (sumber: khairulazrin.wordpress.com)

Langkah mengadakan perlawanan Piala Sumbangsih secara berasingan – berpisah dari saingan liga dan di gelanggang berkecuali- ialah untuk membenarkan penyokong kedua-dua pasukan yang bertanding mendapat peruntukkan jumlah tempat duduk sama. Ini akan memberikan lebih keadilan untuk penyokong pasukan masing-masing.

Sekiranya MFL berpendapat untuk meneruskan Piala Sumbangsih untuk diadakan di gelanggang salah sebuah pasukan bertanding, maka eloklah ianya diadakan secara timbal balik sebagaimana Supercopa de Espana.

Piala Komuniti Inggeris dan Supercopa de Espana adalah antara pertandingan yang mirip dengan Piala Sumbangsih di Liga Malaysia.

Penutup

Empat isu ini adalah antara perkara yang menjadi sebutan ramai penyokong bola sepak tanah air menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Kami akui bukan mudah untuk melakukan perubahan secara drastik, namun percaya MFL dan FAM berusaha melakukan penambahbaikan demi bola sepak negara.

Apa yang terkandung di atas hanyalah sekadar pandangan dan sedikit cadangan dari penulis. Akhirnya, ia masih tanggungjawab MFL dan FAM untuk menutup setiap kelompongan itu – dengan ikhlas.

Nota editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak berkaitan dengan pedirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN