MFL Boleh Laksanakan Peraturan Kawalan Ekonomi Secara Berperingkat Di Liga Malaysia

Malaysian Football League (MFL) boleh melaksanakan peraturan kawalan ekonomi ke atas semua pasukan Liga Malaysia secara berperingkat bagi memastikan mereka mampu mematuhi peraturan baharu tersebut dengan lebih baik.

Itu yang disarankan oleh Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara, Ivan Codina kepada MFL yang kini dalam perancangan menerapkan kawalan ekonomi dengan fokus utama untuk mengawal perbelanjaan pasukan sekali gus mengatasi masalah hutang.

Jelasnya, kawalan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh La Liga sejak 2012 itu turut menggunakan tiga peringkat di mana peringkat pertama adalah menerangkan implikasi peraturan itu kepada pasukan selain manfaat jangka masa panjang yang akan diperoleh.

Peringkat kedua pula melibatkan perlaksanaan sepenuhnya kawalan ekonomi tersebut dengan denda yang lebih rendah kepada pasukan yang gagal mengikuti peraturan itu dan peringkat terakhir adalah dengan memastikan semua pasukan tidak lagi berdepan sebarang masalah mematuhi ketetapan baharu itu demi kebaikan semua pemain.

“Bukan mudah untuk melaksanakan peraturan baharu seperti ini dan ia memerlukan langkah demi langkah untuk pastikan setiap pasukan memahami tujuan utama ia diterapkan dan bukan untuk membebankan.

“Tiga peringkat utama amat penting di mana pasukan perlu terlebih dahulu diberi penerangan sepatutnya mengenai kawalan ekonomi ini sehinggalah mereka benar-benar memahami peraturan itu dan denda yang akan dikenakan sekiranya ada yang tidak mematuhi ketetapan tersebut.

“Benar, tidak semua pasukan akan menyokong sekiranya MFL melaksanakan peraturan ini, tetapi sudah menjadi tugas badan pentadbir memastikan setiap pasukan faham kesan positif jangka masa panjang sepertimana yang telah dipraktikkan oleh La Liga sendiri dalam usaha menangani masalah kewangan”, katanya.

(Photo by Brian Ach/Getty Images for LaLiga)

Dalam masa yang sama, Ivan tidak menolak ada kelab dan pasukan yang suka berbelanja lebih daripada kemampuan mereka untuk mendapatkan pemain bergaji lebih tinggi.

Dan oleh sebab itu, salah satu tujuan utama wujudnya kawalan ekonomi adalah untuk memastikan semua pasukan hanya dibenarkan berbelanja mengikut kemampuan kewangan pasukan.

Ini bagi mengelakkkan masalah pembayaran gaji pemain apabila ada pasukan yang berbelanja sesuka hati dengan menawarkan gaji besar di luar kemampuan.

“ Sememangnya pasukan tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan mereka kerana ia akhirnya akan memberi mudarat kepada pemain-pemain pula sekiranya tidak mendapat gaji pada waktu yang sepatutnya.

“Seandainya pasukan atau kelab sudah diberitahu peruntukkan sebenar mereka untuk satu musim, saya percaya masalah ini akan berkurangan kerana mereka pastinya sudah tahu untuk menguruskan pasukan dengan jumlah yang telah ditetapkan”, katanya

Anggaran perbelanjaan pasukan Liga Malaysia pada 2016.

Untuk rekod kawalan ekonomi yang telah digunapakai oleh La Liga sejak tahun 2012 telah terbukti berjaya menghapuskan hutang majikan ke atas pemain.

Selepas peraturan itu diperkenalkan, La Liga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN