Pemain antarabangsa Jerman yang merupakan ‘arkitek’ kreatif Arsenal, Mesut Ozil menyifatkan amat mudah bagi buat dirinya untuk mengatakan ‘ya’ terhadap lanjutan kontrak bersama kelab London tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas Ozil mengimpikan untuk mendakap beberapa kejuaraan bersama Arsenal.
Sebelum ini, desas-desus melaporkan bahawa Ozil bakal meninggalkan Stadium Emirates dan Manchester United kelihatan sebagai pilihan utama destinasi buat beliau.
Mesut Ozil bagaimanapun melenyapkan segala spekulasi mengenai dirinya apabila menandatangani kontrak baru untuk kekal bersama Arsenal sehingga tahun 2021.
Mengulas mengenai keputusan yang dilakukanya itu, Ozil berkata: ”Ianya sangat baik.”
”Saya gembira untuk menandatangani kontrak bersama sebuah kelab yang besar seperti Arsenal. Saya sentiasa berkata kepada kelab bahawa saya gembira disini dan kini saya menandatangani kontrak lanjutan. Saya sangat gembira.”
”Rakan sepasukan dan keluarga sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Saya mempunyai banyak sasaran disini dan mahu mencapainya. Saya sangat gembira. Saya juga menyukai bandar ini (London).”
”Sebelum menandatangani kontrak baru, saya berbincang dengan keluarga mengenai apa keputusan terbaik yang perlu saya lakukan. Di akhirnya, ianya sangat mudah buat saya untuk mengatakan ‘ya’ terhadap kelab ini.”
”Saya akan berada di sini untuk beberapa tahun lagi dan saya mengharapkan agar kami dapat memenangi beberapa kejuaraan bersama pasukan. Saya percaya dengan perkara ini.”
Mesut Ozil menyertai Arsenal dari Real Madrid dengan rekod perpindahan kelab ketika itu dengan nilai £42.5 juta pada jendela perpindahan musim panas tahun 2013.
Beliau telah membuat 189 penampilan bersama Arsenal dengan menghasilkan 37 jaringan serta menjadi penyumbang bantuan jaringan yang hebat buat pasukan.