Bintang bola sepak Argentina dikatakan menerima bayaran untuk “signing on fees” dari Paris Saint-Germain (PSG) menggunakan mata wang krypto kelab itu. Perkembangan tersebut adalah satu lagi nama besar yang dikaitkan dengan dunia aset digital.
Signing on fees atau bayaran ketika menandatangani kontrak merupakan bayaran kepada pemain dan biasanya juga kepada ejen sebaik sahaja pemain menurunkan tanda tangan pada kertas kontrak baru. Ejen dibayar kerana menjadi perantara dalam perbincangan kontrak.
Penyerang berusia 34 tahun itu meninggalkan Barcelona dan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama PSG yang dimiliki oleh kaum kerabat dari Qatar. Kedua-dua pihak turut difahamkan mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh kontrak selama setahun selepas itu.
Pakej selamat datang
Ketika mengesahkan kedatangan Messi di Parc des Princess pada mingglu lalu, PSG turut mengesahkan Messi akan dibayar menggunakan token “$PSG fan tokens” – iaitu mata wang krypto yang dilancarkan oleh kelab itu pada tahun lepas.
Pakej tersebut sebenarnya menyerupai signing on fee yang lazim diterima pemain lain. Kontrak Messi kali ini tidak mengandungi bayaran signing on fee seperti kebiasaan.
Soccer superstar Messi is being partly paid in crypto by PSG https://t.co/bxzMz0zovR
— CNBC (@CNBC) August 12, 2021
Sebaliknya PSG mengambil pendekatan berbeza dengan memperkenalkan bayaran menggunakan matawang krypto.
Tiada nilai tertentu didedahkan kepada umum mengenai jumlah yang dibayar kepada Messi, dan pihak kelab hanya berkata jumlah yang dipersetujui adalah memadai dan mencukupi. Namun berdasarkan satu laporan dari Reuters, pakej selamat datang di dalam bentuk matawang yang diterima Messi bernilai sekitar $29-35 juta (RM123-RM148 juta).
Fan tokens
Fan tokens adalah sejenis matawang krypto yang membenarkan pemiliknya mempengaruhi keputusan-keputusan kecil melibatkan kelab. Antara kelab bola sepak lain yang memiliki matawang krypto sendiri adalah seperti Manchester City, AC Milan, dan bekas kelab Messi, Barcelona.
Token atau matawang krypto tersebut kini dilihat sebagai salah satu cara kelab boleh meraih keuntungan secara perniagaan digital.
Soccer Star Messi Embraces Crypto In Move To Paris Saint-Germain https://t.co/sxye9F2mPH pic.twitter.com/UXoi1m95wd
— Forbes (@Forbes) August 12, 2021
Socios.com yang menyediakan token untuk PSG dan kelab-kelab bola sepak lain berkata matawang tersebut mampu meraih sehingga $200 juta untuk rakan niaga mereka pada 2021. Membayar Messi menggunakan matawang tersebut sudah pun menguntungkan PSG.
Beberapa hari lalu, Forbes melaporkan nilai ‘$PSG fan tokens’ telah melonjak sehingga paras tertinggi bernilai $60 seunit.
Rumusan
Seperti bitcoin dan matawang digital yang lain, fan tokens milik PSG juga boleh diniagakan. Ia juga memiliki kecenderungan untuk turun dan naik dari segi nilai secara mendadak.
Tetapi ia tidak pernah menghalang matawang krypto terus disokong pemain berprofil tinggi di dalam bisnes hiburan seperti pemilik Tesla, Elon Musk; pengasas Twitter, Jack Dorsey dan penyanyi rap, Jay-Z.
Nilai mata wang $PSG dilaporkan melonjak berikutan penyokong-penyokong kelab itu yang berebut untuk memilikinya selepas kelab Paris itu mengesahkan ketibaan Messi.