Pemain Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi memilih untuk meletakkan undinya kepada rakan sepasukannya dari Perancis iaitu Kylian Mbappe sebagai pemenang Ballon d’Or untuk edisi 2021.
Beliau yang kini bergandingan dengan pemain muda Perancis itu memilih untuk memberikan undinya kepada Mbappe yang jelas sekali antara pemain muda paling hebat di dunia ketika ini.
Malah, Messi juga turut ingin memberikan undinya kepada seorang lagi rakan sepasukannya di PSG iaitu Neymar.
“Jelas sekali, saya ada dua pemain dari pasukan saya yang saya akan undi iaitu Kylian Mbappe dan juga Neymar.”
Messi turut kekal sebagai calon untuk memenangi anugerah ini walaupun tidaklah mempunyai musim yang gemilang pada musim lalu.
Beliau menjuarai Copa Del Rey bersama-sama Barcelona dan memenangi Copa America dengan Argentina.
Ramai berpotensi untuk menang
Messi yang akan mengundi menggunakan kapasitinya sebagai ketua pasukan Argentina mengakui yang terlalu ramai pemain yang berhak untuk memenangi anugerah berprestij itu.
Antara pemain yang layak adalah Jorginho, Robert Lewandowski, dan juga Karim Benzema.
Jorginho adalah pemain yang disebut-sebut bakal membawa pulang anugerah tersebut selepas persembahan cemerlang pemain itu Itali itu bersama-sama Chelsea dan pasukan kebangsaannya.
Beliau memberikan kejuaraan UEFA Champions League buat Chelsea dan Euro 2020 kepada Itali pada musim lalu.
Sementara bagi Lewandowski dan juga Benzema, kedua-dua pemain beraksi dengan cukup baik untuk pasukan kelab mereka apabila terus menunjukkan ketajaman di hadapan pintu gol.
“Ada pemain yang mempunyai musim yang cukup baik sebagai pemain individu seperti Robert Lewandoswki. Karim Benzema juga mempunyai tahun yang baik,” ujar Messi.
Pada Messi, pencapaian bersama-sama pasukan amat penting dalam menentukan siapakah yang bakal memenangi anugerah ini.
“Sukar untuk kita tentukan [siapa akan menang] kerana apa yang anda lakukan bersama-sama pasukan amat diambil kira dalam Ballon d’Or.”
“Ianya sering digunakan untuk menilai pemain terbaik pada tahun itu tetapi sekarang ianya lebih kepada siapa yang memenangi piala paling banyak.”
“Apabila memenangi piala, ianya memberikan lebih banyak peluang untuk mendapatkan anugerah ini.”