Akhbar Marca melaporkan Lionel Messi telah berlatih seorang diri selepas kekalahan 3-0 di tangan Juventus.
Dalam sesi latihan pasukan semalam, Lionel Messi tidak terlibat dalam sesi yang dikendalikan oleh Enrique.
Ia adalah latihan untuk persediaan menghadapi Sociedad pada hujung minggu ini. Messi sebaliknya telah menjalani latihan berseorangan di gym.
Pemain-pemain lain pula diberikan latihan ekstra oleh Luis Enrique. Sebelum sesi latihan berpasukan semalam juga, Luis Enrique mengadakan sesi taklimat pasukan.
Beliau turut menayangkan analisis dan beberapa kelemahan mereka di dalam perlawanan di Turin.
Messi turut tidak hadir untuk sesi 30 minit tersebut. Seorang lagi pemain turut berada di gym iaitu Neymar. Namun Neymar tidak boleh bermain pada hujung minggu ini kerana penggantungan.
Enrique tahu tugas mereka selepas ini sangat sukar untuk melakukan kebangkitan sekali lagi seperti yang mereka lakukan ke atas PSG.
Namun fokus mereka buat masa ini adalah Real Sociedad. Barcelona akan menentang Real Sociedad , 15 April ini.
19 April nanti, mereka akan berhadapan dengan Juventus. 4 hari selepas itu, adalah perlawanan el-clasico.
Ini bukan pertama kali Lionel Messi menunjukkan ketidakpuasan hati beliau kepada Enrique. Lionel Messi dikatakan tidak berapa gemar taktikal Enrique tempoh hari.
Ia ternyata telah memakan diri mereka apabila Juventus memanipulasi kelemahan mereka di sisi padang terutama sekali Juan Cuadrado yang diberikan ruang terlalu besar.
Lionel Messi pada masa yang sama masih belum menandatangani kontrak lanjutan di Camp Nou. Kontrak semasa beliau hanya berbaki 15 bulan sahaja.
Sebelum ini, ayah beliau,Jorge Horacio Messi yang merupakan pengurus peribadi Messi telah menyatakan mereka tidak akan terburu-buru dalam isu kontrak baru.
Jorge juga meluahkan rasa tidak puas hati beliau ke atas Lembaga Cukai Sepanyol yang didakwa beliau kerap memberikan masalah kepada Lionel Messi kerana prosedur yang sukar.
Baca juga: Pogba Mengaku Tertekan Hidupkan Jangkaan ‘Tak Masuk Akal’ Di Man United