Lionel Messi kini sah dilantik sebagai kapten pasukan Barcelona yang baharu secara rasmi.
Perlantikan Messi adalah selepas Andres Iniesta memilih untuk meninggalkan Nou Camp untuk ke Jepun selepas tamat saingan La Liga pada musim lalu.
Messi pernah menjadi kapten Barcelona di dalam beberapa perlawanan sebelum ini, dan merupakan penolong kapten yang rasmi sejak 2015.
Manakala pemain tengah, Sergio Busquets akan dilantik sebagai penolong kapten, bersama-sama Gerard Pique dan Sergo Roberto beserta Messi akan membentuk sebuah kumpulan yang memimpin keseluruhan skuad bermula musim ini.
Semua pemain tersebut merupakan produk akademi La Masia sebelum beraksi bersama skuad utama Barcelona.
Sebagai kapten, Messi pasti berharap untuk menjulang trofi pertama pada Ahad akan datang apabila skuad kendalian Ernesto Valverde akan berhadapan Sevilla dalam perlawanan Supercopa Sepanyol.
Setelah kecewa di Piala Dunia yang lalu, Messi pasti mahu menebus kekecewaan tersebut dengan melalui musim baru yang berjaya.
Musim lalu Barcelona hanya tewas satu perlawanan untuk bergelar juara La Liga. Gergasi Catalan itu juga bergelar juara berganda apabila turut menjuarai Copa del Rey pad musim lalu.
Selain aksi di peringkat domestik, Messi dan Barcelona pasti turut mahu mensasarkan UEFA Champions League yang didominasi oleh seteru utama, Real Madrid sejak tiga musim yang lalu.
Musim ini, Barcelona telah membawa masuk Malcom, Arthur, Clement Lenglet dan Arturo Vidal untuk menguatkan skuad sedia ada dalam menghadapi cabaran pada musim baru.
Barcelona akan membuka tirai musim baru pada 18 Ogos dalam perlawanan menentang Alaves.