Perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah berakhir dengan tragedi buat Mohamed Salah apabila mengalami kecederaan di bahagian bahu selepas bertembung dengan pemain Real Madrid, Sergio Ramos.
Salah yang menjaringkan 44 gol dalam semua kejohanan bersama Liverpool musim ini, meninggalkan padang sambil menangis pada minit ke-31. Hal ini kerana Salah sedar impiannya untuk beraksi di Piala Dunia musnah jika ditimpa kecederaan yang serius.
Namun begitu, Persatuan Bola Sepak Mesir yakin pemain utamanya, Mohamed Salah sempat pulih untuk mewakili negaranya bagi beraksi di pentas Piala Dunia yang akan bermula dalam masa 16 hari lagi.
Menteri Belia dan Sukan Mesir Khaled Abd El-aziz di laman Facebooknya berkata, ia berdasarkan hasil ujian imbasan (x-ray) yang menunjukkan tahap kecederaan Salah tidak seteruk yang disangkakan.
Pengesahan itu sekali gus meredakan keresahan peminat Mesir susulan kenyataan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang sebelum ini memberi bayangan Salah bakal terlepas Piala Dunia selepas kecederaan bahu yang dialaminya pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, awal pagi tadi kelihatan sangat serius.
Bagaimanapun, Abd El-aziz tampil memberitahu bahawa Salah hanya mengalami kesakitan ligamen bahu, bukannya patah dan optimis pemain itu akan kembali cergas untuk Piala Dunia.
“Salah dijangka memerlukan dua minggu untuk rawatan. Dia akan terus berada di Liverpool dan menjalani pemulihan sebelum menyertai pasukan Mesir di Itali,” katanya.
Mesir akan berada di Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990 dan akan menentang tuan rumah Russia, Uruguay dan Arab Saudi dalam Kumpulan A.
Sementara itu, Sergio Ramos menjelaskan dia tidak berniat untuk cederakan Salah sebaliknya hanya menjalaskan tugas sebagai pemain pertahanan untuk mengekang asakan pemain lawan.
“Kadang-kadang dalam bola sepak ini yang akan berlaku, ada yang baik dan ada masa yang buruk.
“Apa pun, saya dan Salah tetap rakan baik.
“Jadi, sebagai kawan, saya doakan agar Salah cepat sembuh kerana masa depan menanti anda,” kata Ramos.