Pengendali sementara Guangzhou FC, Pan Yonghe menegaskan skuad mudanya tidak gentar dengan cabaran yang bakal diberikan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi pertama AFC Champions League (ACL), esok.
Guangzhou terbang ke Johor Bahru untuk saingan ini dengan skuad simpanan yang dibarisi rata-rata pemain simpanan dan akademi. Skuad utama tidak dapat dibawa atas sebab komitmen dalam saingan liga mereka.
Malah, skuad utama mereka juga sebenarnya ketika ini hanya dibarisi pemain tempatan selepas kelab terkaya di Chinese Super League itu mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga memaksa mereka melepaskan semua lima pemain kelahiran Brazil yang juga merupakan pemain naturalisasi China milik mereka, musim lalu.
ACL 2022: Guangzhou FC Sekadar Hantar Skuad Remaja Lawan JDT
Walaupun dibarisi pemain muda, Pan Yonghe tetap yakin anak buahnya mampu memberikan cabaran kepada gergasi Liga Malaysia itu. Baginya, inilah masa terbaik bagi pemain-pemain muda China untuk menyerlah.
“Ini adalah sebahagian daripada perancangan baharu kelab untuk memberi penekanan yang lebih kepada pembangunan pemain muda. Ini adalah visi jangka panjang kami untuk melahirkan ‘superstar’ dari akademi kami. Untuk saingan kali ini, kami yakin mampu memberi yang terbaik, yang penting lebih baik daripada edisi lalu. JDT sangat kuat di saingan tempatan tetapi ini mesej kami kepada mereka – kami tak gentar.”
Pan Yonghe, sidang media Guangzhou FC vs JDT
Ia selari dengan kenyataan pengendali JDT, Benjamin Mora yang menyatakan yang skuad muda ini tidak boleh dipandang mudah hanya disebabkan usia mereka. “Saya tidak anggap ia mudah kerana mengenali Guangzhou FC, mereka memiliki akademi bolasepak yang terbaik di Asia,” ungkap Mora dalam sidang media yang sama.
Pan Yonghe "This is great time for Guangzhou Academy"#ACL2022 #JDTvGUA #GuangzhouFC#SNESportshttps://t.co/feAj4OBr0y
— SNEsports (@SNE_Sports) April 14, 2022
Atas sebab itu, Pan Yonghe mengharapkan para pemainnya dapat mempamerkan aksi berkualiti untuk meraih pengalaman, membesar dan berkembang menjadi pemain yang lebih baik di pertandingan terbaik di Asia.
“Sebelum datang ke Johor untuk aksi ACL, kami bukan sahaja telah membuat kajian terhadap pasukan JDT, malah ia membabitkan pasukan Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan Kawasaki Frontale [Jepun] kerana semua pasukan yang bertanding cukup hebat dan memiliki pemain-pemain berkualiti.”
JDT akan turun menentang Guangzhou dalam aksi pertama Kumpulan I, ACL 2022 pada jam 10.00 malam esok di Stadium Sultan Ibrahim. Perlawanan tersebut juga akan disairkan secara langsung di Astro Arena 2.