Kelibat Pengarah Teknikal baharu Penang, Merzagua Abderrazak antara mencuri tumpuan ketika ini dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana nama beliau bukan sesuatu yang asing buat Liga Malaysia (Liga M).
Merzagua secara rasminya dilantik sebagai Pengarah Teknikal Penang dan berkuat kuasa sejak awal Januari dalam usaha pasukan tersebut untuk membentuk kembali segalanya menjadi lebih baik.
Beliau yang pernah menabur bakti bersama Penang selaku pemain suatu ketika telah pun mencipta rekod tersendiri dalam saingan Liga M selepas pernah dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.
Untuk rekod, ini kali ketiga beliau kembali ke Penang selepas Merzagua pernah hadir sebagai pemain, jurulatih, dan terbaharu selaku Pengarah Teknikal.
Menggalas tugas baharu ini, Merzagua mengakui cabaran berbeza bakal dilaluinya dan beliau kekal optimis untuk mencurahkan segalanya kepada Penang.
“Ini kali ketiga saya di Pulau Pinang. Kali pertama sebagai pemain kali kedua sebagai jurulatih dan sekarang sebagai Pengarah Teknikal. Setiap kali saya datang ke sini cabaran ditempuh berbeza-beza.
“Kali pertama saya datang sebagai pemain (pada 1996) semua orang tahu, saya bermula dengan sifar kemudian kami menjadi pasukan terbaik di Malaysia.
“Kali kedua, saya juga menghadapi cabaran dalam Liga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk masa yang lama sebelum berjaya menjadi juara sehingga akhirnya dinaikkan pangkat ke Liga Perdana.
“Jadi kali ketiga ini saya akui bakal menjadi cabaran baharu buat saya,” katanya menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Berita Harian sebelum itu.
Pada masa sama, Merzagua sebenarnya telah pun menganggap Penang sebagai rumah keduanya dan tiada apa lebih bermakna buat bekas pemain import dari Maghribi itu untuk menyumbang kejayaan bersama kelab berkenaan.
Disebabkan itu, beliau merasa sangat teruja ketika diberi peluang sekali lagi untuk berkhidmat bersama Penang untuk cabaran musim hadapan.
“Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Kita perlu identiti kita. Gaya permainan, semangat juang mestilah sesuatu yang istimewa untuk Pulau Pinang kerana itu saya memilih berada di sini.
“Saya akan melakukan yang terbaik, sudah tentu kita tidak bersendirian kerana ada pihak pengurusan, pasukan dan anda semua (penyokong) bersama-sama.
“Jadi saya pasti dan percaya kita boleh melakukannya. Anda harus percaya kepada kami,” katanya akhir sekali.