Merungkai Respon Jurgen Klopp Selepas Dibidas PM UK Kerana Halalkan Penyokong Liverpool Cemuh Lagu Kebangsaan ‘God Save The Queen’

Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson, telah mengecam Jurgen Klopp kerana mengatakan penyokong Liverpool memiliki alasan untuk tersendiri untuk mencemuh lagu kebangsaan England ketika perlawanan akhir FA Cup 2021/2022 di Stadium Wembley baru-baru ini.

Mengulas mengenai insiden dalam kemenangan ke atas Chelsea itu, Klopp sebelum ini berkata: “Sudah tentu saya mempunyai pendapat [tindakan penyokong Liverpool], tetapi di dalam situasi ini lebih baik kita bertanya mengapa ianya terjadi.

“Saya kenal penyokong Liverpool, dan mereka tidak akan melakukannya jika tiada ada alasan untuk berbuat demikian.

“Saya tidak cukup lama di sini untuk memahami alasan tersebut. Ia adalah sesuatu yang [berkaitan] dengan sejarah dan mungkin pertanyaan yang anda [media] miliki adalah jauh lebih baik daripada yang saya berikan.

“[Mengenai] penyokong kami, saya tahu beberapa penyokong kelab lain melihat perkara ini dengan cara sedikit berbeza, adalah penyokong yang luar biasa.

“Mereka [penyokong] yang bijak, telah melalui saat sukar, dan waktu yang baik, [telah] menderita bersama.

“Mereka tidak akan melakukannya jika tidak ada alasan, itu yang saya tahu. Mungkin kita harus bertanya sebegini juga,” kata Klopp cuba menjelaskannya.

Maksud sebenar bangsa Scouse

Apa yang dijelaskan oleh Klopp sebenarnya berkaitan dengan sejarah Liverpool sebagai sebuah bandar perlabuhan satu masa dahulu, dan terma ‘Bangsa Scouse’ – gelaran yang sinonim dengan penyokong Liverpool di Premier League.

Scouse itu sendiri ialah bangsa Inggeris. Lebih tepat, bangsa Inggeris yang berasal dari Liverpool. Mereka yang berbangsa Scouse akan dipanggil sebagai Scouser.

Tetapi realitinya, rata-rata penyokong Liverpool atau yang digelar sebagai Bangsa Scouse sememangnya tidak senang dengan orang Inggeris sendiri.

Ada banyak perkara yang menyebabkan hubungan Scouse-Inggeris menjadi dingin sama ada kerana bola sepak atau perkara lain yang berkait secara tidak langsung.

Piala Dunia 1966

Pada Piala Dunia 1966 misalnya, perlawanan separuh akhir di antara England dan Portugal sepatutnya diadakan di Goodison Park, gelanggang milik Everton.

Tetapi Presiden FIFA pada ketika itu, juga merupakan orang Inggeris iaitu Stanley Rous mengubah lokasi perlawanan ke Wembley yang memiliki kapasiti stadium yang lebih luas.

Keputusan tersebut bertujuan membenarkan lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan, sekali gus menambah pendapatan dari hasil jualan kutipan tiket.

Pada era itu, tidak banyak cara untuk penganjur mendapatkan keuntungan. Oleh kerana itu, langkah tersebut dianggap wajar oleh kebanyakkan orang Inggeris, kecuali yang berasal dari Liverpool.

Keputusan tersebut mengecewakan rata-rata penduduk tempatan yang ternanti-nanti untuk menyaksikan sendiri kelibat pemain terbaik dunia tiba di bandar Liverpool pada ketika itu.

Sebuah akhbar Sweden, Dagens Nyheter menulis: “Ini (Liverpool) adalah bandar bola sepak utama di England- bukannya sebuah bandar yang kaku dan dingin seperti London sehingga anda tidak sedar bahawa kejohanan Piala Dunia sedang berlangsung.”

Akibatnya, perlawanan gantian membabitkan pertemuan Jerman Barat dan Brazil yang dilangsungkan di Goodison Park diboikot dan mengakibatkan penurunan jumlah penonton.

Tragedi Hillsborough

15 April 1989 adalah tarikh yang akan diingati oleh mana-mana penyokong Liverpool sebagai salah satu tarikh yang penuh dengan detik hitam.

97 penyokong Liverpool terkorban selepas akibat bersesak di dalam stadium ketika perlawanan separuh akhir FA Cup diantara Liverpool dan Nottingham Forest.

Kejadian itu adalah tragedi sukan paling teruk melanda England. Ironinya, sikap penyokong Liverpool sendiri yang dipersalahkan atas tragedi tersebut.

Pihak polis menyalahkan penyokong yang mabuk namun penjelasan ini ditolak pihak keluarga mangsa dan komuniti Liverpool.

Tidak dapat dinafikan, dakwaan tersebut membuatkan penyokong Liverpool tidak senang. Selepas 27 tahun, melalui satu inkues yang mulakan pada 2012, akhirnya penyokong Liverpool disahkan bukan penyebab dan pencetus kepada tragedi tersebut.

Walaupun sudah disahkan sedemikian, sedikit sebanyak ianya bagaikan keseluruhan England menuding jari kepada seluruh komuniti Liverpool pada masa itu.

Kerajaan pusat vs Liverpool

Rasa tidak senang ini tidak terhad kepada bola sepak sahaja. Ianya telah berakar umbi sejak dari tahun 1911 lagi.

Pada era itu, Liverpool adalah nadi utama kepada ekonomi Britain dan United Kingdom.

Mogok golongan pekerja, turut dikenali sebagai Mogok Sektor Pengankutan Awam 1911 telah berlaku.

Bermula dari sektor pengangkutan membabitkan kesatuan pelayar, ianya merebak ke sektor-sektor perkhidmatan dan idustri yang lain seperti perkhidmatan kereta api, bomba dan lain-lain.

Kemuncak kepada mogok tersebut menyaksikan himpunan melibatkan 85 ribu orang, memaksa Winston Churchill yang merupakan Menteri Pertahanan pada ketika itu mengerah 3,500 bala tentera ke St. George Hall di Lime Street.

Ribuan dilaporkan tercedera dan kematian turut dilaporkan berlaku apabila ribuan peserta perhimpunan dan askar bertembung.

Kejadian pada 13 Ogos 1911 itu dianggap sebagai kejadian berdarah dalam sejarah Liverpool.

Selain daripada insiden berdarah pada 1911, Perdana Menteri, Margaret Thatcher dari 1979 sehingga 1995 juga bukan individu yang digemari di Liverpool.

Thatcher dituduh sebagai individu yang bertanggungjawab sebagai punca kelembapan industri di Liverpool kerana polisi yang dibawanya ketika memegang tampuk pemerintahan kerajaan United Kingdom.

Bantahan terhadap Thatcher turut mewujudkan satu rusuhan berlaku di Liverpool pada 1981.

Mereka tak pernah berpuas hati

Bagi bangsa Scouse, England adalah penentang kepada mereka di dalam setiap perkara.

Pelbagai perkara yang berlaku ini sedikit sebanyak membuatkan bangsa Scouse berasa diri mereka dianaktirikan terutamanya oleh kerajaan pusat dalam hal-hal pembangunan negara.

Tragedi Hillsborough juga menjadi antara punca besar kepada sukarnya untuk hubungan dua pihak ini menjadi semakin baik.

Bola sepak adalah perkara yang besar di England, begitu juga di Liverpool. Dengan terjadinya perkara ini, ianya pasti membuatkan komuniti di Liverpool tidak senang dengan kerajaan apabila mereka disalahkan atas apa yang jadi.

Perkara-perkara di atas hanya sebahagian daripada apa yang berlaku, dan mungkin ada lebih banyak lagi sebab-sebab lain yang tidak dikisahkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN