Merungkai Kewujudan 17 Kampus Universiti Sukan Di Thailand, Bukti Malaysia Sudah Jauh Ketinggalan

Thailand telah terbukti sebagai sebuah negara kuasa besar dalam arena sukan di rantau Asia Tenggara. Daripada 31 edisi penganjuran Sukan SEA, negara gajah putih ini muncul juara paling banyak bagi temasya dwi tahunan tersebut iaitu sebanyak 13 kali.

Untuk mendapatkan hasil sedemikian, sudah tentu ia memerlukan perancangan yang sistematik serta usaha yang berterusan.

Dengan populasi lebih 60 juta penduduk, Thailand telah pun merangka kaedah terbaik untuk mengasah bakat-bakat dalam kalangan rakyat mereka. Salah satunya adalah penubuhan universiti sukan.

Sejauh mana kewujudan institusi berteraskan sukan ini mampu membantu perkembangan sukan di negara mereka?

Kunjungan Semuanya BOLA ke Universiti Sukan Kebangsaan Thailand (TNSU) di Chiang Mai mungkin sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan ini.

Pertemuan berlangsung melibatkan wakil dari TNSU Chiang Mai iaitu Prof. Phimpa Imsamranrat, Pembantu Presiden bagi Hal Ehwal Akademik dan Puan Napak Uthaimaneerat, Pembantu Presiden bagi Hal Ehwal Kajian dan Jaminan Kualiti Pendidikan.

Ia turut dibantu oleh Cik Pacharakamon Arkornsakul, Penyelaras Program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dalam Pengurusan Sukan selaku penterjemah bagi temubual ini.

Sejarah penubuhan

Sebelum wujudnya rangkaian universiti sukan dengan urus tadbir yang teratur dan bersistematik di Thailand ketika ini, hakikatnya secara tidak rasmi organisasi ini hanya bermula sebagai Sekolah Latihan Guru Pendidikan Jasmani pada tahun 1936 bagi membekalkan guru-guru terlatih ke sekolah-sekolah.

Kemudian secara rasmi, tertubuhnya Kolej Pendidikan Jasmani (College of Physical Education) pada 1971 di mana pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian pada waktu itu mendapat kelayakan diploma.

Selepas itu ia dinaiktaraf kepada Institut Pendidikan Jasmani (Institute of Physical Education) pada 2005 yang membolehkan pelajarnya menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana.

“Ketika ini kami mula fokus dalam menghasilkan graduan dalam bidang sains sukan, pengurusan sukan serta sukan dan rekreasi,” ujar Prof. Phimpa memulakan bicara.

“Kami hanya berjaya dinaiktaraf kepada kepada universiti sukan pada 2019 setelah draf cadangan dikemukakan kepada Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dan baginda bersetuju untuk meluluskannya.

“Status sebagai universiti membolehkan kami membuka lebih banyak cabang pengajian selain menawarkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan fizikal.”

Penaiktarafan universiti sukan di negara ini selari dengan Pelan Pembangunan Sukan Kebangsaan Ke-6 (2017-2021) dengan visi menjadikan Thailand sebagai sebuah negara di mana setiap individu mengambil berat tentang sukan yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

Struktur

Dari segi sistem organisasi, TNSU mempunyai 17 kampus di seluruh Thailand dan ibu pejabatnya terletak di Chonburi, tidak jauh dari bandar metropolitan Bangkok.

Kampus-kampus lain terletak di Angthong, Chiyaphum, Chonburi. Chumphon, Krabi, Lampang, Maha Sarakham, Phtchabun, Samut Sakhon, Sisaket, Sukhotai, Trang, Udonthani dan Yala.

Secara umumnya ia diketuai oleh seorang Presiden dan jawatan tertinggi di setiap kampus pula adalah Naib Presiden.

Sebahagian daripada kampus TNSU ini juga, mereka juga telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan sekolah sukan di mana setakat ini terdapat 13 sekolah sukan di seluruh Thailand.

TNSU mempunyai tiga fakulti utama. Pertama adalah Fakulti Pendidikan Jasmani yang dikekalkan sejak awal penubuhan di mana ia menawarkan dua program iatu Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kebanyakan graduan bidang ini akan dilatih untuk menjadi guru pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Kedua adalah Fakulti Seni yang menawarkan dua program iaitu Pengurusan Sukan serta Pelancongan dan Rekreaksi Sukan. Fakulti ketiga pula adalah Fakulti Sains Sukan yang turut menawarkan dua program iaitu Sains Sukan dan Sains Kesihatan.

Termasuk program sarjana dan doktor falsafah dalam bidang Pendidikan Jasmani, keseluruhannya TNSU kini mempunyai lapan program.

“Objektif umum penubuhan universiti sukan ini adalah memberi pendidikan kepada anak-anak Thailand terutamanya para atlet, menyediakan servis sukan dan membuat kajian khusus dalam bidang sukan,” jelas Prof. Phimpa lagi.

“Apa yang menjadikan kami berbeza dengan universiti lain di Thailand adalah kami benar-benar memberi fokus kepada pendidikan sukan sehingga mampu menghasilkan pakar dalam bidang sains sukan dan tenaga pengajar dalam bidang sukan di seluruh negara.

“Selain itu, objektif kami juga adalah membina barisan atlet elit dengan menyediakan laluan ke arah bidang sukan profesional untuk jangka masa panjang.”

Fleksibiliti buat atlet

Di universiti ini terdapat dua kumpulan pelajar. Yang pertama mereka yang tidak mempunyai sebarang latar belakang sukan. Kumpulan kedua pula adalah mereka yang terdiri daripada atlet sukan termasuklah mereka yang beraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi pelajar yang merupakan atlet kebangsaan mewakili negara ini, kebiasaannya mereka perlu menyertai kem latihan berpusat bagi sukan masing-masing terutamanya menjelang kejohanan besar.

Dalam keadaan itu, para pensyarah TNSU akan berkomunikasi dengan jurulatih sebagai perantara bagi memberikan tugasan universiti selain menyusun pengajian secara dalam talian.

“Kebiasaannya, setiap program yang ditawarkan ia mengambil masa empat tahun untuk diselesaikan, tetapi bukan bermaksud selepas empat tahun semua pelajar sudah bergraduasi. Mereka diberi masa maksimum sehingga lapan tahun.

“Jika sebahagian atlet ini perlu menyertai kem latihan untuk sesebuah kejohanan, mereka mungkin terpaksa menangguhkan pengajian untuk semester tertentu. Jadi mereka dibenarkan untuk menangguhkan pengajian.”

TNSU melihat pendidikan dan sukan perlu bergerak seiring dalam usaha untuk menghasilkan atlet yang berdisiplin, kerana secara asasnya pembentukan seorang pelajar yang baik akan menghasilkan atlet yang berjaya dalam pelbagai aspek.

Fasiliti

Keluasan TNSU Kampus Chiang Mai tidaklah terlalu besar kerana ia terletak di tengah kepadatan bandar kedua terbesar di Thailand tersebut.

Tetapi kewujudannya telah membuktikan satu perkara iaitu tidak timbul isu ‘tidak cukup tanah’ untuk mewujudkan sebuah pusat pengajian yang lengkap dengan kemudahan pelbagai jenis sukan.

Di samping dua bangunan utama yang menempatkan pejabat pentadbiran, bilik kuliah dan perpustakaan, fasiliti sukan di TNSU Chiang Mai telah dibina secara bertingkat bagi mengoptimumkan keluasan tanah universiti.

Sebuah bangunan empat tingkat dibina lengkap dengan pusat fisioterapi, gimnasium, gelanggang gusti, tinju, judo, taekwando, futsal, bola tampar, bola baling, bola keranjang, badminton, ping pong, memanjat, menembak dan angkat berat.

Terdapat juga sebuah stadium mini untuk sukan bola sepak, ragbi dan olahraga. Bersebelahannya pula adalah bangunan yang menempatkan kolam untuk sukan renang dan terjun serte beberapa gelanggang tambahan untuk sukan sepak takraw, bola tampar pantai, memanjat dan banyak lagi.

Manakala untuk sukan mendayung pula, latihan dilakukan di Sungai Ping yang terletak tidak jauh dari kampus.

TNSU dan bola sepak

Di TNSU Chiang Mai, Pejabat Kecemerlangan Sukan (Sports of Excellent Office) memberi fokus kepada 3 sukan yang dilihat sebagai prospek cerah untuk tahap kebangsaan iaitu sukan mendayung, menembak dan gusti. Pada peringkat ini, TNSU amat fokus kepada sukan Thai Boxing.

https://twitter.com/Natthakul09/status/1448526318128152579?t=Y4e93Yc6mVDzIFzJKaOLFQ&s=19

Meskipun mempunyai pasukan bola sepak kampus, namun setakat ini ia belum menjadi fokus utama, tetapi dalam masa yang sama terdapat program untuk pembangunan pengadil bola sepak dengan kerjasama persatuan-persatuan bola sepak seluruh negara.

“Penaiktarafan universiti ini baru sahaja bermula kira-kira empat tahun lalu. Presiden TNSU sebenarnya memang mahu fokus kepada pembangunan semua sukan, jadi ia memerlukan langkah demi langkah,” tambah Prof. Phimpa.

“Bola sepak ini dianggap sukan di tahap yang tinggi, jadi kami percaya sampai satu masa bola sepak juga akan menjadi fokus TNSU.

“Bagaimanapun dari segi pencapaian, sejak kami menjadi Institut lagi sudah ada 3 orang pelajar yang merupakan pemain kebangsaan. Salah seorangnya adalah Natee Thongsookkaew yang mempunyai 87 kaps di peringkat antarabangsa dan pernah dilantik selaku kapten skuad kebangsaan Thailand pada 1996 hingga 1998.

“Ada juga beberapa pelajar lain yang beraksi bersama kelab-kelab profesional beraksi di liga utama Thai. Setiap kampus TNSU mempunyai pasukan bola sepaknya sendiri.

“Kami tidak ada apa-apa MoU atau perjanjian dengan kelab-kelab tempatan, Realitinya pasukan universiti kami masih belum capai tahap sebagus kelab profesional seperti Chiang Mai FC atau Chiangmai United.

“Tetapi kami cuba untuk melatih murid ini untuk mampu mencapai prestasi yang membolehkan mereka ‘dilamar’ oleh kelab-kelab di sini.”

Penutup

Idea untuk menubuhkan universiti sukan di Malaysia bukanlah perkara baharu. Ia telah pun beberapa kali dibangkitkan oleh ahli akademik.

Antaranya adalah Prof Dr Md Amin Md Taaf, Pakar Pembangunan Sukan dan Rekreasi Luar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mon Redee Sut Txi, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Dr. Pekan Ramli, Ketua Unit Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menerusi tulisan mereka, ia memberi gambaran seolah-olah pemimpin negara kita tidak pernah melihat sukan sebagai sebuah industri yang penting kepada pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat.

Sedangkan tahun demi tahun, negara-negara lain di seluruh dunia sedang giat memajukan sektor sukan dalam pelbagai cabang seperti sains, pendidikan, kejurulatihan, kesihatan, pentadbiran, pelancongan dan banyak lagi.

Adakah kewujudan universiti sukan mampu memberi impak besar kepada kemajuan sukan di Malaysia?

Tidak perlu terlalu jauh mencari jawapan. Lihat sahaja negara jiran kita Thailand yang sudah melangkah semakin jauh dalam mengukuhkan institusi pendidikan mereka dalam bidang sukan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN