Merujuk Hukuman Kes Terdahulu, Adakah FAM ‘Berani’ Gantung Bergson Sehingga 5 Perlawanan?

Tindakan Bergson da Silva melepaskan tumbukan ke kepala pemain pertahanan Kedah, Rodney Calvin telah mengakibatkan pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilayangkan kad merah ketika aksi Liga Super tempoh hari.

Ia merupakan keputusan yang tepat dan berani oleh pegawai perlawanan, Hamdan Awang meskipun penyerang berusia 31 tahun itu cuba untuk bersimulasi berada dalam kesakitan sedangkan dirinya yang cuba mencederakan pemain lain.

VIDEO: Bergson Pamer ‘Bakat’ Dalam Seni Bela Diri Tomoi Di Stadium Darul Aman

Namun persoalan kini menjurus kepada hukuman yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas penjaring terbanyak Liga Super itu.

Mungkin tidaklah terlalu sukar untuk menjangkakan hukuman yang bakal diberikan kepada Bergson dengan merujuk kes-kes atau hukuman terdahulu yang pernah dikenakan kepada pemain yang melakukan kesalahan yang sama berdasarkan Kod Tatatertib FAM.

Amri Yahyah selaku kapten Selangor pada 2012 dikenakan hukuman penggantungan sebanyak tiga perlawanan selain didenda sebanyak RM1,500 selepas dengan sengaja menumbuk di bahagian kelangkang pemain import Kelantan Mohammed Ghaddar.

Pada musim 2017 pula, pemain PKNP FC, Muhammad Fadhil Idris telah digantung daripada beraksi empat perlawanan dan didenda RM1,000 selepas didapati bersalah menumbuk muka pemain pasukan Terengganu, Issey Farran Nakajima.

Farizal Harun ketika beraksi untuk Selangor pada 2019 pernah menerima hukuman penggantungan lima perlawanan dan didenda sebanyak RM5,000 kerana menumbuk pemian PKNP FC, Mohamad Al Fateh Afandi dalam aksi Liga Super.

Tahun lalu, penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Alawee juga digantung lima perlawanan di atas kelakuan tiada semangat kesukanan apabila dengan sengaja menerjah dengan kuat di bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Pin Ramli.

Jika mengambil kira hukuman bagi kes-kes yang terdekat, maka hukuman penggantungan lima perlawanan adalah paling releven untuk Bergson yang secara jelas sengaja bertindak ganas dan berisiko memberi kecederaan serius kepada pemain lawan.

Ia bertepatan dengan ‘Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Perintah keluar padang’.

Justeru itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang diketuai oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu seharusnya bersikap tegas dan adil untuk memberikan hukuman kepada mana-mana pemain tanpa melihat pasukan yang diwakilinya.

Selain itu, tumpuan juga terarah kepada insiden provokasi pemain-pemain skuad Harimau Selatan yang menyentuh dan mengerumuni pengadil seakan-akan telah terdidik untuk tidak menghormati keputusan pengadil walaupun jelas rakan sepasukan mereka telah melakukan kesalahan besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram yang dihubungi Harian Metro menjelaskan pihaknya akan melihat laporan terlebih dahulu dan akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

“Saya belum lihat lagi laporan pengadil. Bagi saya lihat dulu dan kemudian baru kita fikir tindakan seterusnya,” katanya ringkas.

Leave a Reply