UiTM FC jelas tidak akan mengalah dan patah semangat untuk membuat persiapan skuad menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia yang bakal membuka tirai tidak lama lagi meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan termasuk kekurangan dana berbanding musim lalu.
Stuart Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan, skuad yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor itu masih lagi mahu beraksi dalam saingan Liga Malaysia sebagai salah satu pasukan yang berdaftar musim ini.
Tambah beliau, sehingga kini pihak ‘The Lion Troops’ masih lagi tidak menyuarakan hasrat untuk menarik diri dari persaingan liga walaupun persiapan pramusim skuad tersebut agak sepi setakat ini.
“Apa yang saya dengar, rundingan untuk penukaran pemilik tidak dapat berjalan jadi saya sentiasa berhubung dengan mereka. Cuma pada masa ini dan berdasarkan maklumat yang saya terima, UiTM FC sah akan bertanding.
“Setiap pasukan menerima borang pengesahan pertandingan yang perlu diisi dan ditandatangani sebelum dihantar kepada MFL. UiTM FC sudah pun melakukan perkara itu.
“Tiada persiapan pramusim sekalipun, tidak bermakna mereka akan menarik diri kerana dokumentasi hitam putih yang saya terima menyatakan mereka akan bertanding.
“Cuma kalau mereka tidak mendaftarkan pemain sehingga 22 Februari ini, kita akan anggap mereka menarik diri,” katanya menerusi Harian Metro.
Sebelum itu, timbul beberapa isu kurang enak mengenai UiTM FC termasuk desas desus kelab terbabit bakal menjadi yang pertama menarik diri dari Liga M dalam saingan musim 2022.
Isu ini turut diperkuatkan apabila pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim lalu itu turut kekurangan dana untuk meneruskan perjalanan mereka dalam Liga M sekali gus menyaksikan ramai pemain dan pegawai pasukan yang berpindah ke kelab lain untuk meneruskan karier masing-masing.
Lebih menyedihkan apabila kelab bertaraf universiti itu juga boleh dikatakan ‘patah kaki’ untuk beraksi musim ini selain mempersiapkan pasukan yang mantap apabila dana yang diterima telah dipotong sebanyak 50 peratus sekali gus membuatkan skuad tersebut tidak mampu untuk membeli pemain baharu.
Kemuncak apabila pasukan tersebut turut mempunyai masalah kekurangan penaja yang membantutkan perjalanan mereka untuk membuat segala perancangan selain pengurusan yang dilihat agak bergelut untuk menentukan hala tuju kelab berkenaan.