Quantcast

BERITA

Marcote: “Mereka Akan Tiba Selepas Sambutan Hari Natal”

mStar melaporkan ketua jurulatih Kedah yang baharu, Ramon Marcote telah mengenal pasti tiga pemain import yang bakal menyarung jersi Kedah untuk musim akan datang.

Ini telah menguatkan desas desus yang mengatakan Kedah akan terus menandatangani pemain import baharu dan tiada sesi ujian akan dijalankan dalam memilih pemain import.

“Saya telah kenal pasti tiga pemain import untuk Kedah mengikut kuota yang ditetap. Saya akan berjumpa mereka dan berbincang lanjut untuk memastikan mereka menyarung jersi Kedah.

“Jika mendapat persetujuan semua pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), ketiga-tiga pemain berkenaan akan tiba selepas sambutan Hari Natal nanti,” jelas Marcote.

Sesi latihan bersama Marcote pada musim 2015.
Foto: mStar

Ini merupakan langkah pertama Marcote dalam misi untuk memperkuatkan pasukan sejurus sah menjawat jawatan ketua jurulatih skuad Helang Merah.

Pemain baharu tersebut pastinya akan mengisi slot yang telah ditinggalkan oleh pertahanan tengah, Zac Anderson dan juga penyerang utama pasukan, Ken Ilso.

Dan menurut presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Marcote diberikan kebebasan dalam membentuk pasukan serta kuasa dalam memilih para pemain.

Selain itu, pengendali yang berasal daripada Sepanyol itu turut memaklumkan bahawa dua lagi ayam tambatan Kedah, Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva akan menyertai latihan pada akhir bulan ini.

Liridon dan Sandro sudah memasuki musim keempat bersama Kedah dan kedua-duanya merupakan tonggak kekuatan buat Helang Merah di jentera tengah.

Photo by Zam Zainal / www.asiana.my

Untuk pemain tempatan, Marcote jelas tiada masalah untuk cepat serasi bersama para pemainnya kerana rata-rata barisan pemain itu adalah sama sejak musim 2015 lagi.

Dan dengan bantuan Mohd Nidzam Adzha Yusof, pasti tugas Marcote lebih mudah kerana Nidzam adalah individu yang berada bersama pasukan ketika ketiadaannya di negeri Jelapang Padi.

Bercakap mengenai musim 2018, Marcote jelas tidak terburu-buru untuk meletakkan sasaran awal dan tampak berhati-hati dalam merencana perancangan pasukan.

“Apa yang paling penting kami mahu kemenangan yang pertama dahulu. Selepas itu kedua dan ketiga. Dan baharulah boleh tengok untuk Piala FA, Piala Malaysia.

“Kami akan cuba dan gembira bekerjasama,” tambah jurulatih yang kini berusia 40 tahun itu lagi. Untuk rekod, Marcote ketika ini memiliki lesen profesional UEFA.