‘Mereka Ada Wague, Goulon’ – Neitzel Tak Pandang Rendah Sri Pahang

Karsten Neitzel Selangor FC 2021 Sri Pahang

Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel menanggap dua pertahanan tinggi lampai Sri Pahang FC sebagai watak utama menjelang pertembungan malam ini.

Sri Pahang melalui rehat yang penuh ranjau apabila mereka telah kehilangan beberapa tonggak pasukan menjelang musim baharu Liga Super 2021 antaranya seperti bintang muda meningkat naik, Nik Sharif Haseefy, Dickson Nwakaeme dan Faisal Halim.

Begitupun, mereka diperkuatkan semula dengan kemasukkan pertahanan tinggi lampai Mamadou Wague, Lee Tuck, Hafiz Ramdan dan Pedro Henrique.

Kunjungan Sri Pahang ke Stadium MBPJ untuk aksi pertama Liga Super 2021 akan mencerminkan bagaimana kekuatan mereka musim ini. Boleh dikatakan hampir semua pemerhati bola sepak tempatan sudah melupakan keupayaan Tok Gajah.

Neitzel bercakap kepada Berita Harian, “Mereka ada Mamadou [Wague] dan [Herold] Goulon. Pahang sememangnya cukup kuat pada aspek fizikal di bahagian pertahanan, selain Lee Tuck dan Nor Azam Azih yang mampu menjadi perancang utama.”

Jelas, penyerang utama Selangor, Ifedayo Olusegun harus berusaha gigih bagi melepasi dua tembok besar Perancis itu sebelum berfikir untuk meledak gol.

Dalam aksi persahabatan menentang KL City FC baru-baru ini, tampak seakan-akan Ifedayo Olusegun belum bersedia dari segi kecergasan dan bergelut untuk memburu jaringan sehingga  kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Namun, tidak dinafikan penjaring terbanyak Liga Super 2020 itu memiliki sentuhan baik dalam membuat penyudah, tetapi apakah nasibnya malam ini.

Menurut Neitzel mengenai persediaan pasukannya untuk aksi malam ini, “Namun, saya amat gembira kerana kami mempunyai lebih 11 pemain yang bersedia mendapatkan tempat dalam skuad utama dan situasi ini sesuatu yang baik buat pasukan.”

“Dalam tempoh beberapa perlawanan akan datang, saya amat memerlukan semua pemain untuk bersedia kerana kita akan lalui satu musim yang panjang,” ujar pengendali baharu Selangor itu mengenai perancangan menghadapi Liga Super.

Tidak ketinggalan, Sri Pahang juga telah melantik pengendali baharu, Thomas Dooley yang sememangnya diketahui ‘licik’ daripada segi persediaan pasukannya sebelum ini iaitu skuad kebangsaan Filipina. Bagaimana persediaan Sri Pahang pula?

Harus Selangor ingat, kedua-dua bek tengah tinggi lampai itu pernah menjadi rakan sepasukan ketika di Perancis bersama kelab Le Mans, 10 tahun lalu.

KREDIT FEATURED IMAGE: SELANGOR FC

Baca lagi artikel lain mengenai Selangor FC dan Sri Pahang:

‘Macam Divisyen 8 Jerman’, Thomas Dooley Kritik Fasiliti Sri Pahang

Selangor Positif Hadapi Musim Baharu Walaupun Pra-Musim Singkat

Sri Pahang FC: Pulut Kuning Antara Pekara Menarik Dari Pelancaran Jersi Musim 2021

Leave a Reply