Menyingkap Kisah Penyerang Muda Indonesia Yang Gagal Beraksi Bersama LA Galaxy

Mengalami kecederaan merupakan sesuatu yang sangat digeruni oleh pemain bola sepak profesional di serata dunia. Menerusi kecederaan, mereka terpaksa berehat untuk suatu tempoh sehingga boleh beraksi semula.

Ia bergantung kepada tahap kecederaan setiap individu tersebut serta kemampuan pemain itu sendiri untuk kembali bangkit beraksi seperti biasa ketika sudah sembuh.

Salah seorang pemain yang masih lagi belum kembali beraksi dan mempunyai potensi besar di Indonesia suatu ketika ialah Bagus Kahfi.

Bagus Kahfi pernah mengalami kejadian mengerikan tersebut pada bulan Mac 2020 lalu apabila beliau mengalami kecederaan agak teruk sehingga kaki kirinya patah ketika dalam satu aksi.

Sewaktu itu, beliau mewakili Garuda Select yang menghimpunkan pemain-pemain muda Indonesia untuk menentang Reading bawah 18 (B-18) di England.

Walaupun bermula cemerlang pada awal perlawanan sehingga menyaksikan Bagus meledak dua gol bagi meletakkan Garuda Select di hadapan, beliau terpaksa dikeluarkan pada minit ke-25 apabila mengalami kecederaan agak teruk.

Lebih mengerikan ketika itu, pergelangan kaki kiri Bagus juga terlipat ketika beliau rebah ke tanah dan seterusnya pemain tersebut tidak mampu bangkit lagi dan berteriak kuat untuk menahan kesakitan.

Episod kecederaan itu bukan sahaja memberi kesan buat Bagus, malah peluangnya yang hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk beraksi di Amerika Syarikat juga terkubur.

Ketika itu Bagus mendapat tawaran dari kelab yang beraksi dalam saingan Major League Soccer iaitu LA Galaxy untuk bermain bersama kelab pembangunan tersebut.

Menurut Bola.com, Bagus ketika itu hanya menunggu untuk berlepas ke Amerika Syarikat bagi memeterai kontrak di sana. Namun, segalanya terpaksa ditangguhkan seketika apabila pengendali Garuda Select, Dennis Wise memerlukan pemain tersebut terlebih dahulu.

“Sepatutnya saya perlu berlepas ke LA Galaxy untuk mewakili kelab pembangunan di divisyen kedua, namun Dennis menahan kerana saya perlu selesaikan beberapa perlawanan bersama Garuda Select.

“Tetapi akhirnya saya mengalami kecederaan agak serius sewaktu menentang Reading dan tidak berpeluang ke sana,” jelas Bagus.

Ketika itu Bagus juga menyatakan Dennis sangat menyesali kerana membuat keputusan tersebut dan bekas pemain Chelsea itu tampil memeluknya serta memberi galakan kembali.

“Dennis datang dan memeluk saya. Nasihat beliau, akan ada yang lebih baik hadir dalam karier saya selepas itu.

“Pada perlawanan tersebut juga keputusan menyaksikan kami sekadar seri 2-2 apabila rakan-rakan saya ternyata agak terkesan dengan kejadian tersebut,” tambah Bagus.

Ketik tempoh pemulihan, Bagus merasa sedikit tertekan apabila terpaksa menjalani dua kali pembedahan di bahagian buku lali dan betis.

“Ketika itu saya terus dibawa ke hospital untuk menjalani proses X-ray dan lain-lain. Paling perit saya terpaksa menjalani dua kali pembedahan di bahagian buku lali dan betis,” terang pemain muda tersebut.

Ketika ini, beliau menyatakan dirinya sudah pun sembuh untuk kembali beraksi selaku pemain bola sepak profesional.

Walaupun begitu, Bagus mengakui kesan daripada kecederaan tersebut masih lagi terasa dan memerlukan masa untuk beliau kembali pulih sepenuhnya.

Sumber:
Bola.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN