Prestasi baik yang dipamerkan pada tiga perlawanan persahabatan pra-musim telah berjaya mencuri tumpuan pengendali baharu Chelsea, Maurizio Sarri terhadap pemain sayap muda, Callum Hudson-Odoi.
Hudson-Odoi beraksi cemerlang terutamanya pada perlawanan bertemu Arsenal di Dublin sebentar tadi yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 (Arsenal menang penentuan sepakan penalti).
Sehubungan dengan apa yang mencuri tumpuan beliau, Sarri menjelaskan pemain berusia 17 tahun itu akan berada dalam skuad utama Chelsea bagi menghadapi musim baharu nanti.
Di bawah bimbingan Antonio Conte, Hudson-Odoi berpeluang beraksi sebagai pemain gantian untuk dua perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Dengan aksi yang ditampilkan ketika ini, peluangnya untuk menembusi skuad utama Chelsea seakan berada di landasan yang tepat dan menurut sumber Goal, perkara itu turut dijelaskan Sarri.
Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan bertemu Arsenal, Sarri berkata: ”Hudson-Odoi adalah seorang pemain yang sangat muda. Kami masih perlu untuk menunggu.”
”Pada masa hadapan dia sudah pasti akan menjadi pemain yang sangat-sangat kuat. Dia akan kekal bersama kami (skuad utama Chelsea) pada musim ini.”
Pada perlawanan bertemu Arsenal, Hudson-Odoi berjaya mengkucar-kacirkan jentera pertahanan The Gunners dengan larian deras dimilikinya.
Keadaan itu memaksa Hector Bellerin melakukan kekasaran terhadapnya dalam kotak penalti untuk menghadiahkan sepakan penalti buat Chelsea.
Namun, Alvaro Morata melepaskan peluang tersebut apabila gagal menyempurnakan sepakan yang ditepis keluar Petr Cech.
Dapat menimba ilmu bersama pemain-pemain hebat Chelsea terutamanya pemain di bahagian sayap, ia sedikit sebanyak dapat memberikan peluang buat Hudson-Odoi bagi mengutip seberapa ilmu berguna sekiranya beliau terpaksa dipinjamkan ke kelab lain pada satu hari nanti.
Keadaan yang seringkali terjadi buat pemain muda di Chelsea tetapi dengan kehadiran Maurizio Sarri, mungkin beliau dapat mengubah keadaan tersebut atau kekal seperti kebiasaan.