Adakah Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim sebenarnya kecil hati dengan penganjur pertandingan akhir Piala Malaysia kerana tidak menjemput beliau meraikan kejayaan Kuala Lumpur City (KL City FC) muncul juara Piala Malaysia pada musim ini.
Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi, KL City FC mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan JDT 2-0 sekaligus menamatkan penantian 32 tahun menjulang piala berprestij itu.
Beberapa orang kenamaan turut dilihat berada di padang selepas perlawanan untuk meraikan kejayaan tersebut, termasuk penasihat KL City FC, Tan Sri Annuar Musa yang juga merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut adalah Shahidan Kassim yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan.
“Semalam saya hadir [menyaksikan] perlawanan bola sepak KL City lawan JDT. KL City champion. Tahniah,” coret Shahidan melalui akaun Facebook beliau.
Dan dengan tidak semena-mena, Shahidan juga menulis: “Pengacara tidak jemput saya turun ke padang. Pengacara juga tidak sebut nama saya…SOKAY.”
Adakah ini bermakna bekas Menteri Besar Perlis itu berkecil hati kerana kehadirannya seolah-olah tidak dipeduli?
Berdasarkan perkongsian Shahidan di Facebook, beliau sememangnya duduk di kawasan VIP. Beliau dilihat berada sebaris dengan dif dif kehormat yg lain seperti Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Faizal Azumu (Menteri Belia dan Sukan), Tan Sri Annuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM), Datuk Ab Ghani Hassan (Presiden MFL) dan Khalid Samad (Presiden KLFA).
Adakah Malaysian Football League (MFL) terlepas pandang?
Tetapi difikirkan kembali, ia sebenarnya tidak wajib pun untuk VIP dijemput turun ke padang. Apatah lagi pada zaman pandemik ini di mana SOP tertentu turut perlu dipatuhi.
Dan kalau nak ikutkan siapa lebih berhak meraikan kejayaan di padang, bukankah penyokong setia KL City FC dan ahli keluarga pemain yang lebih berhak?