Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican amat berpuas hati dengan perjalanan Liga Malaysia yang kembali bersambung pada 28 Ogos lalu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dilaksanakan oleh Malaysian Football League (MFL) dan juga pasukan-pasukan yang bertanding.
Kenyataan itu disuarakan selepas beliau mendapat laporan pengelolaan perlawanan Liga Malaysia serta turut sendiri ‘turun padang’ memantau pematuhan SOP di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam membabitkan perlawanan CIMB Liga Super di antara Kedah dengan Sabah.
Justeru, Dato’ Sri Reezal Merican berharap semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk beralih ke fasa yang seterusnya bagi membenarkan kehadiran penyokong ke stadium.
“Alhamdulilah saya dapat hadir untuk tengok sendiri pematuhan SOP yang telah ditetapkan di mana mereka telah melaksanakan dengan baik dalam perlawanan antara Kedah dan Sabah.
“Saya juga dapat maklumat untuk perlawanan-perlawanan lain dan semuanya berjalan dengan lancar.
“Dengan pematuhan penjarakan fizikal, dengan SOP ketika pendaftaran masuk sehinggalah ke dalam stadium semuanya dalam keadaan baik dan saya berharap ia akan berterusan kerana jika ia terus positif seperti ini, kita akan dapat ke Fasa 5 dan 6 pula.
“Sekarang kita di Fasa 4 iaitu membenarkan untuk mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton, jadi kalau ini dapat berterusan dengan baik, mungkin kita boleh menyakinkan MKN dan KKM untuk beralih ke fasa seterusnya pula.
“Tapi saya tidak mahu letak harapan apa-apa lagi kerana apa yang penting agar semua dapat terus melaksanakan pematuhan SOP dengan tegas untuk elak sebarang kemungkinan jangkitan COVID-19, dan untuk sekarang saya memang cukup berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan,” jelasnya.
Sebanyak 48 perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier telah berlangsung dengan lancar menerusi pematuhan SOP yang ketat termasuk perlawanan tanpa penonton selepas saingan Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu sejak ditangguhkan pada 16 Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19.
Aksi CIMB Liga Super dan Liga Premier kini berbaki tiga perlawanan sebelum pasukan-pasukan memberi fokus kepada saingan TM Piala Malaysia pada Oktober depan.