Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mahu sepak mula perlawanan akhir Piala AFC esok dianjakkan.
Hal ini kerana bagi memudahkan urusan solat Maghrib bagi penyokong dan semua yang terlibat dengan perlawanan besar ini.
Menurut Astro Awani, Idris berkata beliau telah meminta bantuan Menteri Belia & Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu untuk menguruskan hal ini.
”Saya telah menghubungi Menteri KBS, Dato’ Seri Faizal Azumu memaklumkan permintaan melewatkan sedikit perlawanan akhir Piala AFC yang menemukan wakil negara kita KL City dan wakil negara Oman Al Seeb, bagi memberi ruang para penyokong untuk Solat Maghrib,” kata Idris dalam kenyataan beliau.
Dalam masa yang sama, Idris turut meminta entiti yang berkaitan hal ehwal Islam untuk membantu penyokong menunaikan solat Maghrib di stadium.
“Saya juga meminta YADIM dibawah agensi kami untuk menyediakan ruangan solat bagi kemudahan para penonton dan mungkin boleh memberi pendedahan pratikal mudah untuk mengambil wudhu’ yang menyenangkan para penonton untuk solat.
“Saya juga telah meminta pihak JAWI untuk membawa kemudahan surau bergerak mereka,” kata Idris lagi.
Diluar kuasa
Keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengadakan perlawanan akhir antara KL City dan Al-Seeb pada jam 7 malam jelas kurang diterima penyokong.
Hal ini kerana, waktu solat Maghrib di Kuala Lumpur pada esok adalah 6:59 petang dan ianya begitu hampir dengan waktu sepak mula.
Penyokong KL City juga ramai menzahirkan rasa tidak puas hati mengenai perkara ini namun ianya diluar kemampuan kelab itu untuk cuba memujuk AFC mengubahnya.
Malah Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mengakui yang semua ketetapan adalah AFC dan KL City tiada pilihan lain selain akur.
Namun begitu dengan usaha yang cuba dilakukan oleh Idris dan pihak seperti YADIM dan JAWI diharap akan membantu semua penyokong beragama Islam untuk menunaikan kewajipan solat Maghrib di stadium esok.