Mengenang Tragedi Hillsborough, Kebenaran Dan Keadilan Untuk Si 96

15 April 1989 adalah detik hitam dalam bola sepak Inggeris terutama sekali kepada penyokong Liverpool serta bandar Liverpool.

96 orang daripada penyokong yang hadir ke perlawanan bola sepak di Stadium Hilsborough tidak kembali ke rumah untuk selamanya. Beratus-ratus lagi hidup dalam trauma.

Peristiwa ini menjadi nahas stadium terbesar di dalam sejarah bola sepak Inggeris. Ianya berlaku dalam perlawanan separuh akhir di antara Nottingham Forest dan Liverpool.

Jumlah penyokong yang hadir terlalu ramai dan melebih kapasiti stadium yang hanya 40,000 orang. Penyokong Liverpool diberikan 14,000 tiket untuk perlawanan ini.

Korban paling muda ialah Jon-Paul Gilhooley yang masih berusia 10 tahun. Mendiang merupakan sepupu kepada Steven Gerrard.

Seorang mangsa tragedi, Tony Bland terpaksa bertahan selama 3 tahun dalam kondisi kerosakan pada otak.

Beliau kemudian menghembuskan nafas terakhir pada 3 Mac 1993, dipercayai terpaksa diakhiri nyawanya atas persetujuan dengan keluarga mangsa yang tidak sanggup lagi melihat beliau menderita. Tony Bland adalah korban ke-96 tragedi Hillsbrough.

Tragedi ini terlalu banyak kontroversi dan versi cerita. Laporan media The Sun telah menyebabkan hal ini berlaku. The Sun dalam laporan akhbar mereka ‘The Truth’ dengan lantang menuduh penyokong Liverpool sebagai punca tragedi ini.

Ramai yang membantah tindakan keji The Sun yang melaporkan laporan palsu bertujuan untuk mencari sensasi menjual akhbar. Mereka menuduh penyokong Liverpool kencing ke atas polis.

Penyokong Liverpool dituduh mengambil kesempatan menyeluk saku mangsa dan membelasah polis.

Sehingga ke hari ini The Sun diboikot di Merseyside dan ramai orang England sendiri.

Penyokong Manchester United ini pernah meminta The Sun untuk tidak menggunakan gambarnya kerana beliau menghormati rakannya yang merupakan penyokong Liverpool.

Laporan daripada pihak polis menuduh penyokong Liverpool menjadi punca tragedi kerana tidak mengikuti garis panduan keselamatan dan laporan itu diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Margareth Thatcher.

Polis dan beberapa pegawai perlawanan menuduh ramai penyokong Liverpool yang tiada tiket memasuki stadium. Ramai penyokong Liverpool yang mabuk dan hooliganisme telah menjadi punca kekacauan di seksyen penyokong.

Komisioner perlawanan dan pihak petugas keselamatan iaitu polis telah bersepakat menyalahkan penyokong Liverpool sebagai punca tragedi.

Laporan Taylor 1991 turut menyimpulkan ianya adalah satu kemalangan kerana sikap penyokong Liverpool. Ianya telah ditolak oleh keluarga mangsa.

Mereka mencabar Laporan Taylor itu dengan membuka semula kes itu pada 1997. Namun mereka tewas dan pihak peguam menyatakan tidak perlu ada inkuiri lagi untuk kes tersebut.

Pada tahun 2000, pendakwaraya swasta dibayar oleh ahli keluarga mangsa untuk mencabar laporan tersebut tetapi mereka tewas sekali lagi.

Suruhanjaya bebas ambil alih

Selepas 23 tahun tragedi tersebut berlalu, satu panel bebas iaitu Hillsborough Independent Panel (HIP) telah mendedahkan laporan yang mengejutkan ramai pihak.

HIP melaporkan banyak berlaku pemalsuan dokumen dan fakta daripada pihak yang bertanggungjawab untuk keselamatan stadium iaitu polis dan penyelia perlawanan. Ini kerana mereka mahu mengelak daripada dikenakan tindakan.

HIP ditubuhkan pada 2010 untuk menyiasat semula tragedi Hillsborough. HIP menyiasat lebih 80 organisasi termasuk Jabatan Polis Yorkshire Selatan, dan Kerajaan England.

Mereka juga meminta semula laporan bedah siasat ke atas mayat serta laporan keselamatan dalam pengendalian kebakaran oleh pihak berkuasa stadium Hillsborough.

Parlimen England biasanya akan menerbitkan dokumen seperti itu selepas 30 tahun. Namun Parlimen England bersetuju untuk mengeluarkan dokumen tersebut pada Ogos 2011 tanpa sebarang suntingan ataupun beberapa muka surat disembunyikan.

Parlimen berbuat demikian selepas satu petisyen menuntut 100,000 tandatangan di atas talian telah dilancarkan. Petisyen itu berjaya mengumpulkan lebih daripada 150,000 tandatangan.

Siasatan HIP mendapati ada beberapa bahan bukti telah disembunyikan oleh penyelia pertandingan dan Ketua Polis Yorkshire Selatan, Peter Wright.

Wright didapati telah mengemukakan kenyataan Palsu kepada ahli parlimen dari Parti Konservatif, Irvine Patnick.

Sebanyak 164 laporan polis dibuat oleh pihak polis dari Yorkshire Selatan untuk mengukuhkan lagi dakwaan mereka.

Hanya 116 sahaja laporan polis dibuat menyatakan pihak polis dan panitia perlawanan yang harus bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.

Laporan ujian alkohol kepada 96 korban juga tidak didedahkan, sedangkan mereka menuduh ramai penyokong Liverpool yang mabuk pada hari itu seperti dilaporkan dalam The Sun.

HIP kemudian mendapati ada 2 laporan yang bercanggah. Dalam satu laporan, pada pukul 3.15 petang, 31 daripada 96 korban masih lagi hidup dengan jantung masih berfungsi. Satu lagi laporan perubatan pula menyatakan kesemua 31 orang tersebut telah meninggal dunia pada jam tersebut.

Margareth Thatcher sedar akan ada kecaman ke atas polis di atas apa yang berlaku. Namun beliau tidak serius menangani isu tersebut.

HIP juga menyatakan Laporan ke atas penyokong Liverpool yang mabuk lebih kepada satu andaian dan tiada bukti konkrit. Media di Selatan Yorkshire dan The Sun pula memberikan layanan yang teruk kepada korban Hillsborough.

Laporan HIP jelas menjurus kepada, siapa yang wajar bertanggungjawab ke atas insiden itu. Ia sekaligus menafikan laporan Taylor pada 1991.

Keadilan untuk 96 orang

Setelah 23 tahun akhirnya, keadilan untuk korban tragedi Hillsborough ditegakkan. Seluruh dunia meraikan kejayaan tersebut.

Pada 12 September 2012, Perdana Menteri England, David Cameron telah memohon maaf kepada keluarga mangsa korban Hillsborough bagi pihak kerajaan England. Beliau juga menyatakan kekesalan dengan kegagalan keluarga mangsa mendapatkan pembelaan seadilnya dalam tempoh 23 tahun.

David Cameron juga menyatakan yang penyokong Liverpool tidak bersalah di dalam insiden tersebut. Pendakwaraya, Dominic Grive membuka semula kertas siasatan ke atas semua dokumen dan membuat satu laporan baru berdasarkan laporan HIP dan bukti baru yang akhirnya diketahui setelah ada di antaranya disorokkan.

Pada 2012, 2 siasatan jenayah dilakukan oleh polis sendiri ke atas anggota polis yang bertugas pada perlawanan tersebut. Badan bebas, Independent Police Complaints Commission (IPCC) juga terlibat di dalam siasatan.

Inkues ke-2 untuk mendakwa kecuaian polis dilakukan pada 1 April 2014-26 April 2016. Inkues tersebut mendapati tiada seorang penyokong pun yang harus dipersalahkan di atas tragedi tersebut. Mereka hanya datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Juri juga mendapati chief superintendent, David Duckenfield yang bertugas pada hari tersebut sebagai tidak menjalankan tugasan sebaiknya.

Juri mengundi 7-2 berpihak kepada pendakwaan yang menyatakan kematian tersebut sebagai ‘unlawful killing’ . Juri mendapati:

  • Polis dan ambulan gagal menjalankan tugas pada hari kejadian kerana penyokong dibenarkan masuk ke teres penyokong dalam keadaan struktur teres tersebut semakin retak
  • Polis menyebabkan atau menyumbang kepada aksi bahaya di Leppings Lane
  • Rekaan tempat duduk, dan ‘layout’ stadium menjadi antara penyumbang kepada nahas

Duckenfield mengakui dia masih baru ketika itu dan kurang pengalaman untuk mengendalikan acara sebesar itu.

Duckenfield telah memberikan arahan untuk membuka pagar membuatkan penyokong berpusu-pusu masuk ke teres tersebut yang menjadi penyumbang kepada nahas.

Namun dalam laporan sebelum ini, pihak polis Yorkshire Selatan memberitahu FA England yang penyokong merempuh pagar itu untuk masuk ke seksyen Leppings Lane.

Selepas berdekad-dekad hidup dalam penafian, Duckenfield memohon maaf di atas tindakannya yang dia sendiri sifatkan sebagai pembohongan paling teruk.

Duckenfield memohon maaf kepada keluarga korban dan menyifatkan semua mangsa sebagai tidak sepatutnya meninggal dunia dalam keadaan tersebut. Duckenfield menyatakan dia sendiri berdepan dengan depresi kerana pembohongan itu. Dia mulai ketagih alkohol.

Pada September 2012, barulah The Sun tampil dengan permohonan maaf dengan tajuk “The Real Truth”. Kenapa perlu begitu lama mempertahankan pembohongan? Itu yang menjadi persoalan.

Selepas insiden ngeri ini, semua stadium di England tidak dibenarkan untuk membina tempat duduk teres bertingkat.

Apa sahaja perseteruan di atas padang, kejayaan keluarga dan penyokong Liverpool membela korban seramai 96 orang dalam tragedi Hillsborough adalah kemenangan semua.

Seluruh keluarga bola sepak di dunia bersama anda si 96 yang pergi untuk selamanya.

Justice For The 96!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN