Dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018, kita menyaksikan kisah underdog menewaskan gergasi di dalam bola sepak.
Kepada yang menyaksikan perlawanan Luxembourg menentang Perancis anda pastinya bertuah kerana tidak selalu kita menyaksikan kisah seperti itu.
Memang ia sekadar seri. Tetapi untuk sebuag pasukan yang nilai pemain mereka hanya €27,000 berhadapan dengan pasukan yang memiliki nilai pemain sekitar €410,000,000 , ianya adalah kisah yang harus dikenang dan berhak untuk mereka raikan.
Itu yang dilakukan oleh Singapura ketika meraikan keputusan seri dengan Jepun sebelum ini. Ada jurulatih yang melabel, meraikan keputusan seri adalah mentaliti rendah.
Tetapi, ia dikecualikan di dalam kes sebuah pasukan underdog yang meraikan seri dengan pasukan gergasi.
Senegal 1 Perancis 0 (2002)
Berbalik kepada kejutan ke atas pasukan Perancis, mereka sebelum ini pernah dikejutkan oleh Senegal pada Piala Dunia 2002. Ianya berlaku pada tanggal 31.05.2002 dan menjadi satu kejutan terbesar dalam sejarah pembukaan Piala Dunia.
Senegal menewaskan juara bertahan Perancis 1-0 hasil jaringan Bouba Diop pada minit ke 30. Perancis hadir dengan status juara bertahan selepas kisah epik Piala Dunia 1998.
Bola sepak Perancis meningkat mendadak dan ramai bintang-bintang kelas dunia dikumpulkan di dalam pasukan mereka. 64,000 penyokong datang ke stadium.
Ramai yang datang kerana mahu menyaksikan deretan nama bintang dalam skuad Les Bleus. Perancis menyenaraikan:
Barthez, Thuram, Leboeuf, Desailly, Lizarazu, Wiltord (Cisse 81), Petit, Djorkaeff (Dugarry 60), Vieira, Henry, Trezeguet.
Manakala Senegal menurunkan:
Sylva, Daf, Coly, Diao, Diouf, Pape Bouba Diop, Cisse, Diatta, Pape Malick Diop, Moussa N’diaye, Fadiga
Perancis turun dengan formasi 4-4-2 menggandingkan Henry dan Trazeguet di hadapan. Manakala Senegal dengan formasi lebih defensif 4-5-1 dengan Diouf bermain sebagai penggempur tunggal.
Jurulatih Perancis, Roger Lamere memang sudah mengingatkan pemain beliau agar tidak hilang fokus dan sedia bersaing dengan Senegal.
Ramai pemain Perancis kurang faham kenapa mereka perlu ‘bersaing’? Sedangkan sepatutnya Senegal yang perlu sedia bersaing dengan mereka.
Lamere tahu anak-anak buahnya lalai menikmati hidangan media yang menganggap mereka pasukan ‘sempurna’. Lamere pula banyak bermain dengan pemain-pemain berketurunan Senegal ketika beliau masih remaja.
Beliau sudah masak benar dengan pemain-pemain berdarah Senegal ini. Mereka keras dan tidak kenal erti letih meskipun tiada skil ala Romario atau Zidane.
Lamere memberikan sedikit analisis beliau tentang kekuatan pemain-pemain Senegal dari segi fizikal, larian deras dan semangat juang di dalam padang. Sebab itu Lamere enggan anak-anak buahnya terbuai-buai dengan tag pasukan pilihan.
Perancis memulakan perlawanan dengan baik. Mereka berterusan menyerang dan pada minit ke-23 cubaan Trazeguet terkena palang.
Seperti yang dikatakan oleh Lamere sebelum ini, pemain-pemain Senegal akan cuba menewaskan anak-anak beliau dengan kepantasan.
Diouf berlari pantas dan Leboeuf yang sudah agak berusia, tidak mampu mengejarnya. Struktur pertahanan Perancis terpecah.
Diouf berlari sehingga ke ‘byline’ dan melorongkan ‘cut back’. Desailly tidak berupaya menghentikan bola tersebut.
Petit juga turun untuk membantu. Ia disambut Papa Bouba Diop yang melakukan cubaan terkena Barthez. Bola melantun ke arah beliau kembali dan Diop menjaringkan gol pada minit ke-30.
Perancis menggandakan serangan dan kesemuanya gagal menemui jaring gol. Mereka merindui inspirasi Zidane di dalam perlawanan ini.
Henry turut melakukan cubaan yang terkena palang gol. Penjaga gol Senege, Sylva menjadi manusia yang paling sibuk malam itu. Senegal hampir menambah derita Perancis namun percubaan gol Khalilou Fadiga yang terkena palang.
Wisel penamat dibunyikan dan ia adalah bunyi yang paling indah didengari oleh kem Senegal dan para penyokong mereka. Di dada akhbar keesokan harinya terpampang kisah sensasi mereka.
Ada yang menulis: ‘Juara Bertahan Tewas Di Tangan Pasukan Asing (Unknown) Dari Afrika’.
Keputusan mengejutkan perlawanan pertama ini menjadi petanda jelas yang Perancis dalam masalah. Mereka gagal menepati harapan peminat dengan diletakkan tag pasukan pilihan.
Perancis pulang awal untuk kempen Piala Dunia 2002. Senegal mengungguli kumpulan mengatasi Uruguay dan Perancis. Senegal mara sehingga ke suku akhir.
Ianya pencapaian terbaik mereka dalam sejarah bola sepak. Diouf dipilih dalam kesebelasan terbaik Piala Dunia 2002. Kempen Piala Dunia ini telah memberikan banyak manfaat kepada bola sepak Senegal.
Pemain-pemain mereka dipancing kelab-kelab Eropah. Diouf dan Salif Diao ditandatangani Liverpool.
Siapa sangka Senegal menewaskan negara sebesar Perancis. Senegal adalah negara kecil yang menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa seharian mereka.
Sumber
1. The Guardian – https://www.theguardian.com/football/2002/may/31/minutebyminute.worldcupfootball2002
2. Bleacher Report – http://bleacherreport.com/articles/110375-senegal-france-the-greatest-football-upset-of-all-time