Jika disebut nama Bobby Gonzales, sudah tentu hampir semua peminat sejati bola sepak tempatan cukup mengenali kelibat individu yang pernah bergelar sebagai antara penyerang berbisa pernah dimiliki negara.
Hadir dengan ketajaman serta sangat bijak mendapatkan ruang untuk memperoleh peluang gol antara kelebihan pernah dipamerkan Bobby pada suatu ketika sebelum beliau bersara pada tahun 2022.
Menerusi perkongsian dibuat oleh saudara Don K-Rul Izham di Facebook, Bobby boleh dianggap sebagai salah seorang penyerang tempatan sangat bagus ketika era kegemilangannya.
Anak jati Sabah itu sudah pun merekodkan lebih daripada 100 gol sepanjang karier beliau selain turut memenangi anugerah Kasut Emas sebanyak dua kali untuk kategori tempatan.
Bobby bergelar pemain profesional di Malaysia selama 17 tahun dan pernah mewakili Sabah serta Sarawak dengan jumlah keseluruhan gol dicatat sebanyak 95 jaringan keseluruhannya.
Sabah jadi destinasi sulung Bobby
Bersama Sabah, Bobby memulakan karier beliau pada usia 19 tahun untuk musim 2003 dan menjaringkan gol sulung beliau ketika pasukan itu mengatasi Selangor menerusi keputusan 6-2.
Secara keseluruhan, ia menjadi musim yang baik untuk Bobby mengembangkan nama beliau selaku penyerang tempatan walaupun Sabah ketika itu mempunyai nama-nama besar seperti Zainijam Marjan, Josiah Seton, Zaykiel Leong, Robert Gaspar, K. Sanbagamaran dsn lain-lain.
Jika pada tahun 2003 dan 2004 rekod jaringan dicatat Bobby tidak begitu mengujakan, segalanya bertambah baik pada musim 2007/2008 di mana beliau menjadi penjaring terbanyak Sabah dengan rekod 13 gol.
Hijrah pertama ke Semenanjung
Pada tahun 2009, Bobby telah pun menyertai KL Plus untuk memperkuatkan aspek serangan pasukan tersebut walaupun kelibat turut diintai oleh beberapa kelab lain sebelum itu.
KL PLus yang muncul selaku naib juara Liga Premier 2008 hadir dengan beberapa nama besar selain Bobby iaitu Safiq Rahim, Fadzli Saari, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Lot Abu Hassan dan Haris Safwan.
Musim pertama bersama pasukan itu jelas sesuatu kurang memberansangkan buat Bobby yang hanga mampu menamatkan saingan musim tersebut dengsn jumlah empat jaringan sahaja.
‘Bobbygol’ kembali gegar bumi Borneo
Bergelut dengan prestasi bersama KL Plus, akhirnya Bobby kembali menyertai Sabah pada tahun 2010 untuk kembali mengulangi momentum terbaiknya.
Namun, impak ditinggalkan Bobby masih belum mencukup selepas hanya tujuh jaringan sahaja mampu dilakar beliau sepanjang musim tersebut.
Musim seterusnya menyaksikan Bobby buat pertama kali beraksi bersama Sarawak dengan status pinjaman, dan hasilnya penyerang itu berjaya meledak 18 gol untuk menyamai rekod jaringan Safee Sali pada tahun 2006 ketika mewakili kelab itu dengan rekod penjaring terbanyak tempatan.
Musim seterusnya menyaksikan beliau kembali ke Sabah selepas tempoh pinjaman bersama Sarawak sudah tamat, tetapi Bobby gagal menyerlah dan hanya menjaringkan dua gol untuk Sabah bagi musim 2012.
Era kegemilangan Bobby kembali hadir selepas beliau kembali bersatu bersama Sarawak untuk tahun 2013 dengan gandingannya bersama import, Muamer Salibasic jelas menonjol di posisi serangan.
20 gol berjaya dicatat Bobby hanya untuk saingan liga dan tiga lagi diledak pada saingan Piala FA. Selain itu, penyerang ini juga mencipta empat jaringan untuk kempen Piala Malaysia selepas Sarawak berjaya mara sehingga ke pusingan separuh akhir.
Secara keseluruhan untuk musim tersebut sahaja menyaksikan Bobby telah mencatat 27 gol buat Sarawak bagi saingan peringkat domestik.
Kembali ke Semenanjung untuk sertai PDRM
Bobby kembali ke semenanjung untuk terus melebarkan nama beliau dalam arena bola sepak tanah air dengan giliran PDRM menjadi destinasi seterusnya buat pemain tersebut.
Membentuk rangkaian serangan bersama dua lagi import iaitu Ali Ashfaq serta Charles Chad de Souza, Bobby berjaya menamatkan musim 2014 dengan catatan 12 gol secara keseluruhan dan menjadi penjaring tempatan kedua tertinggi selepas Indra Putra Mahayuddin.
Bersama pasukan tersebut, Bobby juga menjadi antara tunjang yang memastikan PDRM bergelar juara Liga Premier tahun tersebut.
Suram bersama Perak pada musim 2015
Reputasi tinggi dimiliki Bobby ketika itu menyaksikan beliau ditandatangani Perak pada tahun seterusnya bersama Chad Souza selain pasukan tersebut turut mendapatkan khidmat Namkung Woong.
Tetapi tidak banyak dapat diperkatakan kerana Bobby bukan pilihan utama pasukan tersebut ketika itu dan hanya sempat merakamkan tiga gol sahaja bersama Perak.
Felda United & PKNS tak berjaya julang nama Bobby
Fasa penurunan Bobby mula dirasai sepanjang dua musim beliau menyertai Felda United dan PKNS, selepas pemain ini hanya mampu meledak dua jaringan sahaja selain dibayangi penyerang import seperti Francis Forkey Doe serta Patrick Ronaldinho Wleh ketika itu.
Sarawak angkat kembali martabat Bobby
Bobby kembali mencipta nama bersama Sarawak untuk musim 2018, selepas beliau muncul selaku penjaring tempatan terbanyak untuk dua musim berturut-turut.
Untuk tahun 2018, Bobby telah pun meledak 14 gol secara keseluruhan dan tahun seterusnya sembilan jaringan diraih bersama enam ‘assist’ turut dicipta penyerang berbisa ini.
Penang & Sabah destinasi akhir Bobby
Penyerang ini kembali ke Semenanjung pads musim berikutnya untuk beraksi bersama Penang dan hanya mencatat satu gol sahaja tatkala Pandemik Covid-19 melanda.
Musim terakhir beliau dalam karier bola sepak profesional menyaksikan Bobby telah menyumbang dua jaringan sebelum beliau sah bersara dalam bidang tersebut.
Bagaimana di skuad kebangsaan?
Walaupun hebat pada era beliau selaku penyerang, nama Bobby sedikit sepi di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya.
Bobby telah dipanggil sebanyak lima kali sepanjang karier beliau untuk bersama kem kebangsaan, dan mula mencipta ‘debut’ pada tahun 2014.
Sepanjang bersama skuad kebangsaan, Bobby tidak merekodkan sebarang jaringan dan kali terakhir beraksi pada tahun 2014 dalam satu aksi persahabatan.
Sertai kursus kejurulatihan
Menerusi perkongsian dibuat Bobby menerusi media sosial, laporan terbaharu menyatakan beliau menyertai kejurulatihan menerusi Diploma Kelas A bawah kendalian Persatuan Bolasepak Malaysia.
Menerusi pengalaman dimiliki Bobby, maka ianya menjadi sesuatu sangat berguna untuk dicurahkan segalanya kepada bakat-bakat baharu untuk masa akan datang.
Secara keseluruhan, perjalanan karier Bobby dalam dunia bola sepak boleh dianggap sangat menarik menerusi statistik jaringannya.
Gelaran selaku ‘Raja Liga Premier’ boleh dianggap kekal menjadi milik beliau menerusi catatan 100 gol dicipta Bobby sepanjang beraksi dalam saingan tersebut.
119 gol diledak Bobby sepanjang karier beliau selaku pemain bola sepak profesional akan terus diingati serta menjadi inspirasi terbaik buat bakat-bakat muda mencontohi beliau pada masa hadapan.
Kami di Semuanya BOLA berharap Bobby akan terus sukses pada masa hadapan dan terus memberi sumbangan tersendiri untuk masa depan bola sepak negara.