Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Mengenang Kisah Legenda Alan Shearer Membantu Blackburn Rovers Mencipta Sejarah Gemilang

Ini adalah gaya keraian Alan Shearer yang ikonik. Hanya mengangkat tangan ke udara, tanpa sebarang aksi ‘somersault’ ataupun tarian mahupun ‘dabbing’. Namun keraian ini sangat melekat di minda kita semua.

Alan Shearer digelar “The Geordie God” oleh penyokong Newcastle United. Ini kerana status beliau sebagai legenda The Magpies, tiada tandingtannya. Sepanjang karier bersama Newcastle beliau mencetak 206 gol.

Tidak dapat dinafikan kemuncak prestasi beliau secara peribadi menikmati prestasi luar biasa bersama Newcastle United. Namun sebelum ke Newcastle United beliau juga sudah berada dalam prestasi kemuncak – ketika membantu Blackburn Rovers menjuarai EPL.

Musim terakhir beliau di Blackburn menyaksikan Shearer menjaringkan 30 gol dalam semusim di EPL.

Shearer letakkan Blackburn di peta bola sepak dunia

Shearer memeterai perjanjian bernilai £3.6 juta dari Southampton ke Blackburn pada 1992. Ketika itu, angka itu sangat tinggi. Shearer mendedahkan beliau juga mendapat tawaran daripada Man. United ketika itu.

Namun Shearer tertarik dengan kesungguhan Kenny Dalglish dan Ray Hayford yang bersungguh-sungguh mahukan beliau. Shearer berkata, selepas pertemuan di Hotel Thistle, beliau berjanji akan memberikan jawapan kepada Dalglish dalam maa 3 gari.

Hal ini kerana, Shearer masih menunggu tawaran secara rasmi daripada Man. United. Selepas 3 hari berlalu, Man. United tidak menghubungi beliau – dan Shearer memutuskan untuk menyertai Blackburn Rovers.

Selain daripada Blackburn yang lebih serius – Shearer juga sangat rapat dengan Ray Harford. Jurulatih yang membangunkan bakat beliau dalam pasukan B21 England.

Alan Shearer percaya Blackburn Rovers adalah pilihan terbaik beliau – dalam keadaan yang berlaku ketika itu.

Selepas menyarung jersi Rovers, Shearer pantas menjadi pujaan peminat di Ewood Park. Aksi tajam beliau di hadapan gol membuatkan peminat merasaka, Shearer ada mata di belakangnya, untuk melihat gol dalam apa jua keadaan.

Sentuhan pertama, tandukan dan juga rembatan beliau terlalu sukar untuk dimatikan penjaga gol. Hasilnya, pada 1994/95 Shearer membantu Blackburn Rovers menjuarai EPL.

Kenny Dalglish menganggap musim 1994/95 sebagai cerita Cinderella. Tiada siapa menyangka pasukan yang tidak diletakkan harapan itu mencipta kisah romantik.

Shearer: “Kenangan di Blackburn luar biasa”

Blackburn Rovers daripada kelab kecil menjadi siulan di seluruh dunia. Di Lancashire Timur mereka hanya ada populasi sekitar 100,000. Mereka menyaksikan kelab itu mara ke EPL pada 1992 menerusi play off.

2 tahun kemudian mereka menjulang EPL. Kenny Dalglish merasakan pencapaian itu tidak pernah terfikir oleh akal mereka ketika itu.

Shearer berkata: “Kenangan di Blackburn ketika itu akan terus dikenang untuk selamnya. Dan bukan mudah untuk mengulangi kembali.”

Siapa sangka Blackburn berjaya menyelitkan nama mereka sebagai juara pada era 90-an yang didominasi oleh Manchester United dan Arsenal. Shearer menjaringkan 34 gol dalam musim kejuaraan EPL untuk Blackburn.

Ibarat kisah Leicester City yang ‘mencuri’ EPL daripada dominasi moden daripada pesaing big 6. Kisah Blackburn Rovers menjuarai EPL dahulu juga dianggap tidak masuk akal.

Selepas kejayaan gemilang bersama Rovers, Shearer menyertai Newcastle United. Dan beliau juga menjadi legenda di sana.

Shearer tidak akan pernah lupa akan Blackburn Rovers yang telah menjadikan beliau pemain lebih baik dan kemudiannya menjadi pemain utama negaranya – termasuk menjadi kapten 3 Lions.

Dan Blackburn juga tidak akan sesekali melupakan kelegendaan Alan Shearer. Shearer menjaringkan 130 gol daripada 171 penampilan bersama Blackburn Rovers. Ewood Park mengabadikan nama Shearer pada 2015 – dengan menamakan Shearer pada sebuah jalan di sana.

Secara keseluruhannya, Alan Shearer menjaringkan 260 gol dalam EPL – menjadikan beliau penjaring terbanyak sepanjang zaman. Angka yang buat masa ini dianggap masih mustahil untuk dipecahkan oleh mana-mana pemain.