Mengenang Kejayaan Harimau Muda ‘Melibas’ Pahlawan Taeguk 5 Tahun Lalu Di Sukan Asia

Malaysia Korea

Undian Piala Asia 2023 telah mengesahkan Korea Selatan bakal menjadi salah satu daripada lawan Malaysia dalam kumpulan E.

Dua lagi pasukan yang bakal membuat perhitungan dengan skuad Harimau Malaya di Qatar pada Januari 2024 itu nanti adalah Jordan dan Bahrain.

Namun pastinya kelibat skuad Taeguk Warriors lebih mencuri tumpuan kerana mempunyai beberapa orang pemain berkelas dunia seperti Son Heung-min, Kim Min-jae, Hwang Hee-chan dan Lee Kang-in yang berkelana di Eropah.

Sejauh mana peluang Malaysia?

Mungkin tidak keterlaluan untuk kita meletakkan harapan kepada skuad kebangsaan memandangkan barisan pemain yang ada dalam skuad semasa pernah membuat kejutan ke atas pasukan gergasi Asia ini pada lima tahun lalu.

Dalam temasya Sukan Asia 2018 di Stadium Jalak Harupat, Bandung, Indonesia, skuad Harimau Muda bimbingan Datuk Ong Kim Swee telah menewaskan Korea Selatan 2-1 dengan Safawi Rasid muncul wira yang menjaringkan kedua-dua gol perlawanan.

Korea Selatan mungkin memandang rendah keupayaan pasukan negara dalam perlawanan ini. Buktinya, mereka tidak menurunkan bintang Piala Dunia 2018, Son Heung-Min di dalam kesebelasan utama.

Penyerang Tottenham Hotspur itu mendapat pelepasan daripada majikannya bagi memburu pingat emas demi pengecualian daripada program latihan khidmat negara.

Son diturunkan hanya selepas hampir sejam perlawanan berlangsung. Dan kita boleh melihat dengan jelas corak serangan Korea Selatan selepas itu sehingga berjaya menjaringkan gol.

Sentuhan magis OKS

Kebijaksanaan taktikal Datuk Ong Kim Swee mungkin boleh diletakkan sebagai faktor utama kepada kemenangan Malaysia.

Pasukan negara memulakan perlawanan ini dengan formasi biasa, 3-5-2. Namun dalam perlawanan ini, pasukan negara sentiasa berada di dalam posisi 5-3-2/5-4-1 untuk memastikan rantaian lima pertahanan di bahagian belakang.

Arahan Kim Swee mudah tetapi efektif. Apa yang penting, mereka tidak boleh beri Korea Selatan masa dan ruang ketika mereka memiliki penguasaan.

Disiplin berpasukan sangat penting dalam setiap bahagian termasuk jentera tengah dan serangan, yang mana mereka akan turut terlibat ketika pasukan dalam fasa bertahan.

Ia dijelaskan secara terperinci oleh Datuk Ong Kim Swee dalam temubualnya bersama GOAL Asia.

“Apa yang saya lakukan adalah memastikan setiap pemain berada di belakang bola apabila berada di kawasan sendiri. Ini untuk mengurangkan ruang kepada mereka dengan padatkan kawasan tengah,” ujarnya.

“Kita paksa mereka untuk ke sebelah sisi dan tidak benarkan mereka beroperasi di tengah. Kita beri mereka ruang itu kerana apabila ada hantaran lintang dan ‘cut-back’, kita sentiasa akan ada orang untuk pintas.

“Korea adalah pasukan yang kuat dan apabila anda cuba halang mereka, mereka akan cari jalan lain. Kita perlu ambil risiko dan membuat mereka kurang pilihan.

Jadi, ideanya adalah tolak mereka ke sisi kerana saya yakin kita boleh bendung mereka apabila pemain tengah dan serangan turun membantu di bawah.”

“Kami telah memberi arahan apa yang perlu dilakukan selepas merampas penguasaan bola. Saya ada Safawi dan Akhyar yang pantas serta Syafiq yang boleh mengekalkan penguasaan bola di atas.

“Jadi, setiap kali kami memenangi bola di kawasan sendiri, pemain terhampir perlu bergerak ke depan. Dua pemain sayap akan naik ke atas untuk mencipta ruang untuk kami bermain. Goal-gol yang dijaringkan adalah seperti yang kita rancangkan ketika sesi latihan. Apa yang dilakukan ketika latihan berjaya direalisasikan.

“Sudah tentu saya memberitahu pemain kita yang Korea sangat ampuh tetapi dengan taktikal yang betul dan disiplin di kalangan pemain, kami akan memiliki peluang untuk membendung permainan mereka.

“Sudah tentu [membendung Son] tetapi saya tidak percaya dengan kekuatan seorang pemain. Mereka ada beberapa pemain Piala Dunia dan pemain B-23 yang bagus. Kami telah bertemu mereka ketika saingan AFC B-23. Jadi, apabila beliau bermain, arahannya adalah sentiasa merapatinya apabila dia mendapat bola.

“Secara psikologinya, saya minta pemain kita supaya lebih keras ke atasnya agar dia takut. Sudah tentu dia tidak mahu mengalami kecederaan dalam perlawanan seperti ini ketika saingan EPL masih berlangsung.

“Anda dapat lihat bagaimana Rizal mengawalnya. Apabila kita minta Rizal ‘buat’ sesuatu, dia akan lakukan.”

Seperti dijangka, Taegeuk Warriors mengawal keseluruhan permainan tetapi barisan pemain di benteng diketuai oleh pemain lebih umur, Rizal Ghazali bersama Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Dominic Tan dan Syazwan Andik kental bertahan. Malaysia bergantung kepada ‘counter-attack’ dan ia tampak sangat membantu.

Pemain sayap dan penyerang seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad mempamer kelincahan dan kepantasan mereka. Hasilnya Safawi Rasid berjaya meledak dua gol sebelum berakhir babak pertama.

Begitupun, itulah satu-satunya kekalahan mereka di Sukan Asia apabila selepas itu mereka mara sehingga ke pentas akhir seterusnya memenangi pingat emas kejohanan tersebut apabila telah menewaskan Jepun 2-1.

2018 adalah tahun terbaik skuad B-23 kendalian Kim Swee. Sebelum Sukan Asia, mereka mara sehingga ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 pada Januari sebelum dikecewakan Korea Selatan 1-2 di minit-minit akhir.

Dengan Malaysia ketika ini dibimbing oleh jurulatih daripada Korea Selatan iaitu Kim Pan-gon, mungkin kita boleh meletakkan sedikit harapan untuk negara kita sekali lagi mencipta kejutan ke atas negara berkenaan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN