The Red Warriors antara satu nama dan jenama yang akan dikenang dalam sejarah bola sepak Malaysia. Ianya adalah satu simbol revolusi bola sepak Kelantan di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa.
Era kegemilangan The Red Warriors berakhir di Kuala Terengganu. Walaupun sebelum inipun mereka sudah sukar secara matematiknya. Namun ia satu malapetaka besar apabila pasukan anda disingkirkan secara rasmi oleh pasukan seteru anda iaitu Terengganu.
Kami mahu mengajak anda mengenang kejatuhan pasukan ini dengan kegemilangan dan apa yang telah mereka berikan kepada bola sepak Malaysia.
Revolusi Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa dilantik menjadi Presiden KAFA pada 2007 dan gelombang merah di arena bola sepak tempatan.
Kelantan sebelum ini agak jauh daripada bualan pemerhati bolasepak. Pernah terperosok ke Liga FAM dan sangat bergelut dalam mana-mana kejohanan major domestik.
Selepas tahun 2007 Tan Sri Annuar Musa telah mengambil alih. Beliau telah mengubah dan memperbaharui pelbagai aspek dari segi pengurusan dan publisiti.
Beliau merombak struktur dalam pengurusan dan pasukan. Langkah pertama adalah menetapkan matlamat untuk naik ke divisyen tertinggi.
Mereka berjaya melakukannya pada 2007/2008 dan selepas itu, projek lebih menarik akan cuba dilaksanakan dengan sambutan penyokong yg kian meningkat dan semakin passionate.
Era Liga Super
Penjenamaan semula Liga Perdana kepada Liga Super adalah sangat sinonim dengan kebangkitan Kelantan.
Pada masa inilah peminat Kelantan mulai mengenali satu jenama baru iaitu The Reds Warriors. Ada generasi hari ini mungkin tak tahu yang Kelantan dahulu dipanggil skuad Kijang.
Mereka berjaya menarik ramai bintang dan juga berjaya menarik jurulatih berkaliber seperti Peter Butler, B. Sathianathan, M. Karathu, dan Bojan Hodak.
Ini ditambah dengan generasi prospek dan produk yang berkualiti dihasilkan di negeri mereka.
Kemuncak kejayaan mereka pastilah ketika mereka menggenggam treble pertama dalam sejarah pasukan mereka pada 2012 dengan menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA. Ini adalah antara wira Kelantan ketika itu.
Ini adalah kejuaraan senarai Kelantan pada Era TRW selepas 2007.
Juara Liga Super Malaysia – 2011,2012
Naib Juara Liga Super – 2010
Juara Piala Malaysia – 2010, 2012
Naib Juara Piala Malaysia – 2009, 2013
Juara Piala FA – 2012,2013
Naib Juara Piala FA – 2009, 2011, 2013
Mereka layak ke AFC Cup dalam 3 edisi dan pencapaian tertinggi pada 2012 iaitu ke slot suku akhir kejohanan tersebut.
Namun pada 4 April 2012 , TSAM digantung 2 tahun 6 bulan kerana melanggar peraturan artikel 88 FAM. Ini adalah salah satu tamparan hebat kepada skuad Kelantan.
Ini adalah antara revolusi yang dibawa oleh Tan Sri Annuar Musa dan The Red Warriors kepada bolasepak Malaysia.
1. Merchandizing
Tan Sri Annuar dan TRW telah memberikan satu revolusi merchandizing yang luar biasa di Malaysia.
Pada sekitar 2010, Kelantan merasmikan kedai rasmi Umbro yang menjadi pembekal utama jersi pasukan dan diedarkan untuk dimiliki penyokong.
Penyokong mereka membeli produk untuk melahirkan sokongan supaya seragam datang ke stadium.
Masalah utama mereka, iaitu tidak mengambil langkah pendidikan dan propaganda drastik dalam menanam lebih kesedaran kepada pembelian produk asli.
Kelemahan lain yang menyumbang kepada masalah ini adalah tiadanya bekalan yang banyak daripada pembekal rasmi. Ya mereka ada melantik pengedar dan pembekal rasmi tetapi sangat terhad dan tiada langkah pro aktif untuk mendidik penyokong.
Pada hari ini kesedaran itu lebih baik dan penyokong sanggup menunggu jersi asli dijual di kedai untuk menyokong pasukan.
Jika sebelum ini kedai-kedai sukan, pasar pasar malam atau uptown dikuasai jersi EPL, pada hari ini pesaing utama jersi EPL pastilah jersi pasukan bola tempatan.
Ia adalah bermula pada The Reds Warrior yang mulai menanam sikap berbangga dengan jersi pasukan bola sepak anda dan penyokong mulai ada rasa bangga dengan jersi pasukan masing-masing selepas itu.
2. Stadium Mulai Penuh
Era The Red Warriors, KAFA mulai mengetahui apa maksud tiket habis. Stadium mulai penuh dengan penyokong.
Ia membangkitkan semangat kepada penyokong dan ultras di negeri lain yang tercabar melihat home mereka dijajah The Reds Warriors terutama di mana mana stadium di Semenanjung.
Dimana saja Kelantan beraksi pasti ada ramai penyokong mereka. Apatah lagi jika di Lembah Klang yg menjadi ibarat mini Kota Bharu untuk mereka.
Di Sabah dan Sarawak pun ada ramai penyokong mereka yang sanggup ke stadium terutama yang tinggal di sana.
3. Generasi emas
Kelantan memiliki golden generation dalam bolasepak mereka dan ramai pemain mereka mulai dipanggil menyertai skuad Malaysia.
Dari nama sperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshaharul Idlan Talahan, Indra Putra, S. Subramaniam, Farhan, Shakir Shaari, Badhri Radzi, Mohamed Ghaddar, Nwaneri hinggalah ke Nurul Azwan Roya, Daudsu dan ramai lagi telah menjadi antara elemen revival Kelantan di pentas Liga M.
Mereka telah memberikan pelbagai kejayaan kepada Kelantan dan diberikan perhatian oleh pasukan pasukan lain setiap akhir musim.
Kejatuhan
Mereka mulai berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan penguasaan dan empayar mereka. Cara pengurusan yang tidak mampu untuk berubah ataupun berevolusi membuatkan mereka semakin sukar.
Apabila anda memiliki generasi emas dalam pasukan, cabaran utama anda adalah untuk:
1. Menempa kejayaan
2. Mengekalkan legasi
3. Pengurusan pasukan
Mereka lulus dalam elemen pertama itu namun gagal pada perkara ke-2 dan ke-3 itu.
Tiada langkah yang mapan untuk mengekalkan legasi pasukan ini. Pemain generasi emas mereka tiada proses transisi yang jelas. Mereka ramai bakat muda, rekod di kejohanan Presiden antara yang jelas.
Setiap tahun mereka ada bakat muda, namun gagal diuruskan dengan lebih baik. Pemain-pemain ini hanya dipandang tinggi ketika pasukan menunggu dana atau masa mendapatkan pemain import.
Tan Sri Annuar Musa mulai hilang taringnya dalam pengurusan. Beliau jelas cuba mengembalikan semula kegemilangan Kelantan namun beliau gagal melakukannya dan melepaskan jawatan beliau secara penuh.
Beliau mengakui yang cabaran kos pengurusan pasukan pada hari ini terlalu tinggi dan sukar untuk mencari dana terutama sekali penaja.
Beberapa watak cuba menjadi penyelamat pasukan Kelantan termasuk Datuk Seri Vida dan juga Presiden baru pasukan Kelantan, Puan Bibi Ramjani. Cabaran kini adalah beban hutang pasukan ini terlalu tinggi berbanding dengan pendapatan.
Pemain muda berbakat
Pada akhir musim 2018, Kelantan terpaksa bergantung kepada tenaga anak muda ini. Mereka memberikan mesej jelas mereka bersemangat di atas padang namun kualiti pasukan mereka jelas tidak mampu menyaingi pasukan lain.
Keluar nama-nama seperti Nik Akif, Danial Ashraf, Nik Azli dan ramai lagi ketika pasukan ini hilang ramai pemain sama ada dilepaskan ataupun terpaksa dilepaskan.
Tiada pembangunan yang lebih baik secara holistik. Ramai pemain mulai bosan dengan masalah pengurusan dan tidak mendapat peluang dalam pasukan.
Kenapa?
Sebab aturan kontrak pemain yang lapuk. Pemain hanya ditandatangani dengan kontrak jangka pendek. Akhir musim pemain akan pergi begitu sahaja.
Mereka hanya mendapat keuntungan daripada Mohamed Ghaddar, itupun ketika pasca kegemilangan TRW. Mereka menjual pemain itu dengan rekod perpindahan MSL.
Sebelum ini, mereka hanya mampu melihat pemain pergi kerana kontrak tamat dan tak dirancang dengan baik.
Musim 2018, mereka menukar pelan pra musim secara total ketika musim sedang berjalan. Kegagalan merancang ditutup dengan retorik ‘tiada dalam perancangan’.
Jurulatih mereka lari meninggalkan pasukan yang dianggap pengalaman ngeri kerana tiada menyediakan padang latihan. Presiden pasukan pula kecewa selepas Fajr Ibrahim telah mengubah macam-macam dan melepaskan tanggungjawab beliau pertengahan musim.
Ini adalah surat perletakan jawatan Fajr Ibrahim yang ditulis dengan tangan.
Kewangan
Ini adalah aspek yang membunuh kegemilangan TRW. Apabila anda memiliki generasi yang berkualiti, anda perlu sedar akan hakikat bahawa pasukan perlu menambah gaji pemain dan skala pasukan lebih besar termasuk aspek kejurulatihan.
Mereka mulai terbeban dengan hutang kerana cuba mengejar kejayaan beberapa tahun lalu dengan kadar segera. Ramai pemain import datang dan pergi.
Mereka pernah dipotong mata kerana isu hutang gaji pemain. Hal ini membuatkan ramai pemain tidak yakin untuk bermain dengan Kelantan.
Jurulatih silih berganti dengan harapan untuk mendapatkan hasil lebih baik. Namun tetap tidak memberikan hasil seperti diharapkan.
Penawaran gaji yang terlalu tinggi sedangkan dana masuk agak rendah dan ada dana yang masih belum masuk pun dikira seperti dana fizikal (dalam tangan).
Anda bayangkan, TSAM pernah menyatakan gaji pemain tak dibayar kerana menunggu duit penaja masuk.
Ini bermaksud mereka meletakkan wang yang masih belum ada di tangan mereka sebagai dana fizikal untuk menawarkan gaji dan kos operasi pasukan.
Akibat terdesak, Kelantan terpaksa merelakan nama pasukan mereka di-PQPTRW-kan. Stadium dibaluti warna merah jambu kerana mereka mahukan wang daripada penaja.
Ia masih tak membantu kerana cara pengurusan perbelanjaan yang tak cekap. Tan Sri Annuar Musa mulai dipandang sebagai perosak bola sepak Kelantan oleh sesetengah pihak.
Beliau bergelut dalam usaha untuk menguruskan bola sepak yang bereovolusi dalam kerangka yang digelar bola sepak moden.
Pada era Bibi Ramjani beliau fokus untuk pembayaran hutang namun berlaku banyak kelemahan dalam perancangan pra musim.
Akhirnya ramai pemain ditamatkan kontrak ataupun dilepaskan pada ketika musim berjalan. Ada pemain seperti diiklankan untuk dilepaskan.
Setiap hari KAFA menyatakan kewangan mereka tenat, namun setiap jendela perpindahan pula mereka mendapatkan pemain import selepas melepaskan beberapa pemain (import dan tempatan).
Mereka menyatakan ada import tidak melibatkan kos ejen pemain namun dalam bola sepak moden setiap pertukaran pemain itu akan memakan kos tinggi. Anda perlu membayar terminasi kontrak pemain import lain kerana kuota.
Banyak lagi isu yang panas yang membawa kepada kejatuhan TRW termasuk isu tangan ghaib yang secara terbuka disebut oleh Azraai Khor dan Fajr Ibrahim sendiri.
Tanggal 20 Julai 2018, Kelantan tewas di tangan JDT 4-0 dan secara matematiknya mereka sudah tiada harapan untuk kekal. Dan pada 23 Julai 2018, Terengganu mengesahkan secara rasmi penyingkiran mereka.
Maka, berakhirnya era kegemilangan The Red Warriors yang dicipta lebih sedekad lalu.
Mereka perlu menulis skrip baru untuk bola sepak mereka selepas ini daripada lembaran baru. Kami di semuanyaBOLA mendoakan The Red Warriors akan kembali semula ke kancah bola sepak utama.