Ia mungkin lain daripada yang lain. Biasanya anugerah pemain terbaik sesebuah perlawanan hanya dikenali dengan nama “Man of The Match”.
Tetapi berbeza bagi anugerah sama untuk perlawanan akhir Carabao Cup atau League Cup. Ia dikenali sebagai Trofi Alan Hardaker .
Siapakah Alan Hardaker?
Alan Hardaker merupakan setiausaha kepada English Football League (EFL) dari Disember 1956 hinggalah Jun 1979. Legasi yang beliau tinggalkan kepada peminat bola sepak Inggeris ialah kewujudan League Cup.
Beliau mengutarakan pembentukan League Cup pada awal 1960-an walaupun menerima kritikan pelbagai pihak pada mulanya.
Hardaker meninggal dunia pada 1980. Kira-kira 10 tahun kemudian, EFL mengambil keputusan mewujudkan Alan Hardaker Trophy bagi mengenang usaha mendiang.
Trofi itu akan menjadi milik pemain terbaik perlawanan akhir League Cup di setiap edisi pertandingan.
Imbasan pemenang
Des Walker menjadi pemenang pertama trofi ini. Beliau mewakili Nottingham Forest semasa final Littlewoods Cup musim 1989/90- nama kepada pertandingan Piala EFL pada ketika itu.
Forest menewaskan Tottenham Hotspur di perlawanan akhir tersebut melalui gol tunggal Nigel Jemson.
Brad Friedel dari Amerika Syarikat menjadi pemain pertama dari luar Eropah yang memenangi trofi ini. Beliau pada ketika itu menjadi penjaga gol Blackburn Rovers.
Rovers mengalahkan Tottenham Hotspur dengan jaringan 2-1. Pada ketika itu, Rovers memenangi Worthington Cup- nama pertandingan pada musim 2001/02.
Pemenang popular
Robbie Fowler (Liverpool, 2001), John Terry (Chelsea, 2005) dan Wayne Rooney (Manchester United, 2006) adalah antara pemain yang dikenali ramai yang pernah dianugerahkan Alan Hardaker Trophy.
Begitu juga Didier Drogba pada 2007 semasa mewakili Chelsea.
Namun begitu hanya 3 orang pemain sahaja yang pernah dinobatkan sebagai pemenang anugerah ini lebih dari sekali. Pemain tersebut ialah John Terry (2005 & 2015) semasa masih bergelar pemain Chelsea.
Selain itu, pertahanan yang berasal dari Belgium, Vincent Kompany juga pernah memenanginya pada edisi 2016 dan 2018.
Dua kelab berlainan
Ben Foster menjadi satu-satunya pemain yang diberikan anugerah ini semasa mewakili dua kelab berlainan. Foster memenanginya buat pertama kali semasa mewakili Manchester United dalam final 2009.
Dua tahun kemudian, beliau mewakili Birmingham City semasa mengalahkan Arsenal dengan jaringan 2-1. Malah, Foster menjadi satu-satunya penjaga gol yang memenangi Alan Hardaker Trophy lebih daripada sekali.
Ringkasnya, 5 kali pemain Manchester United pernah membawa pulang trofi ini ke Old Trafford selaku kelab paling banyak memenanginya.
Jika diikut negara diwakili, 16 kali pemain England dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir League Cup.
Kini milik siapa?
Berikutan kemenangan Manchester City tempoh hari, Alan Hardaker Trophy ini menjadi milik pemain dari Portugal, Bernardo Silva. Dan beliau menjadi pemain Portugal yang memenangi anugerah ini.
Manchester City muncul juara selepas menundukkan Chelsea melalui penentuan sepakan penalti pada Ahad lalu.