Mengapa Kim Pan-gon Tampak Sangat Obses Dengan Ultras Malaya?

Kim Pan-gon Ultras Malaya Obses

Jika dilihat, sejak awal sidang medianya di Malaysia, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak pernah terlepas daripada menyebut Ultras Malaya dan penyokong negara. Pasti kita tertanya-tanya, kenapa ya?

Semalam, sekali lagi, beliau menyampaikan ucapan penghargaan kepada Ultras Malaya selepas Malaysia melakar kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan dalam aksi pertama Kumpulan E, kelayakan Piala Asia 2023.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Ultras Malaya atas sokongan kepada kami dan semua penyokong bola sepak Malaysia [atas sokongan].”

Kim Pan-gon, post-match reaction di Astro Arena

“Penyokong dan Ultras Malaya beri kami sokongan tidak berbelah bahagi. Saya amat berbangga dengan semua pemain Harimau Malaya. Kami cuba beri mereka [penyokong] kebanggaan dan kegembiraan.”

Kim Pan-gon, sidang media selepas perlawanan Malaysia-Turkmenistan

Ketika menundukkan Brunei dalam aksi persahabatan sebelum ini, Kim juga dilihat ada menyebut tentangnya.

“Seperti biasa, ia adalah sokongan yang sangat membantu daripada Ultras Malaya. Ini yang kami nantikan. Mereka bersorak dan menyokong kami. Keseluruhannya kami sepatutnya memberikan aksi lebih baik.

“Begitupun, kami sangat menghargai penyokong bola sepak Malaysia yang hadir menyokong terutamanya Ultras Malaya yang menunjukkan semangat menyokong. Secara peribadi, untuk saya, saya lebih ‘enjoy’ dengan sorakan penyokong berbanding aksi perlawanan. Tetapi, selepas ini permainan kami harus lebih baik. Mungkin berdepan lawan yang lebih sukar, kami akan hasilkan aksi lebih baik.”

Kim Pan-gon, sidang media selepas perlawanan Malaysia-Brunei

Adakah Kim obses dengan Ultras Malaya dan sorakan penyokong Harimau Malaya secara keseluruhannya? Berdasarkan kenyataan dalam setiap sidang media, jelas beliau obses dan sangat menghargai penyokong.

Sejurus tamat aksi malam tadi, selepas para pemain membuat ’round-tour’ mengelilingi stadium, menghargai kehadiran penyokong ke stadium, Kim dilihat menyertai mereka di saat mereka tiba di kawasan Ultras Malaya.

Dari jauh beliau dilihat berjalan ke kawasan Ultras Malaya dengan penuh keghairahan – seolah-olah sedang menyerap keghairahan para penyokong yang sedang bersorak. Beliau sangat teruja menyertai sorakan mereka dan turut bersama-sama pemain berada di depan kawasan Ultras Malaya dan membuat ‘viking clap’ mega.

Selain penghargaan buat para penyokong dan Ultras Malaya yang tidak berhenti bersorak, ini salah satu aura positif yang dimahukan Kim menyerap masuk ke kem skuad kebangsaan – semangat positif para penyokong.

Bermain di laman sendiri, Kim menyedari yang penyokong adalah elemen terpenting terutamanya skuad negara yang terbukti sangat teransang apabila Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi dengan penyokong dan sorakan bergemuruh di segenap sudut. Lawan mungkin goyah – ini diakui lawan terdahulu, tetapi pemain kita teransang!

Jika aura positif ini merangsang pemain, apa sahaja mampu dilanggar mereka. Malah, Kim ada mengakui para pemain memberikan komitmen yang lebih daripada yang dimintanya. Sorakan di Bukit Jalil adalah perangsang.

Mungkin lawan yang belum pernah merasai gema Bukit Jalil akan meremehkannya, tetapi ada yang pernah menyesal tentangnya. Kim tampak menggunakan segalanya untuk membantu skuadnya termasuk meransang Ultras Malaya yang diketahui akan menjadi ‘kepala’ kepada keseluruhan sorakan yang bergema di stadium nanti.

 

Selain mengkaji taktikal lawan, adakah Kim juga mengkaji Ultras Malaya yang menjadi ‘ekor’ Harimau Malaya?

Kenyataannya dalam sidang media seolah-olah senada dengan bait lirik dalam salah satu ‘chant’ Ultras Malaya.

“Mana kamu, Malaysiaku

Di mana pun kamu, kami ada selalu

Berikanlah kemenangan!

Berikanlah kami sebuah kebanggaan!”

Chant Ultras Malaya

“Kami cuba beri mereka [penyokong] kebanggaan dan kegembiraan.”

Kim Pan-gon, sidang media selepas perlawanan Malaysia-Turkmenistan

Inilah sebabnya yang kita lihat, Kim akan selalu mengangkat Ultras Malaya dan penyokong Harimau Malaya.

FOTO: Jamie Nazmi/FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN