Mengapa Jepun Adalah Pemenang Sebenar Dalam Final Piala Dunia Wanita 2015

Hatrik daripada Carli Lloyd dalam masa 15 minit ketika perlawanan akhir Piala Dunia Wanita semalam meleburkan impian pasukan bola sepak wanita Jepun untuk mempertahankan kejuaraan edisi 2011 apabila mereka tewas 2-5 menentang USA semalam.

Pada edisi 2011, pasukan bola sepak wanita Jepun, atau dikenali sebagai Nadeshiko (bunga merah jambu), muncul juara apabila menewaskan USA dalam penentuan penalti selepas terikat 2-2 selama 120 minit.

Reaksi penyokong USA

Bagaimanapun kemenangan USA ini dicemari oleh insiden penyokong USA yang menyamakan kemenangan ini sebagai ‘pembalasan dendam’ terhadap pengeboman Pearl Harbor oleh tentera Jepun pada 1941.

Pearl Harbor menjadi salah satu trend yang tinggi oleh pengguna Twitter di USA. Beratus-ratus ribu tweet mengenai Pearl Harbor dikeluarkan selepas tamat perlawanan akhir Piala Dunia 2015 semalam.

Antara tweet yang popular adalah tweet ini yang menulis: “Hey Jepun, ini (kemenangan USA) adalah pembalasan untuk Pearl Harbor.

Seorang lagi rakyat USA menulis: “Mereka menghancurkan Pearl Harbor, kita menghancurkan impian mereka.”

Ada juga yang langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada Jepun dengan mengingatkan mereka tentang peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.

Tetapi ada juga penyokong USA yang pandai menggunakan otak dengan berkata: “Pearl Harbor bukanlah bahan lawak. Hiroshima bukan bahan lawak. Nagasaki bukan bahan lawak. Ini bukan Perang Dunia Ke-2. Ini (cuma) perlawanan bola sepak wanita di tahun 2015.”

Seorang lagi penyokong USA memberitahu: “Lawak tentang pengeboman, Pearl Harbor dan kenyataan rasis langsung tak lawak. Kenapa kita tak boleh hanya tengok perlawanan dan menyokong?”

Reaksi penyokong Jepun

Di Jepun, penyokong yang mengikuti perkembangan perlawanan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja ternyata sedih dengan kekalahan Nadeshiko Jepun. Tetapi mereka masih menghormati pencapaian dan menghargai usaha Nadeshiko Jepun.

Tweet Shinji Kagawa menrumuskan secara tepat perasaan bangga rakyat Jepun terhadap usaha Nadeshiko Jepun dengan tweet ini:

Seorang penyokong Jepun memuji pasukan negara mereka dengan menulis: “Semua pemain sangat cool, sangat bagus. Mereka serupa seperti Furiosa. #MadMaxBrain.”

Untuk pengetahuan anda, filem Mad Max: Fury Road sedang menjadi fenomena di Jepun, terutamanya di media sosial. Penyokong Nadeshiko Jepun melihat semangat pemain mereka ada persamaannya dengan salah seorang watak dalam filem tersebut.

Nadeshiko Jepun adalah pemenang sebenar

4 tahun lepas, Nadeshiko Jepun menjuarai Piala Dunia hanya selepas 4 bulan bencana gempa bumi dan tsunami melanda Jepun. Bencana ini diikuti pula dengan tragedi di loji nuklear di Fukushima.

Ketika itu, rakyat Jepun dilanda kesedihan kerana angka kematian akibat bencana dan radiasi.

Jadi apabila pemain bola sepak wanita Jepun menewaskan USA yang nyata lebih kuat daripada mereka dalam final Piala Dunia 2011, rakyat Jepun meletakkan setiap anggota Nadeshiko Jepun di hati mereka.

Dua kali mereka bangkit dari ketinggalan gol. Paling istimewa adalah gol kapten Homare Sawa yang dijaringkan pada minit 117′, 3 minit sebelum perlawanan tamat. Gol Sawa memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Jepun menang penentuan penalti tersebut untuk muncul juara.



Sawa ditabalkan sebagai pemain wanita terbaik dunia pada 2011 oleh FIFA dan menjadi hero negara. Kami pernah menulis tentang pelukis asal Captain Tsubasa yang mengatakan ‘Homare Sawa adalah jelmaan Captain Tsubasa’.

Baca: Captain Tsubasa Sudah Ada Dalam Dunia Sebenar, Menurut Pelukis Asalnya

Baru bermula

Bola sepak wanita di Jepun sebenarnya baru sahaja bermula pada tahun 2004 ketika Sukan Olimpik di Athens.

Ia mula menarik perhatian rakyat Jepun apabila Nadeshiko Jepun mara ke separuh akhir Sukan Olimpik 2008 di Beijing, di mana mereka tewas juga kepada USA.

Jepun mempunyai 2 liga bola sepak wanita dengan jumlah penyertaan dari 32 pasukan. Pasukan-pasukan bola sepak wanita ini sangat popular di kalangan komuniti setempat, tetapi hanya beberapa pemain sahaja yang benar-benar profesional.

Mengikut data Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), pada tahun 2013 sebanyak 30,000 pemain bola sepak wanita sudah berdaftar dengan mereka.

Sebagai perbandingan, USA mempunyai 1.7 juta pemain bola sepak wanita yang berdaftar. Dan ini adalah data pada tahun 2007. Untuk data pada tahun 2014, sudah pastilah jumlahnya bertambah besar.

Lawan lelaki

Sesetengah pemerhati bola sepak di Jepun berpendapat punca utama kehebatan pasukan wanita Jepun adalah kerana kurangnya wanita di Jepun yang berminat untuk bermain bola sepak.

Jadi kanak-kanak perempuan di Jepun yang minat bermain bola sepak tiada pilihan selain terpaksa berlatih dan bermain menentang pasukan lelaki. Inilah caranya bagaimana Homare Sawa dan Aya Miyama (kapten Nideshiko Jepun sekarang) mengasah kemahiran bola sepak mereka di sekolah rendah dan menengah.

Berbanding di USA di mana kanak-kanak perempuan digalakkan bermain bola sepak seawal umur 4 tahun, terdapat banyak kelab-kelab bola sepak di komuniti mereka dan aktiviti bola sepak sentiasa mendapat bantuan kewangan dari kerajaan, Homare Sawa dan rakan-rakannya agak kurang beruntung.

Sebab itu bagi kami, walaupun tewas kepada USA semalam, Nadeshiko Jepun adalah ‘pemenang’ sebenar.



Kesimpulan

Dalam siri manga popular Umimachi Diary (hasil karya Akimi Yoshida), terdapat seorang watak remaja perempuan, Suzu, yang bermain bola sepak di pasukan bola sepak lelaki.

Suzu sebenarnya pemain yang jauh lebih bagus daripada pemain lelaki tetapi terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Seperti Suzu dan pemain bola sepak wanita Jepun yang tewas semalam, mereka pastinya memberi inspirasi kepada kanak-kanak perempuan di Jepun untuk bermain bola sepak.

Baca juga: Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Piala Dunia Wanita 2015

Sumber: BBC Sports, Reddit

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN