Secara tiba-tiba, Sabah FC mengumumkan kemasukkan bek tengah, Irfan Zakaria ke dalam skuad yang bakal tampil di saingan Piala AFC 2023 itu.
Ia agak mengejut kerana seperti tiada langsung ‘hint’ tentang masa depan pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini dan mungkin ramai menjangkakan beliau akan terus kekal di KL City FC kerana tiada sebab untuknya keluar.
Di saat banyak khabar angin perpindahan pemain, kisahnya ‘tertutup’ rapat.
Ini kerana, KL City adalah pasukan yang dilihat agak kukuh dari segi barisan kejurulatihan, pemain-pemain, prestasi dan sedikit-sebanyak kewangan.
Kita juga kurang mendengar masalah mengenai pasukan yang telah berjaya mara hingga ke pentas final Piala AFC 2022 itu sepanjang musim lalu.
See you again, Irfan Zakaria 🤝🏻#KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/rL0P8Q05wJ
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) December 2, 2022
Tetapi, sebenarnya, ia tidak mengejutkan bagi sesetengah pemerhati bola sepak tempatan misalnya yang memahami dari segi taktikal pasukan.
Sepanjang musim lalu, Sabah sebenarnya tidak memiliki ‘ball playing defender’ dalam sistem pasukan yang dimainkan oleh Datuk Ong Kim Swee.
Bermain dengan sistem 3-4-3, ‘The Rhinos’ lebih banyak mempertaruhkan Dominic Tan, Rawilson Batuil dan pemain import Jackson de Souza di bek bertiganya. Malang buatnya apabila di Piala Malaysia mereka dirundung masalah kekurangan pemain akibat kecederaan termasuklah Jackson.
Namun, berkat kebijakkan menggunakan segala pengalaman di tangannya, Kim Swee masih berhasil membawa Sabah mara hingga ke separuh akhir.
Menurut penganalisis di Semuanya BOLA yang juga merupakan jurulatih bertauliah, Shaiful Shazwan, Sabah dikesan bermasalah untuk merencana asakan ke atas pasukan yang bertahan secara ‘Mid-blocks to Low-blocks’.
Ketika berdepan UiTM FC di pusingan 16 terbaik, Sabah sukar untuk mencipta asakan berkesan dan dua daripada tiga gol mereka adalah menerusi situasi bola mati. Ia adalah gambaran kesukaran mereka.
Mereka memiliki pakar situasi bola mati, Baddrol Bakhtiar untuk bergantung harap. Ini adalah talian hayat terbesar yang dimiliki oleh ‘The Rhinos’ kini.
Tanpa Baddrol, mereka sukar membina asakan dari bawah terutamanya merencana gerakan dari defensive third dicipta oleh benteng di bawah.
Khuzaimi Piee mungkin boleh dijadikan the right swap, left-footed and had previous experiences at left-back. Role dia at left centre back boleh dikuatkan lagi dengan his ball playing abilities. Need to see more of him thats for sure! Keras macam batu!
— Adam Sariman (@AdamSariman) June 9, 2022
Mengambil contoh di Negeri Sembilan yang cemerlang mengaplikasikan sistem bek bertiga, mereka memiliki Khuzaimi Piee yang tampil hebat.
Di JDT pula, mereka memiliki ‘ball playing defender’, Shane Lowry yang memiliki hantaran progresif bagi membelah blok pertahanan lawan.
Lowry juga berkemampuan membuat satu hantaran ke ruang di belakang barisan pertahanan lawan dengan ketepatan yang tinggi serta berkualiti.
Dan ketika JDT kehilangan Lowry akibat kecederaan, Shaiful tidak teragak-agak mencalonkan Feroz Baharuddin dari JDT II sebagai pengganti terus kepada Lowry menerusi artikel ini. Dan kini terbukti benar telahannya.
ANALISIS: Bagaimana Kecederaan Shane Lowry Mampu Menggugat Organisasi Serangan JDT
Irfan pernah mengakui beliau adalah seorang ‘ball playing defender’ sekitar tahun 2020 ketika bersama Kedah Darul Aman. Hasil tunjuk ajar pengendali, Aidil Sharin Sahak dan senior-senior di dalam pasukan, Irfan sebenarnya telah berevolusi dengan sangat baik sebelum ‘terbang’ menyertai KL City.
Dan beliau semakin menyerlah bersama ‘The City Boys’ saat bergandingan bersama Giancarlo Gallifuoco sehingga menjulang Piala Malaysia 2021 dan mara ke pentas final Piala AFC 2022. Ia pencapaian yang mengagumkan.
Bersama Sabah, beliau dijangka akan semakin menyerlah disebabkan potensinya memang terlebih dahulu digilap oleh Kim Swee. Beliau juga adalah benteng yang tidak teragak-agak mengenakan tekanan di middle third untuk menghentikan transisi permainan lawan dalam perlawanan.
Irfan Zakaria – satu perpindahan pemain yang berbaloi buat Sabah!